Demi Masa

Saturday, July 16, 2011

Surat Wasiat

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan dengan menyebut asma' Allah, Ar-Rahman, Ar-Rahim. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku sentiasa mengharap redhaNya mengiringi di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku titipkan buatkan junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk bernafas. Walau seringkali aku menafikan nikmatNya, tidak pernah Allah mengenakan bayaran untuk menghirup udaraNya. Subhanallah.

1 hingga 3 Julai yang lepas aku telah menyertai satu Kem Iflah di Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan, Kuantan, Pahang sebagai fesilitator. Banyak pengalaman yang aku peroleh di sana. Ada suka, ada duka. Dan aku juga bersyukur kerana diberi peluang untuk mengenal rakan-rakan baru di sana, juga adik-adik. Alhamdulillah.

Slot pada hari yang terakhir adalah menulis surat wasiat kepada insan yang kita sayangi. Fesi juga terlibat dalam slot ini. Dan iya, aku juga mengalirkan air mata.

Sengaja aku ingin berkongsi mengenai isi kandungan surat yang aku tulis, kerana andai kertas itu hilang, masih ada blog ini sebagai wasiat kepada mereka yang aku cintai.

Assalamu'alaikum,

Ummi Ayah,
Abang, Akak, Abangme,
Kalianlah insan-insan yang paling Ala sayangi. Mungkin Ala tak pernah nak cakap yang Ala sayang semua, tapi sungguh, Ala sayang sangat, sangat, sangat kat semua.

Ummi, Ala tak tahu berapa lama lagi untuk hidup. Kematian itu akan datang bila-bila masa. Ala tau, berapa banyak pun Ala dah singgung hati Ummi, senyuman Ummi tak pernah hilang untuk Ala. Ala luka sikit pun Ummi risau. Bila Ala mengadu sakit kat Ummi, mesti Ummi doa supaya Allah pindahkan sakit tu pada Ummi. Ummi, Ala tak pernah mampu nak cakap depan-depan Ala sayang Ummi. Ala pasti Ummi adalah ibu terbaik di dunia.

Ayah, Ummi selalu cakap kalau Ala mintak apa-apa mesti Ayah bagi. Sebab Ayah sayang Ala lebih. Walaupun kadang-kadang Ayah kesempitan wang, Ayah tetap akan tunaikan apa saja yang Ala mintak. Ala bangga ada ayah macam Ayah. Sayang Ayah sampai ke syurga, Ayah akan selalu tegur kalau Ala buat silap sebab Ayah tak nak bagi anak-anak Ayah masuk neraka.

Ummi, Ayah, Ala tetap nak jadi anak manja Ummi Ayah walaupun Ala dah kahwin nanti. Kalau umur Ala panjang, Ala nak jaga Ummi Ayah sampai ke akhir hayat. Ala nak berbakti pada Ummi Ayah walau Ala takkan mampu nak balas jasa Ummi Ayah sampai bila-bila. Moga Allah beri ganjaran syurga untuk Ummi Ayah. Ala sebagai saksi, Ummi Ayah dah jadi ibu bapa terbaik dan laksanakan tanggungjawab sebaiknya.

Abang, Ala tau dari Ala kecik sampai sekarang Abang tetap paling sayang kat Ala antara adik-adik Abang yang lain. Abang tak pernah marah kat Ala. Ingat lagi waktu Ummi Ayah pergi haji dulu, time Ala tengah nangis teresak-esak, Abang pegang tangan Ala, pimpin sepanjang jalan. Memang time tu Ala dapat rasa sangat, sangat, sangat kasih seorang Abang. Kalau Ala nyakat Abang, Abang akan senyum je. Abang dah nak kahwin, entah Ala boleh rasa lagi ke tak kasih Abang kat Ala. Tapi Ala tetap nak Abang tahu, Ala sayang Abang.

Akak, antara adik-beradik lain, memang dengan Akak Ala paling rapat. Dulu, waktu kecik Ala selalu tiru Akak. Ala nak jadi macam Akak. Sampai Ala dah besar ni pun Akak still layan Ala macam budak-budak. Tapi jujur Ala cakap time Akak kahwin dulu Ala sedih sangat. Ala tau, Ala akan hilang teman bergurau, teman nak bergelak tawa, teman nak buat bising kat rumah. Dan memang pun, sekarang kat rumah Ala dah senyap, tak macam dulu. Ala rindu Akak! Ala sayang Akak!

Abangme, memang Ala macam tak rapat dengan Abangme. Tapi time kecik-kecik dulu Ala mana ada kawan nak bermain. Abangme la yang selalu teman even selalu rimas dengan Ala. Memang, Abangme paling kasar dengan Ala, tapi Ala dapat rasa kasih sayang Abangme. Time Ala nak ambik result PMR dulu Abangme jelah dapat teman pun. Dan Abangme insan paling gembira time tu. Ala sayang Abangme, sungguh!

Ummi, Ayah, Abang, Akak, Abangme, redhailah Ala sepanjang kehidupan Ala bersama kalian.

Wassalam.

No comments: