Demi Masa

Thursday, March 25, 2010

Dari tingkap bilikku

Bismillahirrahmanirrahim..

Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada semua penduduk bumi hari ini. InsyaAllah. Amin.

Hmm..Dari tingkap bilikku ini aku dapat menyaksikan banyak gelagat manusia. Jikalau waktu pagi begini, aku dapat melihat kesibukan di jalan raya kerana masing-masing sudah bergegas ke tempat kerja. Jikalau waktu petang menjelma pula, aku juga melihat banyak kereta, pulang ke rumah setelah seharian bekerja mencari rezeki yang halal, insyaAllah.

Dalam minggu ini aku tertarik untuk melihat seorang pemesin rumput di padang hadapan bilik aku ini. Iyalah, padang bola inikan luas, sudah hampir seminggu mungkin dia membanting tulang untuk menjalankan tugasnya itu. Gigih. Itulah semangat yang dapat aku lihat. Mungkin gajinya tidaklah sehebat seorang doktor, mahupun seorang guru. Namun, rezeki yang dicari untuk sesuap nasi itu halal. Itu yang penting.

Aku tidak pasti status kewarganegaraannya, dari bilikku di tingkat lima ini agak mustahil untuk aku melihat wajahnya pun, cuma dapat melihat kelibatnya sahaja. Aku berpendapat mungkin dia bukan warganegara Malaysia kerana kebanyakan pekerja di sini terdiri daripada pekerja asing. Mengapa? Orang Malaysia terlalu memilih kerjakah? Mungkin juga. Kononnya, kerja-kerja tersebut hina. Aduh, bukalah minda sedikit! Halal itu yang penting.

Ayah selalu pesan, kalau untuk duniawi ini, kita kena lihat orang-orang begitu, barulah kita rasa bersyukur dengan keadaan kita sekarang. Jangan tengok orang-orang kaya, nanti kita akan sentiasa rasa kekurangan padahal nikmat Allah sudah banyak untuk kita. Jikalau untuk ukhrawi pula, ayah suruh lihat ulama', orang-orang yang zuhud. Barulah kita rasa betapa tidak layaknya kita untuk mendamba syurga ilahi dan betapa hinanya kita. Lantaran itu kita akan terus berusaha untuk menjadi seperti orang-orang yang wara' tadi. InsyaAllah.

Tidur selepas subuh mewarisi fakir bukan? Aku cuba sedaya upaya untuk tidak tidur selepas subuh walaupun adakalanya aku tewas juga dengan dugaan mengantuk ini. Waktu pagilah kita dapat menghayati keindahan alam. Memang indah. Subhanallah.

Sampai di sini dahulu kalamku ini. Semoga reda Allah sentiasa bersamaku dan para muslimin lain. Amin.

No comments: