Demi Masa

Sunday, July 31, 2011

Ramadhan Kareem :)

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan asma' Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Segala puja dan puji hanya layak bagiNya. Mengharap redhaNya mengiringi setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah masih diberi peluang untuk hidup dalam nikmat iman dan Islam. Semoga dipanjangkan umur untuk menemui Ramadhan yang insyaAllah bermula pada maghrib ini. Ya Allah, rindunya pada bulan mulia ini!


credit: Freshie


Malam ini bermulalah ibadat terawikh. Teringat lagi terawikh berjemaah di maktab dahulu. Rindunya pada alunan-alunan selawat di antara dua rakaat terawikh itu. Allah. Semoga aku masih sempat menikmati rasa syahdu itu. Amin.

Rindu juga menyambut ramadhan bersama-sama sahabat ketika di maktab. Berbuka bersama-sama. Bersahur dikejutkan oleh warden. Teringat suara nyaring Cikgu Halijah bersama Cik Pah End mengejutkan kami bersahur. Tidak lupa pada heiler (seriously, how to spell this thing?) yang kian menjadi 'lullaby' untuk kami.

Sahabat, walau di mana kalian berada, semoga ramadhan kali ini lebih baik daripada ramadhan yang sebelunnya. InsyaAllah. Aku doakan semoga segala amalan kita diterima dan mendapat tempat disisiNya. Amin.

Ramadhan di UIA lain pula suasananya, tetapi masih indah. Lainnya ialah makanan perlu dibeli sendiri, bukan lagi beratur di DS. Terawikh pula ikut kehendak sendiri, berjemaah atau bersendirian, tidak lagi warden memaksa untuk turun berjemaah di surau. Di CFS dahulu sempat jugalah merasai sekali berpuasa di sana. Kadang-kadang terawikh di musolla KC sahaja. Kadang-kadang di masjid. Apa yang aku suka di musolla KC ialah di antara empat rakaat akan ada tazkirah pendek dari brothers DQ.

Di main campus pula, baru sekali berpuasa di sana. Pernah beberapa kali pergi ke bazaar ramadhan bersama Akak. Itu kenangan yang sangat seronok. Terawikh pula selalunya di MPH Safiyyah sahaja. Ke masjid hanya apabila ada kawan untuk ke sana. Kedua-dua tempat seronok. Harapnya masih punya peluang untuk merasai ramadhan yang akan datang di UIA lagi. Amin.

Walau apapun, berpuasa di kampung halaman adalah terbaik. Dapat meluangkan masa bersama keluarga. Juga dapat mengikut ayah ke masjid-masjid di merata tempat.

Di mana pun tempat kita menyambut ramadhan, harapnya roh ramadhan itu tetap hidup. Bulan inilah kita mahu melipatgandakan amalan kita. Bulan ini jugalah kita mahu mendidik nafsu kita kerana syaitan tiada lagi untuk menggoda kita. Antara kita dan nafsu sahaja, sama ada kita berjaya mengawalnya dengan iman atau sebaliknya. Beramallah, seolah-olah ini adalah ramadhan yang terakhir buat kita semua.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan ramadhan kareem kepada pembaca-pembaca yang sudi membaca blog yang serba kekurangan ini. Mohon maaf andai terdapat salah dan silap yang sengaja atau yang tidak disengajakan. Semoga kita berjaya di madrasah ramadhan ini dengan ijazah TAQWA. InsyaAllah, amin.

Allahu'alam bissawab.

*Senyum :)

Friday, July 29, 2011

Redha

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mula menukil kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku sentiasa mengharap redhaNya mengiringi di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih berpeluang menghirup nafas dalam nikmat iman dan Islam.

Pertama sekali, aku mahu menjelaskan kepada kalian post sebelum ini tiada kaitan antara hidup dan mati. Bimbang pula kalian berfikir yang tidak-tidak dan mengundang fitnah pula pada diri ini. Sengaja mahu merepek sebentar. Harap tiada fikiran buruk yang terbit di minda kalian ya?

Aku saat ini masih mengajar diri untuk redha dengan segala ketentuan Ilahi. Biasalah manusia, kadang-kadang terlepas juga untuk mempersoalkan takdir Allah. Astagfirullahal'azim.

Teringat aku kembali kepada frasa, "Redha Allah terletak kepada redha ibu bapa". Kebetulan terdengar di TV tadi. Minda cuba berfikir kaitan frasa itu dengan takdir Allah. Iya, mungkin juga apa yang aku mahukan tidak mendapat redha dari Ummi dan Ayah secara keseluruhan. Sebab itu Allah tidak perkenankan. Tentu sekali sebab utama hanya Allah yang tahu. Dia menetapkan sesuatu dengan hikmah. Yakinlah itu.

Contoh paling dekat sekarang ini, aku masih juga kadang-kadang cemburu kepada mereka yang terpilih untuk ke Tohoi. Pernah sekali itu, ada seseorang menghantar mesej menanyakan sama ada aku turut terpilih atau tidak. Di saat aku cuba untuk melupakan kesedihan tidak dapat ke Tohoilah insan tersebut kembali mengingatkan. Bersabar, berusaha menenangkan diri sendiri. Istigfar tidak henti-henti meniti di bibir kerana saat itu syaitan hampir-hampir berjaya membuatkan aku mempersoalkan takdir Ilahi. Allahuakbar, setelah tenang baru aku berupaya membalas mesejnya.

Sekarang aku berusaha untuk redha 100%. Dan insyaAllah, sekarang aku tidak mahu lagi berfikir kenapa aku tidak turut sama-sama berjuang ke Tohoi. Allah knows best. Tambahan pula, aku yakin kerana redha Ummi dan Ayah tidak sepenuhnya mengiringi permintaanku tempoh hari. Dalam berat sahaja Ummi dan Ayah memberi izin ketika aku menyatakan hasrat aku untuk kembali ke Tohoi. Allah mahu aku menabur bakti kepada Ummi dan Ayah dahulu sebelum pergi berbakti kepada ummah. Mungkin itu rencanaNya. Allahu'alam
.

Melihat status facebook rakan-rakan yang akan ke Tohoi, secara jujurnya terbit jua rasa sedih di hati kecilku. Tetapi insyaAllah, iman masih dapat mengawal rasa itu. Aku yakin, Allah punya hikmah untuk setiap takdirNya.

Mujahidah, redhalah!

*Senyum :)





Allah Knows Best

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali menukilkan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puja dan puji hanya untukNya. Semoga redhaNya mengiringi setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar. La haula wala quwwata illa billah.

Sempat menonton bola antara Malaysia dan Singapura tadi. Tidak tahu untuk mengulas apa, bukan aku tahu sangat pasal bola. Aku tonton tadi pun kerana ingin menyokong Malaysia. Keputusan seri membuatkan Malaysia gagal untuk ke peringkat seterusnya. Redhalah, itu yang terbaik.

Rasa-rasa mahu merendam hati ini ke dalam cecair peluntur sebentar. Banyak kekotoran dan hitam yang sudah lama menggelapkan hati. Kalaulah boleh dengan merendamkan hati ini ke dalam peluntur boleh menyucikannya semula, tentu sahaja akan aku buat. Tetapi, cara itu bukan sahaja tidak berkesan, malah boleh membawa maut! Gila.

Hanya dengan bertaubat dapat menyucikan semua itu, dengan keampunan dari Allah tentunya. Apabila dahi ini sujud dan merendahkan diri kepada Ilahi, saat itulah sebenarnya keadaan kita paling hampir denganNya. Saat itulah kita kembali mengakui
hakikat diri sebagai hamba. Aku mahu kembali kepada fitrah.

Duhai hati, jangan merindu pada yang bukan ahli. Letakkan rindumu hanya pada Ilahi. Hanya padaNya akan engkau temui cinta hakiki.

It has been five or six years and still counting. Yet, can't get rid of that name. Bukan aku tidak pernah mencuba. Dalam doa bersungguh aku memohon kepada Ilahi. Haih..mungkin mujahadah aku masih belum all out. Atau sahaja, hati ini yang tidak dijaga rapi agar tidak kotor kembali?

"Syak?? Masih??"

Aku hanya diam. Tiada jawapan konkrit untuk itu. Biar hatiku sahaja yang menjawab, "Allah knows best. Let Him decide."

Benar, aku akan terus menunggu. Menunggu Allah menentukan segalanya. InsyaAllah.

Wednesday, July 27, 2011

Jawapan

Bismillahirrahmanirrahim..

Adakalanya sebuah lagu mampu memberikan jawapan.


Tidak mahu berkata apa-apa. Hayati dan fahami. InsyaAllah
.

*Senyum :)


Sharing is Caring :)

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali menukil kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Semoga redhaNya tidak pernah berhenti mengiringi aku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, atas segala nikmatMu yang tidak terhingga.

Sekadar mahu berkongsi satu artikel yang aku sendiri tidak pasti dari mana. Asyik membelek files dalam hard disk terjumpa ini. Jadinya, ini bukan hasil tulisanku. Cuma ingin berkongsi dan harapnya bermanfaat. InsyaAllah.

Adab-adab memberi nasihat

1. Meluruskan niat sebelum menasihati

Luruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin diberikan.

Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.

2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati.

Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.

3. Bersih hati semasa menasihati.

Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.

4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara.

Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.

5. Memberi waktu dan kesempatan

Beri waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.

Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita sudah melaksanakan amanah ini?

Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati.

Allahu'alam bissawab.

*Senyum :)

Tuesday, July 26, 2011

Khas untuk Siti Zulaikha Mohd

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan asma' Allah. Harapnya Allah akan melimpahi rahmat dan kasihNya buatku dan sahabat yang aku sayangi, Ika. Aku sentiasa mendamba redhaMu Ya Allah.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

La haula wala quwwata illa billah.

I've read your blog, dear. I feel so mad. Yes, definitely. Mad at myself for being away from you. And now I understood thoroughly this isn't the best way.

Ika,
Kite tak mampu nak jadi macam Kak En yang sangat memahami Ika. Kite tau, lebih banyak perkara Ika kongsi dengan Kak En dan bukan kite. Kite tak kisah langsung, sebab kite tau dia lebih memahami Ika. Kalau Ika cerita kat kite pun, mungkin respons yang akan kite bagi tak macam yang Kak En bagi. She's supportive, while I'm not. Itu memang kelemahan kite, tak tahu macam mana nak bagi respons yang baik kat orang lain. Dan kite gembira Kak En ada untuk Ika kongsi masalah Ika sebab kite suka bila tengok Ika tenang. I love to see smiles on your face.

Ika,
Kite memang tak mampu nak jadi macam Angah yang sangat care kat Ika. Well, he knows more than me, indeed. Mula-mula memang kite terkilan, kenapa Angah lebih tahu daripada kite. Terasa sangatlah teruk kite ni sebagai seorang sahabat. Tapi lama-lama kite sedar, kalau kite tahu pun, cara kite ambil berat pasal Ika tak macam cara dia. Sifat caring sememangnya kelebihan dia. Kite pulak, memang hati keras. Maklumlah, orang tade adik, mana tahu nak ambil berat pasal orang lain. Kite tak tahu nak tunjukkan sifat prihatin. Ego tinggi. Tapi jujurnya, kite bersyukur sekurang-kurangnya ada orang ambil berat pasal Ika pada saat kite tak mampu nak buat camtu. Tadelah Ika akan rasa tiada siapa yang peduli pasal Ika. Kite gembira Angah ada, sebab kalau kite je, mesti Ika akan rasa teruknya ada sahabat macam kite. Tak tahu nak ambil berat kat Ika. Dan alhamdulillah, kite tahu, Ika tak sorang-sorang.

Ika,
Lagilah kite tak mampu nak jadi macam Along yang selalu ada kata-kata nasihat untuk Ika. Dia sentiasa sedia with his wisdom words untuk naikkan semangat Ika balik. Sedangkan kite, hanya tahu berdiam diri. Dan diam kite pulak telah melukakan hati Ika. Kite tak pernah ambil hati jika Ika lebih memilih Along untuk mendapatkan nasihat dan pandangan sebab kite tahu memang kite tak mampu. And I believe, he has done his best to be such a great brother to you. Kite bersyukur, Along wujud dalam keluarga yang ada tiba-tiba ini. Sebab, ada orang akan terus bagi kata-kata semangat untuk Ika. Ada orang akan sentiasa menasihatkan Ika. Sekurang-kurangnya kite tahu, Ika tak dibiarkan sendiri. Kalau kite je ada di samping Ika, mungkin Ika akan selalu rasa kehilangan dan down.

Terima kasih Kak En, Angah, Along sebab ada untuk Ika di saat saya tidak mampu untuk melakukannya. Terima kasih kerana mengasihi dan menyayangi dia. Terima kasih kerana terus memberi dia semangat untuk terus hidup. Terima kasih kerana memberi Ika senyum di saat dia berduka. Terima kasih!

Dan paling utama, terima kasih Allah kerana memberi sahabatku ini limpah rahmat dan kasihMu. Kerana memberi dia peluang untuk merasai nikmat kasih sayangMu. Terima kasih Allah kerana mengurniakan di sisinya insan-insan yang baik hati untuk menemaninya pada ketika aku tidak mampu untuk melakukan perkara tersebut. Aku pohon agar Engkau sentiasa menjaga dan melindunginya di setiap ketika. Amin.

Aku bersyukur Ya Allah kerana menganugerahi dia sebagai sahabat yang aku cintai.

Ika,
Kerana diri kite yang serba lemah ini, kite tak mampu nak jadi macam Kak En, Angah, mahu pun Along. Tetapi kite tetap menjadi diri kite, Ika. Kite tetap menjadi sahabat Ika, di dunia dan insyaAllah hingga di akhirat kelak. Kite akan sentiasa menjadi sahabat yang mahu menemani Ika di kala Ika sunyi. Kite sentiasa ingin menjadi sahabat yang mahu membuat Ika tersenyum di saat Ika bersedih. Kite mahu menjadi sahabat yang berkongsi rasa sakit kerana kite tak nak Ika menderita sorang-sorang. Dan kite mahu menjadi bahu, tempat Ika menangis.

Memang, kite tak mampu jadi macam mereka, tetapi kite tetap akan menjadi seorang SAHABAT Ika, percayalah. Ketahuilah, kite tak pernah menjauh dari Ika sebab Ika selalu ada dalam hati kite. Sayang kite pada Ika kerana Allah ta'ala. InsyaAllah.

Ika, mati itu bukan hanya disebabkan sakit. Andai ajal sudah memanggil, tiada siapa dapat menghalang. Tiada siapa yang tahu sama ada kite or Ika yang pergi dahulu. Semua itu di luar pengetahuan kita, Ika. Sementara masih punya waktu, dekatkanlah diri kepada Allah kerana Dia sebaik-baik tempat bergantung. Kami yang berada di samping Ika adalah secebis tanda cinta Allah buat Ika. Selebihnya hanya ada padaNya. Andai Ika yang pergi dahulu, tiada sekelumit rasa sakit hati pun ada pada kite, andai ada yang perlu dimaafkan pun, kite dah lama maafkan. Tetapi andai kite yang pergi dahulu, maafkan kite sebab tak mampu menjadi seperti mereka yang sentiasa menyenangkan Ika. Maafkan kite kerana menyakitkan hati Ika. Maafkan kite kerana membiarkan air mata ika mengalir. Redhakan kehidupan kite sepanjang kita menjadi sahabat.

Ika, mengingati mati itu perlu. Tetapi perlu disertakan dengan persediaan-persediaan untuk menghadapiNya. Kite berdoa agar sama-sama sempat untuk merasai ramadhan dan juga sama-sama di syurga kelak. Amin.

Lagu ini khas untuk Ika:


Monday, July 18, 2011

Maafkan Aku

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali menukil kalam dengan dimulakan dengan nama Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku masih dan sentiasa mengharap redha Ilahi mengiringi setiap hembusan nafasku dan setiap gerakan langkahku. Selawat dan salam aku titipkan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah kerana diberi akal untuk berfikir dan diberi iman untuk menilai.

Alhamdulillah for every single smile and each drop of tears, aku lebih tahu menghargai kehidupan.

Tetapi mungkin dek nafsu yang sembilan dan hati yang telah kotor dengan dosa serta maksiat aku tidak bijak untuk menghargai juga mensyukuri sebuah persahabatan.

Maafkan aku sahabat. Atau mungkin aku tidak layak digelar sebagai seorang sahabat pun.

"Ah, perempuan..asyik-asyik emosi!"

Mana-mana lelaki yang merasakan kami kaum hawa ini asyik dengan emosi, maaf, entri ini tiada kaitan dengan anda pun. Bukan niat menghalau, cuma jika anda asyik mengeluh perempuan asyik beremosi, bermakna anda perlu menilai siapa ibu anda. Jika tidak seorang ibu itu penuh dengan emosi, mungkin anda akan kelaparan ketika bayimu, dan mungkin anda bukan anda yang hari ini.

Ayuh mujahidah, kita berfikir dan bermuhasabah cara orang beriman.

Pertama, kenapa perlu kamu merasa marah? Kerana iman atau nafsu? Cuba muhasabah betul-betul. Jika kerana iman, alhamdulillah, itu tandanya iman kamu belum mati mujahidah. Jadi, kamu wajib membetulkan apa yang mencalarkan agamamu sehingga iman kamu menjadi marah. Kuatlah untuk mengubah, jangan sampai agama tergadai dek iman kamu yang lemah. Tetapi jika kerana nafsu kamu merasa marah, kamu benar-benar perlu beristigfar. Tanpa kamu sedar kamu telah membuat syaitan bersorak gembira kerana nafsu kamu telah menewaskan iman sehingga mampu mengawal amarahmu. Kamu tentu tidak mahu syaitan bergembira dek kelalaimu, bukan? Jadi berubahlah, buang amarah itu!

Kedua, kenapa perlu kamu mengeluh? Kerana kegagalan kamu atau kerana orang lain gagal memenuhi kehendakmu? Tarik nafas panjang-panjang, muhasabah dengan teliti. Jika keluhan kamu itu kerana kegagalan diri sendiri, analisa kembali apa yang menyebabkan kamu gagal. Kemudian, berusahalah untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama yang membolehkan kamu gagal lagi. Semua orang berhak untuk berjaya, di dunia dan di akhirat lebih-lebih lagi. Failure isn't the end of everything, but it's the process towards success. Yang mana kemudiannya kamu akan merasa indahnya sesebuah kejayaan itu. Namun, jika kamu mengeluh kerana orang lain gagal memenuhi kehendakmu, muhasabah kembali diri kamu. Siapa kamu untuk mereka mengikut sahaja apa kehendakmu? Tidak semua apa yang kita mahu akan kita dapat. Kerana Allah yang menentukan segalanya, bukan kita. Jika kita yang mentadbir alam mengikut kehendak kita, pasti akan hancur alam ini. Ya, pasti. Jadi Allah menyekat sebahagian daripada apa yang kita mahu kerana Allah merancang yang lebih baik untuk kita, malah untuk semua. Percayalah itu, insyaAllah kamu akan tenang.

Walau apapun, mengeluh bukan cara orang beriman menghadapi masalah. Cuba hayati firman Allah dalam Surah Al-Baqarah:

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.."
[Al-Baqarah 2:286]

Ya, Allah tidak akan menguji seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Kerana kamu mampu, kerana itu Allah uji.

Ketiga, kenapa kamu perlu menjauh? Kerana ingin bermuhasabah diri atau kerana ingin melepaskan diri? Jika kerana ingin bermuhasabah diri, syukurlah. Sekurang-kurangnya kamu mengambil sedikit waktu untuk memperbaiki diri. Jadi alasannya bukan kamu menjauh tetapi kamu mahu kembali kepada fitrah. Gunalah waktu kamu bersendirian ini untuk kamu lebih hampir kepada cinta Ilahi. Guna waktu ini untuk kamu berusaha memperbaiki diri dan berubah demi Allah. Fikirlah apa yang terbaik, dan yang penting sandarkan semuanya kepada Allah. Bagaimana pula ya jika kamu menjauh kerana ingin melepaskan diri? Fikir kembali, dari apa kamu mahu melepaskan diri? Melepaskan diri dari masalah atau dari tanggungjawab? Bukanlah sesuatu yang bijak jika kamu lari dari masalah. Masalah berlaku bukan untuk kita lari darinya tetapi kita perlu berani menghadapi masalah tersebut kerana sesuatu yang baru pasti akan kamu pelajari jika kamu berusaha untuk selesaikan masalah itu. Jika kamu lari dari tanggungjawab, sedarlah akibatnya di akhirat nanti. Kamu akan diminta untuk menjawab atas tanggungjawab yang telah kamu abaikan. Lalu bagaimana nanti alasanmu? Tanggungjawab bukan untuk dilepaskan tetapi untuk dijalankan.

Keempat, kenapa perlu hatimu merasa sakit? Kerana benci melihat kemungkaran atau kamu cemburu pada yang bukan hak? Koreksi betul-betul hatimu. Adakah ia bencikan kemungkaran atau ia telah terbiasa dengannya sehingga merasa selesa? Na'uzubillahiminzalik. Jika sakit hatimu dek kerana benci melihat kemungkaran, alhamdulillah, itu tandanya hati kamu masih punya iman. Tetapi membenci dengan hati bukankah selemah-lemah iman? Kamu mahu jadi yang paling lemahkah? Tentu tidak. Oleh itu, cubalah berbuat sesuatu instead of just membenci. Itu lebih baik, bukan? Jika sakit hati itu kerana cemburu, apakah layak kamu untuk mencemburui sesuatu yang bukan hak? Sekali lagi aku mohon kamu koreksi hati kamu, cemburu itu kerana iman atau kerana nafsu? Cemburu kerana iman yang aku maksudkan di sini ialah cemburu apabila mengetahui iman seseorang mukmin yang lain lebih teguh berbanding iman kamu. Contohnya mudah, kamu cemburu apabila seseorang itu lebih terasa indah beribadat kepada Allah sedangkan kamu seringkali terasa payah. Cemburu kerana nafsu tentu sahaja sedia maklum iaitu kamu merasa tidak senang apabila saudaramu mendapat lebih darimu. Sebagai contoh, kamu cemburu apabila rupa paras saudaramu lebih cantik darimu, ataupun orang yang kamu sukai tetapi tidak melayanmu malah mesra dengan orang lain. Wahh, contoh yang kedua itu kelihatan ekstrem sedikit ya? Wake up! There's no use to be jealous on such things. It's not worth at all. Malah merugikan diri kamu sahaja. Tiada apa yang kamu peroleh sebagai balasan tetapi sakit hati yang kamu dapat. Belajarlah untuk menerima segala ketentuanNya. Dia telah mentakdirkan hanya yang terbaik untuk hambaNya. Bersabar dan redhalah.


Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.
[Al-Israa' 17:21]


Yakinlah, sabar dan redhamu itu akan mendapat ganjaran yang lebih tinggi di akhirat kelak. Itu janji Allah, pasti.

Jadi mujahidah, jika orang lain sanggup berubah untuk menggembirakan sahabat, kenapa tidak kamu? Berusahalah, walau pada awalnya payah. Ikhlas itu akan datang kemudian jika kamu tidak mengeluh dan sentiasa sabar serta redha.

Dan jika kamu merasa lemah dan hampir berputus asa, mengadulah kepada Allah. Dia Maha Mendengar lagi Maha Penyayang. Tuhanmu tidak akan membiarkan hambaNya bersedih hati. Kuatlah, mujahidah!

Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".
[Al-Baqarah 2:249]

*Senyum :)

Do more than just think, PONDER..

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah, Ar-Rahman Ar-Rahim. Segala puji dan puja hanya layak bagiMu. Aku mengharap redhaMu mengiringi di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih diberi peluang bernafas di bumiNya. Syukur, masih punya waktu untuk menjalankan tanggungjawab sebagai hamba dan memperbetul mana yang tersilap.

Wanita, memang susah difahami. Itu kata-kata seorang lelaki kepadaku. Akhi, kalau mudah anda memahami wanita, pasti air mata wanita itu tiada guna lagi bukan? Well, secrets make a woman woman. Kerana itu anda tidak akan pernah memahami wanita kerana wanita penuh dengan rahsia.

Sifat aku yang sentiasa berahsia ini kadangkala disalah tafsir oleh insan yang ingin cuba menafsir apa yang cuba aku sembunyikan. Pedih, jika apa yang ditafsir itu jauh terpesong dari apa yang sebenarnya sehingga kadangkala menimbulkan fitnah. Allahuakbar, mungkin juga ini petunjuk dari Allah. Iyalah, mana mungkin mereka akan menafsirkan sedemikian jika bukan caraku yang menjurus mereka mempunyai fikiran begitu.

Muhasabah mujahidah, muhasabah.

Kalian tidak mungkin akan dapat memahami aku, percayalah. Namun, jika kalian berjaya menafsir aku, khabarkan kepadaku. Aku mahu mengucapkan tahniah.

Kajian yang dilakukan oleh Dato' Dr Haji Fadzilah Khamsah yang pernah aku terbaca mengenai bulan kelahiranku adalah seperti di bawah:
  • Banyak idea dalam perkara.
  • Sukar untuk dimengertikan atau difahami sikapnya.
  • Berfikiran kehadapan.
  • Berfikiran unik dan bijak.
  • Penuh dengan idea-idea baru yang luarbiasa.
  • Pemikiran yang tajam.
  • Daya firasat yang sangat halus dan tinggi.
  • Sesuai jadi seorang doktor.
  • Cermat dan teliti.
  • Personaliti yang dinamik.
  • Sifat yang berahsia, pandai mencungkil dan mencari rahsia.
  • Banyak berfikir, kurang bercakap tetapi mesra.
  • Berani, pemurah setia dan banyak kesabaran.
  • Terlalu degil dan keras hati.
  • Apabila berkehendak sesuatu, akan diusahakan sehingga berjaya.
  • Tak suka marah kecuali digugat.
  • Mudah ambil berat terhadap orang lain.
  • Pandai muhasabah diri.
  • Cara berfikir yang lain dari orang lain.
  • Otak yang sangat tajam.
  • Pandai mendorong diri sendiri.
  • Tidak hargai pujian.
  • Kekuatan semangat dan daya juang yang sangat tinggi apabila berkehendak sesuatu.
  • Cuba sampai berjaya.
  • Badan yang sasa.
  • Kasih sayang dan emosi yang sangat mendalam dan romantik.
  • Tidak pasti dengan hubungan kasih sayang.
  • Suka duduk di rumah.
  • Sangat rajin dan berkemampuan tinggi.
  • Amanah, jujur, setia dan pandai berahsia.
  • Tidak berapa berjaya dalam mengawal emosi.
  • Bercita-cita tinggi.
  • Perangai tidak dapat diramal dan mudah berubah-ubah
Memanglah tidak boleh dipercayai bulat-bulat, namun tidak aku nafikan kebanyakan yang disenaraikan hampir menepati diriku. Sifat yang berahsia, iya, sebab itu sehingga ada yang tersalah tafsir. Suka mencungkil rahsia, memang itu yang selalu aku buat. Selagi aku tidak berjaya aku tidak akan berhenti.

Aku juga suka memerhati. Sebab itu kadang-kadang aku mengetahui sesuatu sebelum diberitahu. Jadi tidak perlulah kalian menyalahkan sesiapa kerana membocorkan rahsia kalian kerana bukan salah mereka pun.

Bukan untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk kelebihan diri ini. Cuma aku tidak mahu kalian menyalahkan sesiapa yang tidak bersalah. Aku mengetahui sendiri, dengan izin Allah pastinya. Ini pun kerana kalian memberikan petunjuk-petunjuk untuk aku berfikir.

Jujurnya aku rimas menjadi seseorang yang bukan aku demi menjaga hati orang lain. Tetapi jika itu sahaja jalan yang ada untuk tidak melukakan hati sesiapa, mungkin aku yang perlu berkorban. Tetapi sekarang aku masih memerlukan waktu untuk memikirkan segala cause and effect untuk permasalahan ini. Ah, bukan masalah pun sebenarnya. Aku yang menjadikan ianya sebagai masalah. Jika aku lebih positif dan rasional mungkin segalanya akan mudah.

Maafkan aku sahabat. Bukan salah kamu pun. Cuma aku perlu waktu untuk mencari kembali diri aku yang seakan-akan hilang ini. InsyaAllah, jika itu yang terbaik, aku akan cuba mengubah diri aku sendiri selagi masih di jalan yang diredhai Allah. Sungguh, aku tidak kisah untuk berubah walaupun hakikatnya payah.

Terima kasih kepada yang memberikan nasihat kepadaku walaupun sudah lewat malam ketika itu, anda tahu siapa diri anda. Dan berkaitan assumption anda semalam, aku tidak menyalahkan anda 100%. Aku percaya ada hikmah yang ingin ditunjukkan oleh Allah. Aku yakin.

Aku menjauh kerana ingin mendekat. Even a part of me want to be close to you, friend. Aku sayang kamu, lillahi ta'ala.

Berikan aku waktu untuk berfikir. I'll do more than just think, ponder each and everything. InsyaAllah. Do pray for me yeah?

Saturday, July 16, 2011

Surat Wasiat

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan dengan menyebut asma' Allah, Ar-Rahman, Ar-Rahim. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku sentiasa mengharap redhaNya mengiringi di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku titipkan buatkan junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk bernafas. Walau seringkali aku menafikan nikmatNya, tidak pernah Allah mengenakan bayaran untuk menghirup udaraNya. Subhanallah.

1 hingga 3 Julai yang lepas aku telah menyertai satu Kem Iflah di Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan, Kuantan, Pahang sebagai fesilitator. Banyak pengalaman yang aku peroleh di sana. Ada suka, ada duka. Dan aku juga bersyukur kerana diberi peluang untuk mengenal rakan-rakan baru di sana, juga adik-adik. Alhamdulillah.

Slot pada hari yang terakhir adalah menulis surat wasiat kepada insan yang kita sayangi. Fesi juga terlibat dalam slot ini. Dan iya, aku juga mengalirkan air mata.

Sengaja aku ingin berkongsi mengenai isi kandungan surat yang aku tulis, kerana andai kertas itu hilang, masih ada blog ini sebagai wasiat kepada mereka yang aku cintai.

Assalamu'alaikum,

Ummi Ayah,
Abang, Akak, Abangme,
Kalianlah insan-insan yang paling Ala sayangi. Mungkin Ala tak pernah nak cakap yang Ala sayang semua, tapi sungguh, Ala sayang sangat, sangat, sangat kat semua.

Ummi, Ala tak tahu berapa lama lagi untuk hidup. Kematian itu akan datang bila-bila masa. Ala tau, berapa banyak pun Ala dah singgung hati Ummi, senyuman Ummi tak pernah hilang untuk Ala. Ala luka sikit pun Ummi risau. Bila Ala mengadu sakit kat Ummi, mesti Ummi doa supaya Allah pindahkan sakit tu pada Ummi. Ummi, Ala tak pernah mampu nak cakap depan-depan Ala sayang Ummi. Ala pasti Ummi adalah ibu terbaik di dunia.

Ayah, Ummi selalu cakap kalau Ala mintak apa-apa mesti Ayah bagi. Sebab Ayah sayang Ala lebih. Walaupun kadang-kadang Ayah kesempitan wang, Ayah tetap akan tunaikan apa saja yang Ala mintak. Ala bangga ada ayah macam Ayah. Sayang Ayah sampai ke syurga, Ayah akan selalu tegur kalau Ala buat silap sebab Ayah tak nak bagi anak-anak Ayah masuk neraka.

Ummi, Ayah, Ala tetap nak jadi anak manja Ummi Ayah walaupun Ala dah kahwin nanti. Kalau umur Ala panjang, Ala nak jaga Ummi Ayah sampai ke akhir hayat. Ala nak berbakti pada Ummi Ayah walau Ala takkan mampu nak balas jasa Ummi Ayah sampai bila-bila. Moga Allah beri ganjaran syurga untuk Ummi Ayah. Ala sebagai saksi, Ummi Ayah dah jadi ibu bapa terbaik dan laksanakan tanggungjawab sebaiknya.

Abang, Ala tau dari Ala kecik sampai sekarang Abang tetap paling sayang kat Ala antara adik-adik Abang yang lain. Abang tak pernah marah kat Ala. Ingat lagi waktu Ummi Ayah pergi haji dulu, time Ala tengah nangis teresak-esak, Abang pegang tangan Ala, pimpin sepanjang jalan. Memang time tu Ala dapat rasa sangat, sangat, sangat kasih seorang Abang. Kalau Ala nyakat Abang, Abang akan senyum je. Abang dah nak kahwin, entah Ala boleh rasa lagi ke tak kasih Abang kat Ala. Tapi Ala tetap nak Abang tahu, Ala sayang Abang.

Akak, antara adik-beradik lain, memang dengan Akak Ala paling rapat. Dulu, waktu kecik Ala selalu tiru Akak. Ala nak jadi macam Akak. Sampai Ala dah besar ni pun Akak still layan Ala macam budak-budak. Tapi jujur Ala cakap time Akak kahwin dulu Ala sedih sangat. Ala tau, Ala akan hilang teman bergurau, teman nak bergelak tawa, teman nak buat bising kat rumah. Dan memang pun, sekarang kat rumah Ala dah senyap, tak macam dulu. Ala rindu Akak! Ala sayang Akak!

Abangme, memang Ala macam tak rapat dengan Abangme. Tapi time kecik-kecik dulu Ala mana ada kawan nak bermain. Abangme la yang selalu teman even selalu rimas dengan Ala. Memang, Abangme paling kasar dengan Ala, tapi Ala dapat rasa kasih sayang Abangme. Time Ala nak ambik result PMR dulu Abangme jelah dapat teman pun. Dan Abangme insan paling gembira time tu. Ala sayang Abangme, sungguh!

Ummi, Ayah, Abang, Akak, Abangme, redhailah Ala sepanjang kehidupan Ala bersama kalian.

Wassalam.

Friday, July 15, 2011

Suara Hati Seorang Lelaki

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan asma' Allah aku menukilkan kalam. Mengharap redhaNya mengiringi hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasululllah SAW.

Kali ini hanya ingin link ke blog Si Pengemis Iman. Jadi tentu sahaja ini bukan karyaku. Bermuhasabah diri apabila aku terbaca ini.

Selamat menghayati.

*Senyum :)

Wednesday, July 13, 2011

Aku Menjauh Kerana Ingin Mendekat

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan menyebut asma' Allah aku memulakan kalam. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku tidak pernah berhenti berharap agar redhaNya mengiringi setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku titipkan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Aku sentiasa berharap iman mengemudi penulisanku. InsyaAllah.

Aku sedar, memang fitrah insani, iman selalu sahaja ada naik dan turunnya. Tatkala iman di atas, nafsu merintih tewas. Namun, di kala iman menurun nafsu seolah melonjak gembira kerana kembali mengawal hati anak Adam.

Dek kerana itulah kita perlu selalu memperbaharui syahadah kita, bukan? Supaya sentiasa menyedari hakikat diri sebagai hamba. Ya Allah..Betahkah aku menjadi hambaMu dengan sebenar-benar makna hamba? Berikan aku petunjukMu. Pimpinlah setiap langkahku.

Melihat anak-anak muda sekarang bebas bergaul tanpa menghirau batas syara'. Lelaki dan perempuan bebas bergurau senda. Hati terasa sakit melihat situasi begitu, iman perit menahan pedih.

Namun, apa bezanya aku dengan mereka? Bermuhasabah aku sendiri. Lama aku berfikir, mencari jawapan yang konkrit untuk segala persoalan yang bermain di fikiran. Kepada seorang sahabat aku meluahkan supaya berkurang sedikit apa yang terbeban. Air mata mengalir juga. Bukan kerana sedih, tetapi kerana kecewa kepada kelemahan diri. Sering tewas pada kehendak nafsu. Astagfirullahal'azim.

Ukhuwah itu indah, kerana itu aku tidak mahu mencemarinya dengan maksiat. Aku cuba merungkai satu per satu apa yang menjadi persoalan dalam diri ini. Sahabat menasihatkan, sebelum berbuat apa-apa, minta petunjuk daripadaNya dahulu. InsyaAllah.

Alhamdulillah dengan jawapan-jawapan daripada mereka, aku menghuraikan apa yang berserabut. Aku semakin jelas dengan tindakan yang bakal aku ambil. Semoga niatku diperbetulkan dan teguh keranaNya. Aku mahu berubah keranaNya, kerana cintaNya.

Sebelum mencari, berusahalah untuk menjadi. Kata-kata ini tersemat kemas dalam ingatanku.

Perempuan yang suci adalah perempuan yang dijaga oleh Allah. Tidak sedikit pun Allah membenarkan mana-mana lelaki menyentuh dirinya walaupun hatinya, kerana Allah teramat mencintainya.


Layakkah aku digelar wanita yang suci? Rasanya hati ini sudah terlalu penuh dengan tompok-tompok hitam. Terlampau banyak perkara yang merosakkan hati sudah aku lakukan. Kini saat untuk berubah. Sucikan semula hatimu, mujahidah. Kembali kepada fitrah.

Kerana itu aku ingin menjauh dari kalian, demi mendekatkan diri kepada Dia, cintaNya. Hatiku hanya milikNya, bukan yang lain. Cintaku teristimewa hanya pada Dia.

Ya Allah, peliharalah hatiku, cintaku hanya kepadaMu sebelum insan yang benar-benar layak yang telah Engkau janjikan buatku hadir untuk sama-sama merasai keindahan cintaMu. Tautkan hatiku dengan hatinya di jalanMu agar tenang memikul amanah dakwahMu. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Wednesday, July 6, 2011

Berat

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan segalanya dengan menyebut asma' Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku mengharap redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk bernafas di atas muka bumi ini. Nikmat yang seringkali kita lupa mensyukurinya.

Ya Allah, semoga penulisan ini sentiasa dikemudi iman. Jangan biarkan nafsu mengawal setiap bait kata-kata yang bakal tertulis. Semoga kalam ini dikawal akal yang dikemudi oleh iman. Amin, insyaAllah.

Usai subuh tadi aku mengambil waktu untuk mentadabbur ayat cinta Allah. Entah kenapa hati terasa sayu mengenangkan tanggungjawab yang bakal dipikul bersama ahli keluarga yang lain kelak. Kadangkala hadir juga andaian-andaian buruk. Na'uzubillah, minta dijauhkan.

Hampir sahaja mengalir air mata ini tetapi aku tahan dan kuatkan diri sendiri. Allah Maha Mengetahui ke atas segala apa yang ditakdirkan untuk hamba-hambaNya. Pasti, perkara ini juga dalam perancangan Ilahi dan tentunya ada hikmah di setiap kejadian. Kuatkan kami Ya Allah.

Kata Ummi semalam, "Kita nak syurga, jadi kita akan berusaha untuk dapatkan syurga".

Iya, kata-kata Ummi sedikit sebanyak menyuntik semangat kepadaku agar tidak berputus asa sebelum mencuba. Doa senjata mukmin, jadi berdoalah kepada Allah semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan. Di hadapan Ummi dan Ayah aku berlagak seolah-olah tiada apa yang merunsingkan aku. Hakikatnya, bila aku sendiri hanya pada Allah tempat mengadu. Ummi, seorang ibu, lebih-lebih lagi bimbang. Aku mahu menjadi kekuatan Ummi, tidak mahu menunjukkan lemah pada Ummi. Ayah memang kelihatan tenang tetapi sebenarnya diam Ayah menyimpan 1001 makna. Ayah lebih memikirkan perancangan masa hadapan. Cara-cara untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Aku sendiri tidak pasti adik beradik yang lain sedia maklum mengenai perkara ini. Aduh, terpandang pula bingkai gambar kami berempat. Tiba-tiba jadi sebak. Ya Allah, kuatkan aku dengan perancanganMu ini. Mujahidah, ini bukan salah sesiapa. Ini takdir Allah, perancanganNya. Pasti sahaja ada hikmah di sebaliknya. Ummi, Ayah, Abang, Akak, Abang Zeze, Kak Roha, Abangme bersama-samamu. Engkau mesti kuat untuk kuatkan mereka. Mujahidah, engkau boleh!

Mungkin juga aku sebak untuk kehilangan seterusnya. Tidak, ini bukan kehilangan. Mereka masih mereka yang dahulu. Kamu tetap adik bongsu mereka, Syakirah.

Ummi, Ayah, Ala akan terus kuat demi memikul amanah dakwah ini. Ala mahu menjadi pemangkin kekuatan Ummi dan Ayah. InsyaAllah, Allah mahu berikan ganjaran syurgaNya buat kita semua.

Abang, Akak, Abangme, Ala sayang kalian. Ala tahu, Ala perlu mengerti peraturan kehidupan ini. Kehendak fitrah kalian tidak seharusnya dimungkiri. Seorang demi seorang dari kalian meninggalkan Ala, insyaAllah, Ala akan kuat. Ala tetap adik kalian, bukan? Dan sungguh, sayang Ala pada kalian tidak pernah berkurang. Perancangan Allah adalah yang terbaik. Semoga apa yang Allah tetapkan kepada kita ini menjadi jalan mudah untuk kita ke syurga. Amin.

Ya Allah, segala kekuatan milikMu. Aku mohon berikan aku kekuatan yang berterusan untuk aku terus teguh dalam perjuangan ini. Kuatkan, teguhkan imanku. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Tuesday, July 5, 2011

Izinkan aku..

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan kembali penulisan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku sentiasa mengharap redhaNya mengiringi setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku titipkan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, selamat sampai di rumah lebih kurang pukul 9.30 malam tadi. Syukur.

Fuhh..Hanya dengan mengingatiMu hati akan menjadi tenang. Tenangkan hatiku Ya Allah. Entah mengapa hati ini terasa sedih, risau, bimbang, takut dan bermacam perasaan lagi. Mungkin dek kerana khabar yang Ayah katakan tadi. Hmm..entahlah. Pelbagai soalan yang timbul. Kerisauan juga datang menjenguk. Ya Allah, berilah yang terbaik untuk semua urusan orang-orang yang aku sayangi. Amin.

Aku tidak pasti perasaan ini timbul kerana apa. Aku risau untuk kehilangan yang kesekian kalinya atau memang tanggungjawab yang bakal dihadapi itu susah, berat?

Ya Allah, kuatkan aku. Bantulah kami untuk memikul amanah dakwahMu. Permudahkan segalanya. Berikanlah taufik dan hidayahMu untuk insan-insan yang layak menerimanya.

Sungguh, pada awalnya aku hanya terkejut sedikit. Tidak menyangka secepat itu. Berdebar juga kerana Ummi dan Ayah seakan-akan bermain teka-teki. Tetapi setelah satu demi satu dihuraikan Ayah, lagi terasa seperti batu besar menghempap. Ya Allah, jadikan ini wadah untuk kami terus gigih memikul amanah dakwah itu.

Izinkan aku meluahkan perasaanku di sini kerana aku tidak tahu kepada siapa mahu berkongsi rasa gundah ini selain Allah. Pada Allah pastinya sentiasa aku sandarkan pengharapanku. Cuma aku merasakan dengan menulis begini, perasaan gundah itu terasa berkurang sedikit.

Fuhh
..kuat mujahidah! Jangan sampai air matamu mengalir.

Entah, mengapa sebenarnya rasa takut ini wujud. Takut untuk kehilangan atau takut kepada amanah berat yang bakal dipikul? Semoga perasaan takut ini wujud kerana takut akan kemurkaanMu Ya Allah. Pimpinlah hatiku, teguhkan keimananku Ya Rabbi.

Hmm..cerita lain.

Kadang-kadang kita tidak menyangka akan menyentuh hati dan perasaan orang lain dengan sikap kita. Dan apabila tahu orang itu terasa hati, mulalah kita terasa gundah. Maafkan kekhilafanku. Mungkin juga aku kurang menyatakan penghargaan membuatkan insan tersebut terasa masih kekurangan di mana-mana. Subhanallah, anda telah melakukan yang terbaik. Anda telah membuktikan quality is better than quantity.

Itulah, kerana tidak cukup mengenali hati budi masing-masing, lantas tidak tahu sensitiviti orang lain. Astagfirullah, terasa amat bersalah. Anda, maafkan kami. Anda insan bertanggungjawab dan kami sebagai saksi.

Izinkan aku menerangkan segalanya. Aku tidak mahu berlaku sebarang andaian dalam ukhuwah. Kerana ukhuwah itu indah, tidak seharusnya dicalarkan dengan duri-duri yang bisa melukakan.

Ya Allah, tenangkan hatiku Ya Allah. Kuatkan insan-insan di sampingku. Limpahkanlah rahmat dan kasihMu kepada kami semua. Tautkan hati kami di jalan dakwahMu. Amin Ya Rabbal 'Alamin.