Demi Masa

Tuesday, May 24, 2011

Syukur

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali menukil kalam dengan dimulakan dengan menyebut nama Allah. Segala puji dan puja hanya layak untukNya. Semoga redha dan rahmatNya sentiasa melimpahi ke atas seluruh makhluknya. Seluruh hembusan nafasku aku niatkan hanya keranaNya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, syukur Ya Allah for each and everything, untuk setiap dan segala sesuatu. Pasti sahaja aku tidak berjaya untuk mensyukuri setiap nikmatMu, kerana terlalu banyak. Aku berharap dan berdoa agar aku sentiasa tergolong dalam golongan hambaMu yang bersyukur. Amin.

Seronok, amanah yang dipertanggungjawabkan sudah selesai. InsyaAllah semua orang gembira, dan yang paling penting Allah redha. Selesai sahaja muakha kedua hari sabtu lepas, aku sertai pula family day JASA. Memang mantop! Dalam kepenatan dek program muakha, masih dalam tersenyum bersama JASA. Memang ukhuwah kerana Allah sentiasa terasa indah. Walau agak sedih sedikit kerana hanya sempat menyertai mereka pada petang sahaja, acara pagi dan malam tidak berkesempatan. Malam, Ummi dan Ayah datang dari Ipoh bersama Abangme sekali, tentu sahaja hati ini lebih memilih untuk bersama keluarga sendiri, bukan?

Dinner bersama keluarga tercinta di restoran tom yam ditambah pula dalam keadaan sangat lapar, memang terbaik! Uhibbukum lillahi ta'ala.

Memikul tugas sebagai PM membolehkan aku menyelit bersama adik-adik pada bila-bila masa. Banyak perkara yang boleh membuat aku berfikir. Dan aku perlu sentiasa mengingatkan diri dan sentiasa memandang mulia kepada adik-adik kecil ini kerana dosa mereka lebih sedikit berbanding aku. Ya, darjat mereka lebih mulia di sisi Allah berbanding aku. Astagfirullah.

Sempat berta'aruf dan bertafahum sedikit bersama sekumpulan adik-adik.

Aku: Nama adik ape?
Adik 1: *
Adik 2: *
Adik 3: *
Adik 4: *
Aku: Adik darjah berape?
Adik 1: 3
Adik 2: 3
Adik 3: 3
Adik 4: 5
Aku: same sekolah tak ni?
Adik-adik: tak.
Aku: dekat rumah solat cukup lima waktu tak?
Adik 4: *geleng kepala sambil tersenyum-senyum.
Adik 3: kadang-kadang.
Adik 2: *angguk kepala.
Aku: *senyum
Adik 1: Solat. *sambil senyum
Aku: Subuh tadi solat tak?
Adik 1,2,3: *angguk kepala. Solat!!
Adik 4: *senyap, hanya tersenyum sedikit.
Aku: Isyak semalam?
Adik 1: solat. *senyum dengan comel.
Aku: betul ke ni? *sengaja mahu provok.
Adik 1: *angguk-angguk kepala.
Adik 2: solat.
Aku: *senyum
Adik 3: *angguk kepala
Adik 4: *geleng kepala
Aku: adik tau solat tak? Mak suruh solat tak?
Adik 4: Mak suruh solat. Mak kate nak ajar, tapi..
Aku: takpe, nanti akak-akak kat sini ajar tau.

*Senyum :)

Walaupun agak terkejut, aku harus menerima hakikat bahawa tanggungjawab itu kini terpikul di bahu kami sebagai mentor. Tidak perlu menyalahkan sesiapa, ini bukan waktunya untuk menunding jari kepada sesiapa. Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah mencari jalan dan cara terbaik agar dapat membawa adik-adik ini mengenali keindahan dan cara hidup Islam yang hakiki.

Mungkin dek dunia di era globalisasi dan modenisasi ini, masing-masing sibuk mengejar matlamat duniawi dan saling bersaing sesama sendiri hingga terlupa tujuan utama penciptaan kita iaitu beribadat kepada Allah, dan tanggungjawab kita di muka bumi sebagai khalifah.

Sekarang, aku perlu sedar bahawa tanggungjawab aku sebagai mentor Gemilang ini bukan sahaja hanya mendidik mentee-mentee, malah lebih dari itu. Ya Allah, bantulah aku menjalankan amanah ini sebaik mungkin. Amin.

Wednesday, May 18, 2011

Dakwah itu AMANAH

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak untukNya. Aku sentiasa mendamba redhaNya di setiap nafas yang dihembus. Semoga rahmat Allah melimpahi seluruh alam. Selawat dan salam aku sertakan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, hari ini berpeluang untuk menikmati waktu sebelum subuh. Subhanallah, terasa tenang. Aku mahu sentiasa begini. Bangun-bangun pagi aku selak tirai, iya, seperti semalam bulan mengambang penuh. Doa bangun tidur dibaca serta tasbih meniti di bibir. Indah, cantik serta mendamaikan hati hamba-hamba yang merindui Tuhannya. Teringat pula ketika perjalanan ke Tohoi dahulu, bulan juga mengambang seperti pagi tadi.

*Senyum :)

Sempat mendengar motivasi pagi di IKIM.fm tadi. Topik hari ini berkisar mengenai ayat 'wa makaru wa makarallah, wallahu khairul makirin'. Kita merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah adalah yang terbaik. Tuntasnya, kita hanya mampu merancang dan bertawakal kepada Allah kerana Allah adalah sebaik-baik penolong dan sebaik-baik sandaran. Tawakaltu 'alallah!

Sekarang secara rasmi atau tidak aku sudah bergelar ahli JASA. Sebuah kelab khidmat masyarakat untuk berdakwah kepada orang asli. Secara jujurnya aku terasa kerdil bersama ahli-ahli kelab yang lain, tambah-tambah ahli senior. Mereka telah banyak ilmu dan pengalaman. Sungguh, mereka insan hebat!

Aku yang baru sahaja hendak berjinak-jinak dalam medan dakwah ini terasa seperti serba kekurangan. Rasa tidak layak berdiri di samping mereka. Benar, aku tidak seharusnya hanya menyatakan kekurangan, aku perlu menimba ilmu dari mereka. Modul-modul latihan yang disediakan oleh main board memang benar-benar untuk melatih ahli-ahlinya untuk lebih mantop. Tetapi, aku masih belum berpeluang menghadirkan diri dalam latihan mereka, disebabkan itu aku terasa sangat kerdil berbanding mereka.

Sungguh, jika duduk dalam halaqah bersama insan-insan ini, aku terasa sangat malu. Tidak selayaknya aku duduk sekumpulan bersama mereka. Aura mereka terasa sangat hebat. Mereka adalah insan-insan yang aku kagumi dan aku segani. Aku sangat bertuah berpeluang untuk mengenali mereka. Dan persoalan yang sering timbul ialah, mampukah aku menjadi seperti mereka?

Ya Allah, aku memikul amanah dakwahMu. Bantulah aku melaksanakannya sehabis baik. Permudahkanlah aku untuk menjalankan segalanya. Redhailah setiap langkahku untuk menjalankan tanggungjawab ini. Aku yakin Engkaulah sebaik-baik penolong, sebaik-baik sandaran. Suburkanlah nafas dakwah di dalam jiwaku agar ia menjadi sebahagian dari hidupku dan ikhlaskanlah niatku hanya keranaMu. Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Wallahu'alam bissawab. Aku, terus mengharap padaNya.

Tuesday, May 17, 2011

Minggu kedua

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak untukNya. Sentiasa mengharap redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam dititipkan buat Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk menghirup udaraNya. Jika dihitung amalanku pasti tidak layak untuk terus menerima nikmat dariNya. Sungguh, Dia Maha Pengasih, Maha Penyayang.

Sudah pun masuk minggu kedua bagi semester pendek ini. Dan semalam telah bermula kelas pertamaku dan satu-satunya subjek yang aku ambil bagi semester ini iaitu, Bahasa Melayu untuk Kerjaya. Ramai sahaja terkejut di kala aku menyatakan bahawa itulah satu-satunya subjek yang aku ambil bagi semester ini, namun aku yakin aku punya alasan kukuh untuk itu.

Tugasan telah pun diberi oleh pensyarah. Banyak, memang banyak. Dan benar, aku tidak akan menyesal hanya mengambil satu subjek sahaja. Dek kerana tugasan yang banyak dan perlukan kesungguhan dan pelbagai aktiviti lagi yang aku rancang untuk dilakukan. InsyaAllah, masa aku tidak akan terbuang sia-sia sahaja. Walau aku akui, awal-awal ini masih banyak masa yang aku biarkan berlalu dengan sia-sia walaupun telah sibuk dengan bermacam-macam perjumpaan kelab.

Minggu kedua ini aku banyak tumpukan kepada tanggungjawabku sebagai Programme Manager bagi muakha kedua nanti. Mengharap dapat melakukan yang terbaik dan membaiki segala kelemahan yang berlaku semasa muakha pertama yang lepas. Ya Allah, permudahkanlah. Amin.

Sejujurnya, aku rasa teramat kekok ketika melaksanakan tanggungjawab ini. Iyalah, ahli-ahli jawatankuasa yang berada di bawahku kebanyakannya adalah senior. Jadi serba salah untuk aku memberi arahan. Mana tidak, terasa sepatutnya aku yang perlu diarah untuk melakukan itu dan ini, tetapi sekarang aku yang menyuruh mereka. Ya Allah. Ampunkan saye eh abang dan kakak? :)

Aku cuba sebaik mungkin untuk menukar ayat arahan kepada ayat meminta bantuan. Tetapi seringkali bimbang juga andai ayat itu tidak cukup lembut kepada mereka. Risau. Harapanku ialah menjadi ketua yang tidak membebani anak-anak buahnya. Mahu jadi seseorang yang memudahkan dan menyenangi hati semua pihak. Berjayakah aku?

Masih banyak yang aku perlu pelajari. Sehingga saat ini pun ada sahaja soalan yang aku tanya kepada senior-senior. Risau juga merimaskan mereka, tetapi mereka teramatlah baik hati kerana selalu menenangkan aku yang seringkali risau. Terima kasih ya, kakak-kakak dan abang-abang. Pertolongan anda hanya Allah mampu balas dengan setimpal.

Apa-apapun, maaf aku pohon andai selama aku memegang amanah ini aku telah menyusahkan kalian. Sama-samalah kita berdoa agar program minggu ini akan berjaya dan diredhai Allah. Amin.

Saya sayang kalian semua, sungguh!

*Senyum :)

Sunday, May 15, 2011

Muakha 2

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah. Segala puji bagiMu Ya Allah, pemelihara seluruh alam maya. Aku mendamba redhaMu di setiap hembusan nafasku, di setiap bait kataku, di setiap detik dan ketika. Selawat dan salam aku sertakan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih diberi peluang olehNya untuk merasai nikmat hari ini. Nikmat iman, Islam, kesihatan dan banyak lagi. Tidak terucap apatah lagi tertulis segala nikmatNya. Tetapi dek kerana setiap hari kita menerima nikmat ini, kita selalu alpa untuk mengucap syukur. Astagfirullahal'azim.

Semalam muakha pertama sudah selesai. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan elok walaupun ada kekalutan sedikit di sana sini. Tidak banyak pun. Overall, semua berjaya. Jadi, sekarang sedang berdebar untuk muakha kedua, di mana aku adalah insan yang bertanggungjawab ke atasnya. Ya Allah, permudahkanlah. Amin.

Ada beberapa masalah yang timbul, tetapi insyaAllah itu semua ada hikmah di sebaliknya. Masalah-masalah yang timbul ini sedar tidak sedar telah mematangkan aku juga banyak mengajar aku pelbagai perkara. Tidak ada yang perlu dikeluhkan, bukan?

Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.
[Al-Insyirah 94:5-6]


*Senyum :)

Saturday, May 14, 2011

Man Ana?

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan kalam dengan menyebut asma' Allah. Maha suci Tuhan yang mencipta sekalian alam. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku mengharap redhaNya mengiringiku setiap ketika. Selawat dan salam aku titipkan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, saat ini masih dipinjamkan nyawa untuk terus menjadi khalifah di atas muka bumi. Soalnya, adakah aku menjalankan amanahku sebagai khalifah dengan sebaiknya? Hanya Allah yang mampu menilai. Dan aku berharap masih ada peluang untuk aku membaiki kesilapan lampau.

Selalu aku terfikir, siapa aku dari sudut pandang insan lain? Ada juga bertanya namun tiada jawapan yang aku dapat. Siapa? Siapa? Siapa?

"die seorg yg kuat.. seorg yg berjiwa besar.. seorang yang positif..."

Jawapan salah seorang sahabat. Ya, saye tahu anda akan baca blog ini. Terima kasih ya? Tetapi, jawapan itu seperti tidak selayaknya buatku. InsyaAllah, aku akan berusaha untuk menjadi seperti yang anda anggap. Bukan untuk anda, tetapi lillahi ta'ala. Doakan aku.

Aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan diriku. When people ask, "Describe yourself." Surely, I'll never know how to describe myself. Teringat kelmarin semasa meeting JASA, sesi perkenal diri dek kerana ada seorang ahli baru, kata Abang Ali, "Syakirah ni penuh dengan kejutanlah."

*Senyum :)

Memang aku akui, baru beberapa minggu mengenali mereka, macam-macam kejutan mereka terima dariku. Bukan niatku, cuma memang itulah aku. Anda perlu kenal lebih lama untuk mengenali siapa sebenarnya aku. Zahirku tidak menepati sangkaan mereka mengenai peribadiku. Ummi dan ayah juga belum tentu mengenali keseluruhan diriku.

Aku, banyak wataknya. Mengenali aku selama lima tahun pun tidak cukup untuk mengetahui tentang diriku. Melainkan kamu bersama aku 24/7, itu mungkin. Kerana aku mempunyai pelbagai karakter yang berubah-ubah mengikut situasi dan orang sekeliling. Dengan orang ini aku begini, dengan orang itu aku begitu. Tetapi aku pasti ada sifat yang aku sama walau dalam keadaan apa sekali pun, cuma aku yang tidak tahu apa.

Keras kepala mungkin juga. Dan apa yang aku tahu, wajah aku memang tidak pandai menipu. Jika ada masalah, senang sahaja terpamer di muka. Jika sedih, satu dunia boleh tahu aku sedih. Jika suka, senyuman meleret-leret di bibir. Jika marah, orang tengok muka pun menyampah. Sedih kan, muka tidak mahu bekerjasama dengan kita untuk menyimpan rahsia? Hee~

Tetapi, muka sahajalah. Kalau rahsia lain, anda koreklah macam mana pun tidak dapat digali jumpa juga. Dan insyaAllah, rahsia dan aib orang lain juga kemas tersimpan dalam kotak rahsiaku. Tiada guna mendedahkannya bukan?

Sungguh, belum lagi aku temui seseorang yang benar-benar mengenaliku. Malah aku sendiri masih belum pasti dengan karakter diriku. Aku mohon jawapan kalian agar aku boleh mengubah diriku menjadi lebih baik. Sesiapa yang sudi, sila jawab ya? Saya mohon. Terima kasih. :)

Dan aku penuh dengan emosi juga, lihat, sekarang pun hati entah rasa apa-apa. Sedih ada, marah ada, kecewa ada, cemburu pun ada!

Friday, May 13, 2011

Amanah

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan kalam dengan dimulakan oleh asma' Allah. Segala puji bagiMu Ya Allah, Tuhan sekalian alam. Aku mengharap redhaMu di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, walaupun semester ini aku hanya mengambil satu subjek dan jadualku tersangatlah lapang, namun masa aku penuh terisi. InsyaAllah dengan perkara bermanfaat.

Hari ini sahaja masaku terisi dengan dua perjumpaan. Tiga sebenarnya tetapi terpaksa dikorbankan satu demi yang lebih utama. Jujur aku katakan, aku rasa bersalah kerana gagal untuk menghadirkan diri dan memberikan komitment penuh bagi kesemua kelab yang aku sertai. Ini soal amanah dan tanggungjawab.

Petang tadi dalam meeting JASA, satu amanah baru dipertanggungjawabkan kepadaku. Hasil keputusan syura, namaku terpilih untuk memikul amanah itu. Sampai sekarang aku masih memikirkan kelayakanku untuk menerima amanah itu. Mampukah aku? Atau aku terdiri dalam golongan menzalimi diri sendiri dan bodoh seperti dalam firman Allah:

Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
[Al-Ahzab 33:72]
Berteleku sebentar di atas tikar sejadah tadi menghayati makna firman Allah ini. Amanah. Bukan sesuatu yang boleh dianggap saja-saja. Ianya berat. Seperti nasihat Abang Ali tadi:
"Apabila kita sudah menerima sesebuah amanah, sebelah kaki kita sudah di neraka."

Astagfirullahal'azim. Kata-kata itu membuat aku berfikir hingga saat ini. Adakah aku cukup bersedia menerima amanah ini? Adakah niat aku ikhlas untuk menjalankan amanah ini? Ya Allah, hambaMu mengharap redhaMu dalam setiap perkerjaanku. Amin.

Aku terus menghayati makna ayat seterusnya:

(Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik; dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[Al-Ahzab 33:73]


Ya Allah Ya Rabbi, andai aku menerima amanah ini kerana inginkan duniaMu, aku mohon Engkau perbetulkan niatku hanya keranaMu. Jika aku menerima amanah ini kerana rasa tanggungjawab terhadap agamaMu, aku mohon Engkau permudahkan segala urusanku dan berilah pertolonganMu agar aku dapat melaksanakannya sehabis baik. Amin.

Habis mass gathering Gemilang tadi sempat seorang senior yang aku anggap sebagai abang menasihatiku. Panjang nasihatnya, banyak perspektif dia buka kepada mindaku. Dia menerangkan itu dan ini. Aku menjelas itu dan ini. Ya, aku akui terlalu banyak lagi yang aku perlu perbaiki. Dan iya, apa yang orang nampak pada kita tidak semestinya apa yang kita rasa adalah kita. Itu yang aku dapat konklusikan. Perbincangan tadi tidak ada penghujung pun. Berhenti begitu sahaja kerana aku juga tidak selesa berbicara dengan bukan mahram lama-lama. Benar saudara, saya masih perlukan banyak training. Dan aku masih ingat salah satu nasihatnya, korbankan sebahagiannya, fokus pada salah satu. Pilih yang lebih memberi manfaat. Fahamlah aku manfaat yang dimaksudkan ialah manfaat bagi dunia dan akhirat.

Sehingga saat ini aku masih memikirkan perkara amanah ini. Mengharap kata-kata pendorong dari semua agar aku dapat laksanakan amanah ini dengan sehabis baik. Dan yang paling penting redha Allah bersama mengiringi kehidupanku. Amin.

Aku, terus berfikir.

Wednesday, May 11, 2011

Pesan Ummi Ayah

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Segala puji dan puja hanya layak untukMu. Aku mengharap redhaMu di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku sertakan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Allah datangkan sakit supaya kita bersyukur akan nikmat sihat, betul tak? Ya Allah, redhakan aku dengan setiap ujian yang Engkau berikan kepadaku. Amin.

*Senyum :)

Setiap hari aku akan menelefon Ummi dan Ayah. Setiap pagi dan malam. Tetapi sudahkah aku layak bergelar anak solehah? Ada suatu hari aku mendengar ceramah di radio, katanya, "Tidak digelar soleh/solehah seseorang anak itu jika ibu bapanya yang bertanyakan khabarnya dahulu". Allah. Memang selalunya itu yang berlaku. Astagfirullahal'azim.

Tadi pagi, sembang-sembang sebentar di telefon bersama Ummi dan Ayah. Pesan mereka memandangkan semester pendek ini tersangatlah banyak masa terluangku, mereka mencadangkan, "hafal Quran ye Syakirah?". Subhanallah. Ada niat itu dan alhamdulillah Ummi dan Ayah telah memberi kata-kata peransang. Mudahkan segala urusanku Ya Allah. Amin.

Banyak lagi pesan mereka yang menjadi sebahagian hidupku selama ini. Tetapi tidak punya banyak masa untuk menulis, ada meeting sebentar lagi.

Wassalam.

Monday, May 9, 2011

Beginning

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan kalam dengan menyebut asma' Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji dan puja hanya layak untukMu. Hanya Engkau yang aku sembah dan hanya Engkau tempat memohon pertolongan. Selawat dan salam disertakan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Hari ini hari kedua di UIA. Masih tiada sebarang aktiviti yang sibuk. Sepanjang hari aku memerap di dalam bilik. Dua orang kakak roommatesku sedang praktikal jadinya awal pagi lagi sudah hilang, lewat petang baru pulang. Adah pula keluar ke Mydin tengah hari tadi bersama Umi. Malam ini pula dia sambung kerja di kiosk Hafsah. Aku jadi penunggu biliklah sepanjang hari ini.

Jadinya terlalu banyak masa terbuang, melayari internet tetapi tiada yang menarik sangat pun. Sambil-sambil itu aku mengambil waktu untuk berfikir mengenai muakha kedua nanti yang mana aku dilantik sebagai Programme Managernya. Amanahnya besar, jadi aku tidak boleh lakukan sambil lewa.

Namun begitu, terlalu banyak yang aku tidak tahu dalam menguruskan muakha ini. Kosong. Risau juga program itu nanti tidak berlangsung dengan sempurna. Ya Allah, permudahkanlah segalanya. Amin.

Dalam sedar tidak sedar, pengalaman mengikuti program Wind of Change 6 ke Tohoi beberapa minggu yang lepas banyak mengajarku. Banyak juga mengubahku. Banyak yang baik, namun aku akui ada juga yang kurang baik. Tetapi aku bersyukur kerana dipertemukan dengan insan-insan baik yang sudi menegur kekhilafanku. Tidak keterlaluan andai aku katakan aku sayang kepada mereka, lillahi ta'ala.

  • skrg kamu da bergaul dgn ramai kwn n sy tumpang happy tgk kamu da ada ramai kwn d fb,tp jgn leka lak ea n hati2 berkwn tu,lagi2 kamu sbg wanita..
  • ayat die,,,,,,,ewah2......haha. owh, ko sblm pegi tohoi fesbuk pun xde kan..............skrg ni......................bapak r.................xtau la nk ckp cemane die dlm fesbuk.............. kalu jmpa face 2 face diam je ek................kalu komen fesbuk................peehhhh....kemain gempak ayat die kan.....................

Di atas adalah antara nasihat dan teguran yang aku terima. Tersentak itu tidaklah, aku lebih kepada bersyukur kerana Allah mendatangkan peringatan kepadaku melalui perantaraan mereka ini. Siapa mereka? Biarlah rahsia. Hanya Allah, aku dan orang terlibat sahaja yang mengetahui. Kedua-duanya orang yang berbeza, dan aku hormati. Terima kasih ya?

*Senyum :)

MasyaAllah..rasanya terlalu banyak yang ingin ditulis tetapi seakan-akan mati idea. Jadi sampai di sini dahulu. Mata pun sudah berat. Aku akhiri dengan subhanallah, alhamdulillah, Allahuakbar.


Sunday, May 8, 2011

Nafas

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan menyebut asma' Allah aku memulakan kalam bicaraku. Maha Pengasih dan Maha Penyayang Engkau Ya Allah, masih memberi aku peluang bernafas di bumiMu. Setiap helaan nafasku aku mengharap redhaMu. Selawat dan salam aku titipkan buat Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, telah selamat sampai di UIA tengah hari tadi. Syukur segalanya dipermudahkan Allah.

Jadi sempena semester baru ini, walaupun pendek, azam dan niat perlu ditajdid semula. Semua yang dilakukan mesti lillahi ta'ala. Selamat bermujahadah, wahai mujahidah!

Friday, May 6, 2011

Apa itu cinta?

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku mengharap redhaMu di setiap hembusan nafasku. Segala puji dan puja hanya layak bagiMu. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Malam ini tiba-tiba datang mood tentang cinta. Entah mengapa, hati terasa penuh dengan cinta pada malam ini. Terusik dek perkataan itu. Suka. Tadi sempat menonton semanis kurma berkenaan 'Kasih Ibu'. Sungguh menyentuh qalbu.

Tidak mudah melafaz cinta. Dan sajak dari filem Ketika Cinta Bertasbih ini menerang tentang cinta. Aku hayati dan dalami.

Cinta adalah kekuatan,
yang mampu mengubah duri jadi mawar,
mengubah cuka jadi anggur,
mengubah sedih jadi riang,
mengubah amarah jadi ramah,
mengubah musibah jadi muhibbah,
itulah cinta..

Dideklamasikan oleh Ayyatul Husna


Sekalipun cinta telah ku uraikan,
dan ku jelaskan panjang lebar,
namun jika cinta kudatangi,
aku jadi malu pada keteranganku sendiri…
meskipun lidahku telah mampu menguraikan,
namun tanpa lidah, cinta ternyata lebih terang..
sementara pena begitu tergesa-gesa menuliskannya..
kata-kata pecah berkeping-keping,
begitu sampai kepada cinta..
dalam menguraikan cinta,
akal terbaring tak berdaya,
bagaikan keldai terbaring dalam lumpur..
cinta sendirilah yang menerangkan cinta dan percintaan..

Dideklamasikan oleh Anna AlthaFunnisa

Indah sungguh cinta jika bermatlamatkan Allah. Aku berharap cinta yang aku pelihara kemas di dalam hati selama ini hanya layak diberikan kepada insan yang Allah takdirkan buatku. Ya Allah, peliharalah cintaku agar tidak melebihi cintaku kepadaMu. Tautkanlah hatiku dengan hati insan yang sama-sama melabuhkan cintanya kepadaMu. Satukanlah kami dengan rahmat dan cintaMu. Amin Ya Rabbal 'Alamin.




Tuesday, May 3, 2011

Mekar

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan menyebut nama Allah. Segala puji dan puja hanya layak untuknya. Mengharap redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku titipkan bersama buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Aku bersyukur Ya Allah dengan nikmat iman dan Islam ini. Alhamdulillah.

"anggap lah istiqomah itu seperti bernafas...ia proses yg sentiasa berterusan, perlu utk menjadi nadi pd jiwa yg menjadi kuntum bungaan kasih Illahi yg mekar..andainya istiqomah tu berhenti, tentulah layu kuntum bungaan tu"

Subhanallah. Melayari facebook tadi. Masih. Sedang mencedok ilmu daripada seseorang yang lebih berpengalaman. Alhamdulillah banyak ilmu yang dapat. Ayat di atas pula dapat dari seseorang yang aku hormati. Subhanallah, indah gubahan ayatnya. Mendalam pula. Syukran ya akhi!

Ilmu yang sedang aku cedok ini insyaAllah bakal dikongsi. Tetapi tunggu nanti, sekarang belum habis menuntut.

*Senyum :)

Allahu'alam bissawab.