Demi Masa

Wednesday, January 22, 2014

Wanita dan Fitnah

Bismillahirrahmanirrahim.
credit


Alhamdulillah 'ala kulli hal. Sollu 'ala Nabi.

Wanita itu sering sahaja dikaitkan dengan fitnah. Pernah aku terdengar yang hadith berkaitan 'fitnah terbesar di akhir zaman adalah wanita' itu adalah hadith maudhu' atau hadith palsu atau menghampiri palsu atau tidak sahih. Jadi aku tidak mahu menulis bersandarkan hadith tersebut. Bimbang pada khilaf diri.


Saat menulis ini jantungku masih berdebar-debar. Terasa begitu takut dengan satu situasi yang baru mengetuk. Betapa, wanita itu sentiasa terdedah kepada fitnah. Hatta muslimah yang begitu menjaga juga akan diuji dengan fitnah. Allahu.

Fitnah itu memang ujian buat insan bergelar wanita. Dalam Al-Quran sendiri ada menyebut beberapa kisah berkaitan fitnah dan wanita ini. Sebagai contoh di dalam surah Maryam iaitu surah ke-19 ayat 27 hingga 34 ada menceritakan bagaimana Maryam dituduh telah melakukan zina sehingga melahirkan anak luar nikah. Antara contoh lain di dalam sirah ialah peristiwa Haditsul Ifki yang menimpa Ummul Mu'minin, Saidatina A'isyah R.A. di mana A'isyah difitnah melakukan perbuatan sumbang. Allah telah membersihkan nama baik A'isyah dalam surah An-Nuur yakni surah ke-24 ayat 23 dan 24. Kisah ini turut diterangkan dalam surah yang sama pada ayat 11 hingga 19.

Sedangkan wanita-wanita mulia dan suci begitu juga tak dapat lari daripada fitnah, inikan kita yang lebih banyak noda dan dosa? Sedar atau tidak sedar, kadang-kadang kita sendiri yang mendedahkan diri kita kepada fitnah.
Bagaimana?

Satu:

Kadang-kadang kita leka melayan movies di laptop mahu pun di televisyen sehingga terlewat solat fardhu kita. Nah, satu ruang fitnah untuk muslimah yang saksinya 'hanya Allah yang layak disembah' tapi perbuatannya tak selari dengan penyaksian.

Dua:

Kita pantang tahu ada sales untuk tudung dan jubah rekaan terbaru, jadi kita sanggup berhabis duit membeli dan memborong. Sekali lagi ruang fitnah untuk muslimah, pakaian yang dipakai untuk menutup aurat atau untuk dipamer dan dilihat? Pakaian yang mengikut syariat itu adalah pakaian yang menutup aurat dan juga tidak membazir ketika membelinya.

Tiga:

Ketika bermesyuarat melibatkan lelaki dan perempuan secara tidak sedar perbincangan dah jauh melencong dari agenda sebenar. Kadang-kadang langsung membawa kepada lagha, disertakan dengan gelak tawa lagi. Adesss, ini fitnah yang sangat aku takut, fitnah berkait dengan lelaki.

Ya Rabb, ujian fitnah ini amat berat.

Semua fitnah-fitnah itu jika tak ditangani dengan betul dan bijaksana, malah membawa fitnah kepada agama pula. Na'uzubillahi min zalik.

Tak semudah yang disangka untuk kita mengelak fitnah. Mungkin fitrah seorang wanita itu mudah terdedah kepada fitnah. Tetapi kita sekurangnya boleh cuba untuk menjauhkan diri daripada asbab kepada fitnah terjadi.

Sentiasa melazimi diri dengan Al-Quran. Sentiasa tadabbur dan hayati setiap kalam Ilahi. Bergembiralah dengan ayat rahmatNya dan takutilah pada ayat azabNya. Dengan itu kita akan lebih berusaha untuk menjadi hambaNya yang taat.

Bersederhanalah dalam setiap pekerjaan dan amalan. Selalunya berlebihan itu akan mengundang jarum-jarum syaitan untuk menghasut. Bersederhana dalam berpakaian, supaya tidak tersasar niat menutup aurat dan tidak membazir. Bersederhana dalam bekerja supaya tidak tersasar niat mengejar dunia bimbang ditinggal akhirat.

Jauhi penggaulan dengan ajnabi jika bukan dalam keadaan yang diperlukan syarak. Islam bukan agama yang jumud yang langsung mengharamkan muamalah antara lelaki dan perempuan. Tetapi ada batas yang ditetapkan syarak. Ikuti segala syarat dan laranganNya insyaAllah, semuanya berjalan lancar.

Andai juga kita telah berusaha menjaga diri dan berhati-hati supaya tidak dijengah fitnah tetapi masih juga terpalit kotoran fitnah itu, bersabarlah dan mohon pertolongan Allah. Boleh jadi Allah mahu menguji sekuat mana iman kita. Yang penting sentiasa bersangka baik dengan Allah. Allah  tak pernah meninggalkan hambaNya sendirian dan Allah tak pernah menzalimi hambaNya.


"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar."
[Al-Ahzaab 33:35]