Demi Masa

Monday, February 16, 2015

Yakin. Redha. Ikhlas.

Bismillahirrahmanirrahim.
 
Alhamdulillah sudah berada di semester kedua pengajian peringkat MSc. Mohon doa kalian agar segala urusan dipermudahkan dan sentiasa mendapat redha Tuhan.
 
Kalau difikirkan, tidak ada satu urusan pun yang mudah. Hatta untuk sekadar tidur pun kamu perlu berusaha untuk bergerak ke katil. Inikan pula untuk menyiapkan satu research master. Apatah lagi untuk mendapatkan syurga firdausi. Pasti ada ujian dan cabaran sepanjang perjalanan.
 
 
 
 
Namun itu bukanlah alasan untuk kamu mengalah. Bukan juga asbab untuk terus melemah. Kan kita ada Allah?
 
 
 Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; 
[Al-Baqarah 2:45]


 Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar
[Al-Baqarah 2:153]
 
Seorang mukmin itu tak sepatutnya ada sifat putus asa dalam diri. Mukmin itu mestilah seorang yang kuat pergantungan pada Allah. Takkan lah Allah nak biar kita sendiri? Allah tak pernah zalim. Malah kita yang sebenarnya menzalimi diri sendiri. 

Allah telah ajarkan kita cara untuk menghadapi segala susah payah iaitu dengan solat atau kata lain berdoa. Itu salah satu usaha kita. Namun, sejauh mana kita praktikkan budaya berdoa dalam kehidupan seharian kita?

Bermula dengan bangun tidur kita diajarkan dengan doa bangun tidur. Masuk tandas, keluar tandas, ketika melihat cermin, ketika bersarapan, sesudah makan, ketika hendak keluar rumah, ketika menaiki kenderaan, sebelum memulakan pembelajaran, sebelum masuk pasar hinggalah kita tidur semula semuanya ada doa-doa tersendiri yang diajarkan baginda Rasulullah SAW.

Selain sudah memastikan adab-adab berdoa kita penuhi, mencari waktu-waktu dan tempat-tempat mustajab berdoa, kita juga perlu YAKIN SEPENUH HATI Allah mendengar doa kita. Bagaimana mungkin seseorang itu mampu bersungguh-sungguh untuk berdoa sedang hatinya tidak yakin?

Allahu As-Sami'. Allah Maha Mendengar.

Keyakinan pada Allah As-Sami' itu biar hingga sampai ke langit ketujuh tingginya. Tak ada ruginya untuk yakin dan bersandar segala harapan pada Tuhan Maha Kuasa.

Walau seremeh-remeh permintaan hinggalah sebesar-besar hajat, tanamlah keyakinan itu dalam hati. Adakalanya doa kita sepantas kilat akan dimakbulkan, adakalanya lambat sangat akan dimakbul dan kadangkala belum sempat kita habis berdoa Allah sudah memperkenankan. Itu semua bergantung pada ilmu pengetahuan Allah, bila masa yang tepat untuk kita mendapat ada yang dihajat.

Ada sekali itu, purdah yang aku sidai di ampaian diambil orang. Agak tak keruan juga aku sepanjang hari memikirkan kenapa purdah pun boleh hilang. Kemudian Allah bukakan hati aku untuk berdoa setelah semua alasan yang aku cipta untuk 'pegambil' itu tidak masuk akal. "Ya Allah, lembutkan hati orang itu untuk pulangkan semula purdah aku. Amin." Ajaib sekali apabila esoknya, sengaja aku menjenguk semula ke ampaian, purdah yang hilang sehari sebelum itu telah ada semula. Subhanallah.

Itu cuma perkara yang kecil. Sudah pun aku berkira-kira untuk membeli purdah yang baru dan menghalalkan sahaja kepada 'pengambil'. Tapi alhamdulillah doa dimakbul. Syukur.

Waktu tahun kedua di peringkat degree dahulu, subjek biochemistry adalah nightmare bagi semua pelajar terutamanya aku. Kemungkinan untuk lulus amatlah tipis. Usai menjawab final exam, fikiran merangka masa hadapan. Berkira-kira apa rancangan andai gagal kertas tersebut. Malam itu solat maghrib di masjid dan aku kira antara doa yang aku sangat khusyuk dan bersungguh-sungguh waktu itulah. Aku benar-benar berhajat agar diluluskan subjek tersebut. Setinggi-tinggi keyakinan bahawa Allah yang berkuasa atas segala sesuatu, sudah tentu Allah mampu mengubah yang kurang baik kepada yang baik. Keputusannya..alhamdulillah, LULUS!
 
Sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepadaNya. Tiap-tiap masa Ia di dalam urusan (mencipta dan mentadbirkan makhluk-makhlukNya)!  Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan)?
[Ar-Rahmaan 55:29-30]

Terlampau banyak doa dan hajat kita. Kadang-kadang cuma lintasan hati, dan terus Allah perkenankan. Subhanallah. Tapi ada juga jawapan doa kita berbeza dengan apa yang kita minta. Nah, di situ pula wujudnya konsep REDHA.
 
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
[Al-Baqarah 2:216]

Redha pada qada' dan qadar. Allah pasti memberikan yang terbaik untuk hambaNya. Apa lagi yang kita perlu sangsi?

Boleh jadi juga hajat kita itu lambat lagi untuk diperkenan. Redhalah untuk setiap yang Allah kurniakan untuk kita. Bukan semua yang kita mahu adalah yang terbaik untuk kita.

Sejujurnya sebagai manusia biasa sukar untuk kita mencapai redha dengan sesuatu yang kita tidak inginkan. Tapi redha itu perlu dididik dengan IKHLAS. Ikhlas menerima kehendak takdir Ilahi.

Sedar hakikat diri sebagai HAMBA. Tak layak untuk meminta lebih apatah lagi memaksa untuk dituruti. Hamba itu selayaknya hanya taat dan menurut. 

Padahal arahan dan larangan Allah saja kita selalu langgar, tapi pula ingin hajat segera ditunaikan. Wahai, betapa tak bersyukurnya kita. Pada Tuhan, boleh saja dicabut nyawa kita bila-bila masa. Tapi ditunda supaya kita masih punya waktu untuk bertaubat. Bersyukurlah.
 
Jadi kunci jalan keluar untuk setiap permasalahan adalah dengan berdoa. Dan bersabar. YAKIN Allah itu Ar-Rahman Ar-Rahim. Allah sangat mengasihi hambaNya, mana mungkin Tuhan akan menzalimi kita melainkan kita yang menzalimi diri kita sendiri. REDHA dengan segala qada' dan qadar yang ditetapkan Ilahi. He knows best. IKHLAS untuk sentiasa mencari redha dan cinta Tuhan. Di situ kita akan temui kebahagiaan. InsyaAllah.
 
..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),  Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. 
[At-Talaaq 65:2-3]