Demi Masa

Wednesday, May 18, 2011

Dakwah itu AMANAH

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak untukNya. Aku sentiasa mendamba redhaNya di setiap nafas yang dihembus. Semoga rahmat Allah melimpahi seluruh alam. Selawat dan salam aku sertakan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, hari ini berpeluang untuk menikmati waktu sebelum subuh. Subhanallah, terasa tenang. Aku mahu sentiasa begini. Bangun-bangun pagi aku selak tirai, iya, seperti semalam bulan mengambang penuh. Doa bangun tidur dibaca serta tasbih meniti di bibir. Indah, cantik serta mendamaikan hati hamba-hamba yang merindui Tuhannya. Teringat pula ketika perjalanan ke Tohoi dahulu, bulan juga mengambang seperti pagi tadi.

*Senyum :)

Sempat mendengar motivasi pagi di IKIM.fm tadi. Topik hari ini berkisar mengenai ayat 'wa makaru wa makarallah, wallahu khairul makirin'. Kita merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah adalah yang terbaik. Tuntasnya, kita hanya mampu merancang dan bertawakal kepada Allah kerana Allah adalah sebaik-baik penolong dan sebaik-baik sandaran. Tawakaltu 'alallah!

Sekarang secara rasmi atau tidak aku sudah bergelar ahli JASA. Sebuah kelab khidmat masyarakat untuk berdakwah kepada orang asli. Secara jujurnya aku terasa kerdil bersama ahli-ahli kelab yang lain, tambah-tambah ahli senior. Mereka telah banyak ilmu dan pengalaman. Sungguh, mereka insan hebat!

Aku yang baru sahaja hendak berjinak-jinak dalam medan dakwah ini terasa seperti serba kekurangan. Rasa tidak layak berdiri di samping mereka. Benar, aku tidak seharusnya hanya menyatakan kekurangan, aku perlu menimba ilmu dari mereka. Modul-modul latihan yang disediakan oleh main board memang benar-benar untuk melatih ahli-ahlinya untuk lebih mantop. Tetapi, aku masih belum berpeluang menghadirkan diri dalam latihan mereka, disebabkan itu aku terasa sangat kerdil berbanding mereka.

Sungguh, jika duduk dalam halaqah bersama insan-insan ini, aku terasa sangat malu. Tidak selayaknya aku duduk sekumpulan bersama mereka. Aura mereka terasa sangat hebat. Mereka adalah insan-insan yang aku kagumi dan aku segani. Aku sangat bertuah berpeluang untuk mengenali mereka. Dan persoalan yang sering timbul ialah, mampukah aku menjadi seperti mereka?

Ya Allah, aku memikul amanah dakwahMu. Bantulah aku melaksanakannya sehabis baik. Permudahkanlah aku untuk menjalankan segalanya. Redhailah setiap langkahku untuk menjalankan tanggungjawab ini. Aku yakin Engkaulah sebaik-baik penolong, sebaik-baik sandaran. Suburkanlah nafas dakwah di dalam jiwaku agar ia menjadi sebahagian dari hidupku dan ikhlaskanlah niatku hanya keranaMu. Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Wallahu'alam bissawab. Aku, terus mengharap padaNya.

No comments: