Demi Masa

Sunday, February 28, 2010

Tuhanku

Tuhanku,
jika sunyi yang aku perlukan untuk dekat dengan cintaMu,
biarkan aku sunyi,
jika sedih yang mampu dekatkan aku dengan rahmatMu,
biarkan aku sedih,
andai dunia ini nikmat yang mendustakan,
jauhkan aku darinya,

Tuhanku,
andai hatiku telah mati,
Kau kurniakanlah aku hati yang suci,
hati yang tidak pernah alpa dari mengingatiMu,
hati yang sentiasa mencintaiMu,
hati yang baru, yang mendamba reda Ilahi..

Nukilan;
mujahidah_qurratuaini
9 feb 2010
[1105]

Saturday, February 27, 2010

Fitrah

Cinta itu fitrah,
namun jika salah caranya menjadi fitnah,
hatiku lemah,
mengharap untuk dicintai dan mencintai,
aku takut,
hatiku kecewa,
kerna cinta manusia bisa menyakitkan,
bisa melukakan,
bisa melalaikan,
bisa mendustakan,

Jangan intai hatiku, cinta!
hatiku hanya milik Yang Maha Mencinta,
milik Sang Pencipta Cinta,
kerna cintaNya, tidak mengecewakan,
tidak menghampakan,
tidak mendustakan,
dengan cintaNya aku hidup,
dengan cintaNya aku mati,
tanpa cintaNya, aku tidak mengerti,
apa itu cinta..

nukilan;
mujahidah _qurratuaini
ahad, 7 Feb 2010 [1652]

Thursday, February 25, 2010

Ilham itu daripada ALLAH..

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan lafaz mulia aku memulakan kalam. Semoga kalam kali ini tidak dicoretkan hanya menggunakan hati dan akal sahaja, tetapi iman turut menyumbang. Insyaallah..

Sabda Nabi:
"Apabila hendak melakukan sesuatu perkara, maka letakkan tanganmu ke atas dadamu, kerana sesungguhnya hati itu gelisah kepada yang haram dan tenang kepada yang halal."

Aku gagal mencari perawi hadis di atas. Jadi maaf di atas segala khilafku ini. Insyaallah akan aku usahakan juga agar hadis ini tidak hilang kesahihannya. Jika aku tersalah akan aku betulkan di post yang lain. Atau boleh dikira sebagai hadis dhaif mungkin?

Apa yang ingin aku ceritakan di sini ada berkaitan dengan hadis di atas. Hurm, dari mana aku harus mulakan ya? Biar aku mulakan dari awal, insyaallah..

"Ya Allah, kuatkan hatiku ini, kuatkan keimanan aku terhadapMu, amin". Doa ini sering aku panjatkan ke hadrat ilahi. Aku percaya semua muslim juga begitu. Tetapi iman manusia ini bukan tetap seperti malaikat, ada naik turunnya. Itulah imanku. Lemah.

Hati wanitaku bukan juga senang bergetar. Aku mempunyai pengalaman tersendiri yang membuatkan aku tidak mudah untuk membuka hati ini kepada mana-mana lelaki. Namun ada beberapa lelaki berjaya menggetarkan hatiku ini. Ini pengakuan jujur dariku.

Namun begitu, harus aku menjaga rasa itu agar tidak melebihi cintaku kepada Allah. Tidak mungkin aku akan mencintai mana-mana lelaki yang belum pasti akan menjadi teman hidupku. Tidak mungkin aku akan menyerahkan hatiku kepada mana-mana lelaki yang tidak layak untuk menerimanya. Maha lemah aku ini ya Allah. Senang tergoda dengan makhlukMu. Ambillah hatiku kembali ya Allah.

Aku harus akui tidak semudah itu untuk menolak perasaan ini. Inikan pula apabila ditambah gelojak nafsu yang selalu mengatasi keimanan. Aku kadangkala kecundang juga pada nafsu. Aku gagal menjaga duri-duri padaku. Aku membiarkan kumbang bebas terbang berdekatanku. Walaupun aku tidak membenarkan kumbang-kumbang itu hinggap padaku, namun aku seolah-olah telah merendahkan tarafku sebagai bunga!
Astagfirullahal'azim..

Begini, aku dahulu seorang yang suka berkawan. Aku berkawan dengan semua orang tidak kira lelaki mahupun perempuan. Aku dahulu masih jahil dengan beranggapan bahawa berkawan dengan lelaki ini tidak salah asalkan tidak berpegangan tangan. Namun itu cerita dahulu kala, ketika aku masih belum matang dan belum mengerti makna seorang muslimah sebenarnya. Kehidupan mengajar aku. Aku rapat dengan seorang rakan lelaki. Namun kami hanya berkawan dan tidak pernah lebih dari itu. Aku seakan-akan menidakkan hukum bahawa tiada muamalah antara lelaki dan perempuan yang dibenarkan melainkan beberapa yang disebut di bawah:
1. Jual beli
2. Menghakimi
3. Memberi penyaksian
4. Layan tetamu
5. Makan dengan tetamu
6. Dalam kenderaan
7. Kerja-kerja kebajikan
8. Sewaktu adat (contoh: kenduri)
9. Belajar (guru-pelajar)
10. Amar makruf nahi munkar

Ya, aku tidak tahu itu semua atau aku sengaja tidak mahu ambil tahu. Sehinggalah rakan aku, si lelaki itu sendiri yang memberi peringatan kepadaku. Dan aku percaya peringatan itu sebenarnya datang dari Allah, yang disampaikan kepadaku melalui perantaraan rakanku itu. Aku sebelumnya pernah membaca sebuah artikel berkaitan pergaulan lelaki dan perempuan. Namun ketika itu aku langsung tidak merasakan bahawa artikel itu ditujukan buatku tetapi merasakan itu hanya peringatan untuk orang yang 'couple'. Peringatan dari Allah yang disalurkan melalui rakanku itu benar-benar terkesan buatku. Aku seperti seseorang yang baru ingin mengenal dunia. Aku ingin mengerti apa makna muslimah sebenarnya yang aku ambil sambil lewa selama ini.

Aku mula mencari identiti diri sebenar. Aku mendekati rakan-rakan yang aku kira elok peribadinya. Aku muhasabah diri. Dan aku menjauhkan diri daripada semua lelaki terutamanya rakanku tersebut. Keputusan SPM memaksa aku untuk bertemu kembali dengannya di tempat yang mempertemukan kami buat kali pertama iaitu sekolah kami sendiri. Aku tidak betah untuk bertemu dengannya kerana perasaan yang amat malu, namun rasa di hati ini tidak mampu menipu bahawa aku ingin bertanyakan khabarnya. Aku berjaya mungkin untuk tidak bertemu dengannya namun aku gagal juga dengan menanyakan keputusannya melalui SMS. Hubungan aku dengannya sudah hambar. Aku sebenarnya harus akui bahawa hatiku sudah tersentuh sedikit olehnya. Inilah sebab mengapa lelaki dan perempuan tidak boleh berkawan kerana mereka tidak mungkin akan terus hanya berkawan. Hormon lelaki dan perempuan akan teransang sehingga wujud
dalam diri masing-masing sebuah perasaan suka yang digelar cinta.

Aku semakin gembira dengan diriku semenjak aku menjejakkan kaki ke alam matrikulasi. Aku sudah selesa dengan identiti baru ini. Aku semakin bangga dengan keindahan kelopakku. Tidak ada kumbang yang boleh dengan sesuka hatinya terbang berhampiranku. Duri-duriku juga semakin tajam sehinggakan hendak melihatpun tiada kumbang yang berani. Namun aku merasakan semakin hari duri-duriku semakin kurang gahnya. Tidak setajam awalnya. Kumbang-kumbang ada yang berani mencuba-cuba untuk terbang berhampiran. Si bunga tetap menunjukkan durinya, tetapi ada seekor kumbang yang dibiarkan untuk terbang berdekatannya. Si bunga kelihatan gembira kerana merasakan dirinya seindah mawar berduri. Namun sekali lagi Allah mendatangkan ilham kepadanya. Mawar berduri tidak seharusnya membenarkan mana-mana kumbang terbang berlegar-legar berhampirannya. Mawar berduri juga tidak sepatutnya membiarkan dirinya ditatap oleh sang kumbang. Mawar berduri juga tidak selayaknya menghilangkan duri daripada dirinya.

Aku tersedar semula, buat kali kedua. Dan aku berharap kesedaran ini akan kekal buat selama-lamanya. Aku ingin menyediakan diriku sebaik-baiknya untuk bakal suamiku. Aku tidak ingin menjadi bunga mawar yang hampir layu apabila sang kumbang yang sememangnya layak untuk sang bunga telah datang untuk mengambil madu padanya. Aku ingin terus menjadi sang mawar berduri yang mekar di taman larangan sehingga tiba sang kumbang berani untuk mengambil madu pada sang bunga. Di saat itu bunga akan menjadi milik kumbang selama hayatnya dan terus menjadi hamba Tuhannya yang Maha Esa.

Kerana kini aku sedar ilham itu datangnya daripada ALLAH. Tidak mungkin aku mendustainya lagi. Aku berharap perubahanku kali ini adalah dengan erti perubahan yang sebenarnya. Aku tidak ingin toleh ke belakang semula.


Bismillahirrahmanirrahim..
Ya Allah,
Aku bermohon kepadaMu,
ampunkanlah dosa-dosaku yang dahulu,
ampunkanlah segala khilaf diriku ini,
Ya Allah,
Engkau pimpinlah hatiku ini
agar terus berada di jalanMu,
Engkau pimpinlah hatiku
agar terus mencari cintaMu,
Engkau pimpinlah hatiku
agar sentiasa di dalam redhaMu,
Ya Allah,
kepada Engkau aku menyembah
dan kepada Engkau aku memohon pertolongan,
pertemukanlah jodoh yang terbaik buatku,
seseorang yang sentiasa mendekatkan aku kepada cintaMu,
seseorang yang mengingatkan aku pada balasanMu,
seseorang yang menenangkan jiwaku,
Ya Allah,
Engkau perkenankanlah permintaanku ini,
sesungguhnya,
hanya Engkaulah tempatku memohon pertolongan
dan hanya Engkaulah sebaik-baik pengharapan.
Amin..ya Rabbal 'Alamin..

Semoga aku istiqamah dalam perjuangan ini. Insyaallah.. Aku sudahi kalam dengan lafaz Alhamdulillah..

Sekian, wassalam.
















Tuesday, February 23, 2010

m.a.a.f

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan lafaz mulia aku memulakan kalam.

Tajuk entri aku hari ini adalah seperti di atas, 'maaf'. Apa yang menariknya perkataan ini ya? Perkataan maaf ini ada kuasa yang tersendiri. Ada magisnya. Aku pada mulanya tidak percaya sehinggalah magis itu berlaku kepada diriku sendiri.

Kisahnya begini, aku membaca satu blog rakanku yang suatu ketika dahulu aku rapat dengannya. Maksudnya di sini aku sudah tidak lagi sekepala dengannya. Pemikiran kami sudah jauh berbeza. Tidak ada lagi kata sepakat antara kami. Malah, jika kami berselisih di jalanan pun senyuman tidak mampu terukir di bibir kami. Kami tidak bergaduh, cuma tidak serapat dahulu sahaja. Berbalik kepada kisah aku membaca blognya, ya, aku masih mengikuti perkembangannya. Aku membaca dari satu entri ke satu entri hinggalah aku telah ditakdirkan Allah untuk membaca satu entri mengenai kawan. Aku membaca dari satu baris ke satu baris, dari satu perenggan ke satu perenggan yang lain. Nah, di situ aku terlihat namaku disebut! (Dia turut menyebut nama rakan yang lain) Ayat yang ditujukan kepadaku lebih kurang begini, "Maaf untuk sepanjang kita berkawan". Ya, ayat tersebut ringkas dan mungkin ada yang berpendapat langsung tidak menunjukkan magisnya. Namun dengan ayat seringkas itulah telah berjaya menggetarkan jiwaku dan melembutkan hatiku yang keras ini. Ayat itu membuatkan aku terfikir mengenai satu frasa inggeris yang berbunyi, "Once a friend, always be a friend". Maksudnya sekali kita berkawan, selamanya kita akan berkawan. Pergaduhan, pertelingkahan dan salah faham adalah perencah kepada persahabatan. Kita boleh bercerai kasih, tetapi, kita tidak mungkin bercerai kawan.

Konklusinya di sini, mohonlah kemaafan kepada sesiapa yang kita pernah lukai atau sesiapa yang pernah melukai kita kerana kita tidak tahu mungkin dengan perkataan maaf itu, seribu masalah di duna ini mampu diselesaikan.

Sehingga itu, aku mengakhiri kalam ini dengan memohon maaf di atas khilaf diri andai terdapat sebarang kata yang mengguris mana-mana pihak. Sekian, dengan lafaz mulia aku memulakan kalam, dengan lafaz mulia jugalah aku mengakhiri kalam ini. Alhamdulillah..wassalam.

p/s: Aku ingin meminta maaf kepada semua yang pernah aku kenali sepanjang hayatku, mungkin ada sikapku yang tidak menyenangkan kalian. Maaf dipohon dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Monday, February 22, 2010

Lelaki dan Novel?

Bismillahirrahmanirrahim..

Siapa kata lelaki tidak boleh membaca novel? Memang novel lebih sinonim dengan perempuan, tetapi, lelaki tidaklah pula berdosa untuk membaca novel bukan? Aku perempuan, tetapi bukanlah seorang yang terlalu taksub dengan novel, biasa-biasa sahaja. Satu keburukan aku ialah apabila aku sudah memulakan pembacaan itu, aku susah untuk berhenti. Akibatnya solat, makan, tidur aku juga terjejas waktunya. Teruk bukan?

Lupakan sebentar mengenai aku dan kehidupanku. Aku ingin menulis berkaitan lelaki dan novel. Bagiku lelaki yang membaca novel bukanlah seorang yang lembut atau pun jiwang. Mengikut penilaianku, (penilaianku ini sekadar pandangan individu, tidak ada teori) mereka (lelaki yang membaca novel) adalah sebenarnya seseorang yang mempunyai sensitiviti yang tinggi. Mereka lebih memahami orang lain (mungkin). Tetapi tidak semua juga.

Abangku yang sulung juga membaca novel. Aku melihat perbandingan abangku yang sulung ini dengan abangku seorang lagi, abangku yang sulung ternyata lebih menunjukkan kasih sayangnya kepada adik bongsunya ini. (Ye ke? =)) Bagi abangku yang seorang lagi agak kasar sedikit. Namun secara keseluruhannya, kedua-dua pun kasar.

Tadi baru sebentar aku melayani Facebook. Bersembang dengan seorang rakanku yang lelaki. Tiba-tiba terselit tentang topik meembaca novel ini, aku terfikir sekali lagi, tidak salah lelaki membaca novel. Aku tidaklah rapat dengan rakan lelakiku itu tadi dan aku tidak tahu peribadinya secara keseluruhan. Tetapi apa yang aku lihat, dia seperti lelaki biasa sahaja, tidak ada lembut di mana-mana.

Seorang lagi rakan lelakiku di sekolag dahulu. Dia juga membaca novel. Karakter rakanku ini memang terkenal dengan kejiwangannya. Tidak hairanlah bagi yang ini bukan?

Lagi satu aku dapat fikirkan bahawa lelaki yang membaca novel ini akan lebih memahami perasaan perempuan. Mereka mungkin akan menjadi suami yang baik dan memahami. InsyaAllah (Aku berharap bakal suamiku nanti seorang yang memahami).

Konklisinya di sini, wahai lelaki, jangan malu untuk mengaku anda seorang pembaca novel kerana itu sebenarnya kelebihan kalian. Sekian, aku menamatkan kalam ini.

Aku sudahi dengan lafaz Alhamdulillah..

Sunday, February 21, 2010

Cinta

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan penulisanku dengan lafaz yang mulia dan segala pujian aku panjatkan ke hadratNya.

Aku berasa terpanggil untuk menulis tentang cinta. Cinta itu indah bukan? Pasti semua orang memerlukan cinta dalam hidup mereka, termasuk diriku. Aku tidak terlepas daripada mempunyai perasaan ingin mencintai dan ingin dicintai. Ya, aku juga manusia biasa. Namun perasaan cintaku ini aku dahulukan kepada Allah dan RasulNya juga kepada ayahanda dan bondaku. Tiada siapa yang lebih layak untuk aku cintai melainkan Dia, Baginda dan mereka.

Tanpa cinta tidak mungkin aku wujud di muka bumi ini. Tanpa cinta tidak mungkin aku dapat bernafas hingga ke hari ini. Cinta Allah, itulah cinta yang hakiki.

Namun di sini inginku selitkan mengenai pemilik maksudku bakal pemilik cintaku selepas Allah, RasulNya dan ayahanda bonda. Perasaan cinta adalah fitrah manusia. Sejak dari penciptaan Adam lagi Allah telah melahirkan perasaan ingin berteman dalam diri Adam. Lalu diciptakan Allah Hawa dari tulang rusuk Adam sebagai peneman Adam di kala sunyi.

"Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduh orang. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."
[An-Nur 24:26]

Ayat di atas jelas bukan? Kenapa aku harus risau tentang jodohku? Sedangkan Allah sudah menyediakan yang terbaik untuk hamba-hambaNya bersesuaian dengan kelayakan kita. Jika kita baik, Allah menyediakan pasangan yang terbaik untuk kita. Namun jika kita tergolong dalam golongan yang keji, pasangan kita juga tentu dari golongan yang keji. Jadi dapat disimpulkan di sini jika kita menginginkan pasangan yang baik untuk diri kita, kita perlulah memperbaiki diri dan menyediakan diri untuk menjadi yang terbaik juga. Pesanan ini untuk diriku dan semua yang membaca.

Hatiku pernah disentuh. Tentunya oleh seseorang yang bergelar Adam. Imanku lemah? Atau nafsu yang menguasai diriku? Ya, iman manusia ada naik turunnya bukan? Tatkala turunnya iman manusia itulah nafsu akan cuba mendapatkan tempat. Syaitan juga akan menyemarakkan lagi gelojak nafsu ini. Ya Allah, aku bermohon kepadaMu agar aku tidak jatuh ke dalam jurang cinta nafsu, amin.

Adam yang pernah mengetuk pintu hatiku mempunyai kelebihan dan kelemahan sendiri. Ah, gila kiranya aku ingin menceritakan peribadinya di sini. Aku tidak memujinya apatah lagi ingin memujanya. Siapa Adam itu? Biarlah hanya Allah dan aku yang mengetahuinya.

Apa yang ingin aku katakan di sini adalah cinta itu semulajadi sifatnya, tidak dipaksa dan tidak memaksa. Cuma kita perlu pandai menguruskan rasa cinta itu agar perasaan terus suci itu tidak dinodai dengan zina. Zina juga boleh berlaku melalui hati, tangan, lisan dan seumpamanya. Zina hati berlaku apabila hati kita mengingati seseorang yang tidak halal buat kita. Zina tangan apabila kita berpegangan tangan dan juga apabila menghantar SMS atau berchatting dengan bukan mahram. Zina lisan pula boleh berlaku ketika kita berbual dengan bukan mahram sama ada secara berdepan mahupun di telefon.

Bagaimana caranya hendak menguruskan cinta itu? Aku cuba begini, muhasabah kembali kepada siapa sepatutnya aku layarkan cinta tersebut. Aku menemui jawapannya, Allah. Dialah yang menciptakan kita, Dia jugalah yang menciptakan cinta. Oleh hal yang demikian, aku memutuskan biarlah cintaku menjadi hak kepada Pencipta cinta itu sendiri. Ya, cara ini memerlukan pengorbanan. Metodnya berdoalah kepada Allah yang Maha Esa. Mohonlah agar dijauhkan dari cinta yang tidak pasti ini dan mohonlah untuk mendapat cintaNya. Istiqamah itu penting dalam setiap perjuangan.

Antara cara untuk mengelakkan zina hati tentunya dengan zikrullah wa zikrulmaut.
Kerana dengan mengingati Allah jiwa kita akan tenang dan dengan mengingati mati kita kita akan terus terleka dengan duniawi.

"Katakanlah kepada lelaki-lelaki beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka buat"
[An-Nur 24:31]

Ayat di atas menyuruh lelaki-lelaki (termasuk perempuan) beriman agar menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Cara ini juga dapat mengelakkan zina mata dan juga hati kerana kata pepatah menyebut "dari mata turun ke hati" lantas untuk menjaga hati perlu juga menjaga mata. Setuju?

Ada satu lagi cara yang aku kira menarik. Aku baru terbaca di satu blog yang memaparkan artikel daripada majalah I mungkin, berkaitan nikah khitbah. Nikah khitbah atau senang difahami dengan nikah gantung. Ya, aku bersetuju dengan cara ini kerana dapat mengurangkan gejala 'couple' yang haram lantas beralih kepada 'couple' yang halal. Caranya mudah, (ini disyorkan untuk pelajar) untuk mengelakkan zina jangan ber'couple', untuk mengelakkan 'couple' teruslah nikah! Ramai yang akan fikir panjang dan akan berkata, "nikah ni bukan perkara main-main". Ya, ini perkara serius, larangan Allah juga perkara serius bukan? Jadi mengapa memilih untuk melakukan maksiat sedangkan ada cara yang menghalalkannya? Nikah khitbah ini adalah bernikah tetapi tidak duduk sebumbung, suami tidak perlu menanggung isteri sepenuhnya lagi. Kelebihannya pasangan yang bercinta itu boleh melakukan apa sahaja kerana hubungan itu telah halal. Berdua-duaan seperti pasangan 'couple' yang lain tetapi dalam keadaan yang halal. Menarik bukan? Aku juga berfikir akan bernikah khitbah andai jodoh sampai awal dan situasi mendesak.

Aku fikir cukup dahulu bicara cintaku kali ini. Aku ingin terus mencari cinta Kekasihku, Allah. Sekian. Wallahu'alam..

Saturday, February 20, 2010

awal kalam

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan lafaz yang mulia aku memulakan penulisanku. Bersama harapan agar penulisanku ini dapat memberi manfaat dan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana individu, kaum, agama atau pihak.

Penulisanku ini adalah lahir dari hati, jiwa, akal dan iman seorang mujahidah yang sentiasa merindukan syahid di jalanNYA. Mujahidah ini kadangkala terleka dengan duniawi namun sentiasa berharap agar redha ALLAH berada di sisi. Amin..

Biar kalam ini menjadi tempat untuk aku menyuarakan pendapat dan fikiranku. Andai tersalah, maaf dahulu dipinta. Aku ini bukanlah seorang yang sempurna. Aku seorang hamba yang banyak khilafnya. Segala yang sempurna itu milik ALLAH yang Maha Sempurna.

Sebelum kalam ini diakhiri, segala puji ku serahkan bagi ALLAH kerana akhirnya aku mempunyai satu wadah untuk aku menyuarakan isi hatiku. Alhamdulilllah..