Demi Masa

Sunday, November 2, 2014

Tak malu ke?

Astaghfirullahalazim.
Assalamu'alaikum, readers!
Sumber: google
Tiap-tiap hari kita berdoa. Menadah tangan tanpa segan silu. Padahal setiap kali sebelum dan selepas itu kita kembali membuat dosa. Tak malu ke?

Pernah tak kita rasa berdosa ketika menadah tangan tu? Rasa bersalah untuk terus berdoa?

Eh, janganlah pula kita berhenti berdoa disebabkan perasaan itu. Tak. Tak. Itu bukan maksud aku.

Cuma nak terangkan dekat sini, kita ini tak tahu malu. Meminta, mengadu, teresak-esak depan Yang Satu tapi kita terus-terusan membuat dosa. Allahu. 

Malunya!

Kita berdoa dengan lisan kita, padahal dengan lidah itu kita membuat dosa mengumpat hari-hari. Dengan lidah itu kita membuat dosa fitnah hari-hari. Dengan lidah itu kita mengeluh merasa tak cukup dengan nikmat yang Dia beri. Astaghfirullah.

Tak malu ke?

Kita berdoa menadah tangan pada Ilahi. Padahal dengan tangan itu kita membuat dosa tiap-tiap hari. Dengan tangan itu kita menyebar fitnah di laman sosial. Dengan tangan itu kita memberi rasuah. Na'uzubillahi min zalik.

Tak malu ke?

Habis tu, orang yang buat dosa ni tak payah berdoa lah? Macam tu?

Eh, eh. Amboi, cepatnya jump to conclusion.

Point utama di sini, sedar tak yang kita ni selalu membuat dosa tapi Allah tetap makbulkan doa kita. Allah itu Ar-Rahman, Dia tak pernah kecewakan doa kita. 

Biar pun kita sering berdosa.

Jomlah kita malu sama-sama. 

Mungkin kita kurang sifat ihsan, merasa kita dapat melihat Allah ketika beribadat dan jika kita yakin bahawa Allah sentiasa dapat melihat kita.

Allahu.

Berdoa mahu, tapi taat perintah Dia kita gagal.

Allahu. 

Kena lempang berkali-kali dah ni. Nanges.

Sudah lah tu. Jom kita berdoa, moga-moga Allah terima amal kita dan jauhkan kita daripada segala dosa sama ada sedar atau tidak. Amin.

Semoga aku dan kamu, sama-sama dapat perbaiki diri. InsyaAllah. 

Hiyarghhh!! Berusaha!

Sumber: googlee

Saturday, November 1, 2014

Ujian.

Allahu.
 
Terlampau banyak kerja perlu dilaksanakan buat aku rasa berdosa untuk tulis blog. Sungguh.
 
Allahu.
 
Bila syaitan gagal menggoda hati Muslimah itu untuk tunduk pada godaan lelaki-lelaki berwajah tampan, dia mencuba pula dengan cara jatuh suka pada peribadi jejaka beriman. Allah..lagi kuat godaan itu. 
 
 
kredit
 
 
Hati mana yang tak tertarik pada ikhwah muka suci dengan air wudhu', janggut sejemput, mata redup menunduk, bibir selalu menutur kata-kata penuh hikmah. Ya Allah.
 
Kena selalu ingatkan diri, syaitan sentiasa licik untuk menipu anak Adam. Ingat!
 
Lupa. Lupaa. Lupaaaakan.
 
 
Sumber: google
 
 
"Yusuf berkata: 'Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh.'"
[Yusuf 12:33]
 
p/s: eh, ini cerita umum. 

Friday, September 12, 2014

Niqab

Bismillahirrahmanirrahim.




Just for the record, I am now a postgraduate student. Alhamdulillah. And today is my first class. Suppose, it was last Monday, but I mistakenly registered the courses late.

There was a very long commemorative lecture before RKGS 6000 course which is an Islamization subject called Values, Technology and Society. I entered the class after performing Asar prayer.

After introducing ourselves to Dr. Abdi, he then asked me "Why are you wearing the niqab?"

I did not answer right away. I was quiet surprised, I must say. Even though it has been years since my first time wearing it, I'm still not that confident to answer such question.

"Is it because you are too beautiful?" 

I kept smiling and I shook my head.

"Or you have something on your face?"

I shook my head spontaneously quick for that.

"Then, why?"

"I have my personal reason. Can I say that?"

"What's your reason."

I just gave him a smile. He then said, "I asked you seriously, why?"

I took a deep breath, collecting all the guts and chose the safest answer.

"I feel more comfortable when I'm wearing it."

"That's a very safe answer. Thank you, sister."

Phew.

He was not being angry or rude. He was just concerned and wondered. Then he talked about how Arab women wore the niqab with the purpose of protecting themselves from the men's wild stares yet they emphasize on the eyes just to attract more eyes on them. Then what's the purpose?

I respect Dr Abdi's opinion and I shall say I couldn't disagree on that. He asked me again and again until I answered just to make sure that I was not taking niqab as an obligation.

It is a matter of furu' (branches) which means there's a lot khilaf and opinions. We must not say the ones who did not wear the niqab is wrong. Now, that is wrong.

While we're focussing on the furu', some times we have ignored the auliyyat (main). The priority always comes to what Allah has clearly said. For example, how important for us to take care of our relationship with others instead of arguing on nothing.

I learnt a lot today even though it was just an introductory class. Thanks so much, sir.

I must understand, there are some situations that I am not allowed to wear the niqab and I clearly known about it. It just that I need more strength to face the real world later, the more challenging and more cruel world.

Allahu.

Thursday, September 4, 2014

Rindu itu racun.

Bismillahirrahmanirrahim.
 
 
Credit
 
 
Ain mengesat air jernih yang mengalir di pipi mulusnya itu. Rasa rindu itu terlalu menyeksakan. Dia tahu yang dia tak patut ada rasa itu, apatah lagi pada insan yang tidak sepatutnya. Dia telah sedaya upaya menepis, tetapi gagal juga.
 
Sambil duduk berteleku usai Asar tadi, Qurratul Ain meneruskan zikir dengan bacaan Al-Mathurat. Dihayati satu persatu kalimah zikir itu. Meresap terus ke jantung. Ibarat titisan embun yang dingin mendamaikan hati. Dia benar-benar mahu mengembalikan rasa itu pada Al-Khaliq. Tidak betah dia terus membiarkan rasa itu mencemar hatinya.
 
"Kenapa terlalu sukar untuk melupakannya?"
 
Persoalan itu menghukum dirinya sendiri. Andai boleh, mahu sahaja Ain memenjara hatinya dan sekali dikunci mangga.
 
"Untuk apa aku terus menanti, andai dia sendiri memberi jawapan yang tidak pasti?"
 
Hatinya belum sepenuhnya tenang. Masih ada yang mengganggu perasaannya. Lalu Ain mencapai Al-Quran di birai katil kayu berukir corak flora itu. Diselak terus ke muka surat 305. Surah Maryam. Bacaannya sangat tartil, penuh penghayatan, dijaga tajwidnya. Air mata Ain perlahan-lahan mengalir. Bezanya, kali ini air mata itu menenangkan. Terasa segala beban yang menyesak dada tadi mengalir sekali bersama cecair hangat itu.
 
Habis bacaannya sehingga ayat 98 surah ke-19 itu, Ain menarik nafas dalam-dalam. Dibiarkan seketika semua oksigen meresap ke saluran-saluran darahnya dan kemudian menghembus perlahan. Ayat ke-97 dihayati:
 
 
"Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya."
[Maryam 19:97]
 
"Aku takutkanMu Ya Allah. Aku takutkan azabMu. Ampuni aku. Ampuni aku. Ampuni aku. Jadikan aku hambaMu yang bertaqwa. Aku juga mahu mendapat khabar gembira dari syurgaMu."
 


"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia."
[Ar-Ra'd 13:28]
 
Ain makin kuat menempuh hari-hari selepas itu untuk menepis rindu yang hadir. Rindu itu racun. Racun pada hati yang masih mencari cinta Ilahi.
 
Jika rasa itu cuba lagi menyinggah, Qurratul Ain meletakkan tangan kanannya di dada sambil menyedekahkan Al-Fatihah untuk diri sendiri. Bimbang hati itu telah mati.
 
Zikir hasbi rabbi tak lekang di bibir. Dihayati supaya meresap maknanya dalam diri. Qurratul Ain tak mungkin tewas lagi. Bukan dia tidak pernah bertanya pada Allah, cuma jawapan istikharahnya menyatakan saat itu belum lagi. Biarlah masa ini, dia sibukkan diri untuk mencari cinta Ilahi. Itu lebih pasti.

Tabarruj vs. Selekeh

Bismillahirrahmanirrahim.

Sumber: google

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas."
[Al-A'raaf 7:31]

Alhamdulillah Allah beri kesempatan untuk menulis setelah sekian lama disibukkan dengan urusan dunia yang tak pernah selesai. Doakan diri ini istiqamah dalam menyampaikan kebaikan dan sentiasa diluruskan niat.
  
”Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong meleyapkan kebenaran dan merupakan kehinaan kepada manusia”
(Riwayat Imam Muslim)

Hadith di atas menguatkan lagi hujah bahawa Islam itu tidak melarang kita untuk berhias mahu pun berfesyen. Cuma, ada batas dan garis panduannya.

Bagi golongan ekstrimis, wanita yang berfesyen sering dilabelkan sebagai tabarruj iaitu melampau-lampau dalam berhias. Lalu mereka memilih untuk memakai sekadarnya. Biar kelihatan zuhud dan langsung tidak menghiraukan dunia.

Kemudian dek kerana sifat golongan eksrimis (baca: syadid) ini, muncul pula golongan yang memberontak berpegang pada fahaman sekularisme. Golongan kedua ini pula memperjuangkan hak wanita untuk bebas mempamerkan kecantikan mereka dan menuduh Islam memenjara fitrah wanita dengan hijab.

Bagi saya, kedua-dua golongan ini menjadi fitnah kepada agama Islam itu sendiri. Islam itu mudah dan meraikan fitrah ummatnya. Islam wujud untuk menjaga dan membela, bukan untuk memenjara.

Tetapi arus kemodenan zaman telah mengubah definisi sebenar hijab. Semakin berleluasa 'fesyen muslimah' yang sebenarnya tidak menepati langsung konsep muslimah itu.

Allah menerangkan secara detail perihal aurat muslimah dalam Al-Quran surah An-Nur ayat 31 yang berbunyi:


Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
[An-Nur 24:31]

Ada dua perkara yang Allah betul-betul menerangkan secara detail di dalam Al-Quran iaitu yang pertama bab aurat dan pergaulan manakala yang kedua bab harta pusaka. Allah sudah tahu sifat manusia yang suka berbantah-bantah lalu Allah meletakkan garis panduan yang khusus supaya manusia tidak berbalah.


Jangan diperlihatkan perhiasan tubuh mereka (kecuali yang zahir).

Menutup belahan leher bajunya.

Jangan menghentakkan kaki untuk mengetahui apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.

Garis panduan yang Allah bagi jelas. Islam tidak langsung melarang seorang wanita itu untuk kelihatan cantik, namun batasnya perlu dijaga. Ada yang kadang-kadang syarat lain ditepati tapi ketat sehingga hilang fungsi berpakaian.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
[Al-A'raaf 7:32]

Antara adab dalam berpakaian ialah:
  1. Memastikan pakaian tersebut menutup aurat.
  2. Tidak memakai pakaian ketat atau nipis sehingga menampakkan bentuk tubuh badan si pemakai secara jelas.
  3. Tidak memakai pakaian atau aksesori yang menyerupai ciri-cirri budaya orang bukan Islam.
  4. Tidak memakai fesyen yang bertentangan dengan jantina si pemakai.
  5. Mengelakkan daripada memakai fesyen-fesyen yang keterlaluan daripada adat kebiasaan masyarakat setempat.

Credit


Ramai sebenarnya yang salah faham konsep hijab itu. Pada sangkaan mereka hijab hanyalah menutup kepala yakni tidak menampakkan rambut. Lalu muncullah satu persatu fesyen so-called hijab tapi sebenarnya turban, tudung lapis-lapis atas dada.

Para pereka fesyen pakaian muslimah sewajibnya mendefinisi semula maksud hijab itu supaya mereka tidak menambah dosa dan si pemakai pula tidak menempah dosa.

Hijab itu definisinya luas. Merangkumi banyak aspek, bukan sekadar pakaian sahaja. Hijab dari segi hatinya, hijab dari segi pergaulannya, hijab dari segi pertuturannya, hijab dari segi pandangannya dan banyak lagi.

Perlu diingatkan seorang muslimah itu sifatnya al-haya' (pemalu). Maknanya di sini, tak perlulah kita sebagai muslimah upload gambar dengan pelbagai gaya di laman sosial. Tiada salahnya berkongsi pengalaman atau sebagai kenangan, tapi biarlah kena dengan gayanya. Masakan setiap jam akan diupload satu keping gambar selfie? Ditambah pula dengan caption yang langsung tidak menyerlahkan sifat pemalu seorang wanita.

Lelaki itu pandangannya berbeza. Siapa sangka gambar pelbagai gaya itu mampu membuat jiwanya bergetar, meski pun si perempuan memakai tudung sempurna.

Sumber: facebook


Sering juga para niqabi tertipu dengan pujian manusia lantas niat asal pemakaian niqab itu tersasar 100 peratus. Sekali diupload gambar si muslimah indah tertutup wajah cantiknya, ditambah pula celak pada matanya, hati lelaki mana yang tidak terusik? Si niqabi makin terbuai dengan ratusan malah mungkin ribuan 'likes', komen para jejaka yang memuji keindahan ciptaan Tuhan. Semua itu menjadi pemangkin untuk dia terus mengupload gambar dirinya. Semakin dahaga pujian manusia. Lari langsung dari konsep asal berniqab.

Astaghfirullahal'azim. Nastaghfirullah.

Sebagai tambahan, pemilihan warna juga adalah penting dalam pemakaian seorang muslimah. Di sini bukan bermaksud hanya warna gelap sahaja yang dibenarkan. Kalau begitu pasti bosan, bukan? Cuma warna yang dipakai janganlah terlalu terang sehingga menarik perhatian ramai. Islam itu meraikan fitrah wanita. Allah tahu sifat wanita sukakan warna-warni, sukakan yang cantik-cantik. Tapi dalam segala hal pun, Islam menggalakkan kita mengambil yang sederhana.

"Khairul umuri ausatuha"

"Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan."

Jangankan kerana takut dilabel tabarruj, kita tak ambil peduli pemakaian kita. Mungkin disebab itu ramai yang menggelar para akhawat itu jumud, tak up-to-date. Realitinya, memang ada tanggapan begitu. Ada yang merasakan para muslimah yang syadid ini adalah gambaran wanita Islam yang sebenar. Seolah-olah Islam itu memang memenjara fitrah wanita. Sehinggakan kerana terlampau syadid mereka membiarkan pakaian mereka berbau hapak dek takutkan bau-bauan itu mampu membuat fitnah. Saudariku, mungkin sikap kamu yang begitu lebih membawa fitnah kepada Islam.

Saya di sini mahu menyeru saudari muslimat saya untuk sama-sama kita menjaga penampilan kita. Di samping dapat menjemput jodoh, yang lebih utama dicintai Allah dan RasulNya. 

Seronok kan?

Sumber: google


Alhamdulillah. ^_^

Rujukan:
  1. Al-Quran
  2. Al-Hadith
  3. Blog Ustazah Fatimah Syarha
  4. Blog Imam Muda Asyraf

Saturday, June 14, 2014

Pohon Kenangan

Bismillahirrahmanirrahim.


credit

Mencabut dedaun rindu,
Dari mekar di pohon kenangan,
Lalu ku hulur kepadamu,
Paut di hati jadi simpanan.

03062014
[1.38pm] 


Sunday, May 18, 2014

Al-Qulub

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji dan puja terdahulunya dipanjatkan kepada Ilahi. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.




Al-qulub atau bahasa melayunya hati. Direct translation to english pastinya liver. Tapi hati yang kita maksudkan di sini adalah 'heart'. Sesuatu yang dituju bukan pada fizikalnya, tapi pada makna, ruh itu sendiri.

Jika disemak dalam Matan Arba'in, di akhir hadith keenam ada menyebut:
"Ingatlah, bahawa dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah hati."
[Riwayat Bukhari]

Hati yang bersih itu akan terserlah pada peribadi seseorang. Begitu juga hati yang kotor. Allahu.

Namun, bukan mudah nak menjaga hati. Dan siapa kata wanita berpurdah hatinya terpelihara? Setiap anak Adam itu ada ujiannya tersendiri. Sungguh, ujian itu sebenarnya untuk meningkatkan iman kita. Kita yang tak sedar ataupun terlupa.

Pernah sampai satu tahap itu, aku rasa sangat payah untuk menjaga hati. Terasa mujahadah itu sangat, sangat, sangat berat. Dek kerana makin perit, roh yang kering ini dahagakan nasihat dan sokongan. Diaturkan pertemuan dengan akak naqibah dengan izin Allah.

"Macam mana nak jaga hati ye kak?" Aku mulakan bicara usai solat jemaah zohor di masjid.

"Hmm. Susah jugak tu. Tapi ikut keadaan dan situasi. Akak bagi contoh ye, macam akak duduk dekat rumah sewa, ada housemate yang malas nak basuh pinggan. Mula-mula kita tahan la. Tapi lama-lama kita yang rasa geram. Daripada kita marah-marah dalam hati dan cakap belakang, apa kata kita slowtalk dengan dia. InsyaAllah bicara hati ke hati macam tu lebih sampai."

Dari satu contoh ke satu contoh Kak Adawiyah bagi. Kemudian aku tanya lagi untuk situasi yang berbeza.

"Macam mana pulak kak, saya ni belajar engineering, bukan jurusan agama. Jadi orang-orang sekeliling saya pun..bukan saya nak kata tak islamik, tapi..pergaulannya kurang terjaga berbanding golongan yang ambik jurusan agama. Saya sendiri bukan berasal dari sekolah agama. Jadi diri sendiri pun lemah. Macam mana saya nak tegur kawan saya yang couple? Kadang-kadang saya guna bahasa kiasan. Tapi tak jalan jugak. Risau nak tegur direct sebab dalam masa yang sama kita nak jaga persahabatan kita. Macam mana ye?"

"Kalau yang itu kita sendiri kena kuat. Kita guna pendekatan hati jugak. Doa. Dan sabar. InsyaAllah Allah tahu usaha kita."

Kak Adawiyah terus menerus memberi nasihat dan penenang hati. Sampailah satu soalan yang paling membuak-buak ketika itu. Masalah hati yang paling berat, paling hebat diuji.

"Lagi satu..macam mana nak tahu lelaki tu, lelaki yang baik ye? Dah fourth year ni kak, makin banyak kerja dan projek yang memaksa kami bekerja campur lelaki perempuan. Mahu tak mahu, terpaksa ada conversation dengan lelaki. Sebenarnya, rasa tak selesa. Tapi atas urusan kerja, kena jaga batas sebaiknya lah. Masalahnya bila jadi muamalah tu, akan timbul pulak suara-suara luar bila saya selalu bekerja dengan seorang brother tu. Mula-mula gosip, tapi syaitan kan licik, lama-lama datang sikit-sikit rasa kat hati. Jujurnya, saya rasa sangat tak selesa dengan rasa tu. Saya cuba istikharah juga, kalau betul lah dia orangnya. Tapi bukan jawapan istikharah tu dapat secepat selepas solat. Dan jujur lagi, saya tak rasa saya dah cukup bersedia untuk ke peringkat itu. Banyak lagi yang saya nak buat dalam hidup ni.."

"Lelaki yang baik ye..Akak rasa kita boleh tengok cara dia layan perempuan, bukan layan kita je, tapi dengan perempuan lain sekali. Adakah dia hormat seseorang wanita itu atau tak. Adakah dia menjaga pandangan dan tutur kata saat berbicara. Tengok sikap dia dengan kawan-kawan dia. Siapa kawan-kawan dia. Cek facebook dia, apa yang dia selalu post atau share. Macam mana dia komen."

Tambah Kak Adawiyah lagi,
 
"Pasal nak elak gosip dan jaga hati tu, mungkin awak boleh cuba sedaya upaya untuk tidak berhubung dengan dia. Carilah cara apapun, selagi boleh elak, elakkan. Kalau terpaksa berhubung, cuba guna orang lain. Contoh kan, katakanlah awak nak guna lab, tapi kunci dekat dia, awak jangan suruh dia hantar kat awak, suruh dia pass kat sesiapa. Cuba, cuba, cuba cari cara untuk tidak berhubung langsung dengan dia."

Kak Adawiyah menambah dengan contoh.

"Macam ada seorang akhawat ni dulu. Dia budak jurusan agama, kawan akak lah. Ada seorang brother tu baik, selalu bagi majlis ilmu dan akhawat ni selalu hadir. Mula-mula dia suka-suka macam tu je, tapi bila kawan-kawan makin selalu usik kata mereka ni padanlah, apa lah, hati dia makin terganggu. Sampai satu tahap tu dia bagitahu kat akak, dia solat pun nampak muka brother tu kat tikar sejadah. Sungguh."

Aku terkejut, Kak Adawiyah terus menyambung.

"Lalu dia ambil keputusan untuk tak pergi lagi ke majlis ilmu brother tu. Memang majlis ilmu tu bagus, tapi demi nak jaga hati, dia tinggalkan itu dan cari majlis ilmu yang lain. Itu mujahadah dia."

Menjawab pertanyaan yang seterusnya,
 
"Pasal bersedia atau belum tu, Allah akan temukan kita dengan jodoh tu saat kita betul-betul dah bersedia. Contoh ye, kita ni masih ada ibu bapa. Tapi ada kawan-kawan kita umur tujuh tahun ayah atau ibu dia dah meninggal. Bukan Tuhan tu tak adil. Tapi sebab Allah tahu ketika itu dia dah bersedia untuk terima ujian tu. Kita ni sebab Allah tahu belum mampu. Macam tu jugak dengan jodoh. Allah tahu bila kita bersedia atau tidak. Mungkin Allah nak kita berbakti kat ibu bapa kita dulu. Banyak lagi kita kena perbaiki diri. Allah tahu apa yang kita tak tahu."

Ketika itu waktu terasa sangat mencemburui. Dengan aku yang mengejar dateline submission report dan Kak Adawiyah yang ada kelas selepas itu. Namun pertemuan yang singkat itu sudah mampu untuk menyegarkan hati yang kering itu. Sambil bersalaman aku bisikkan kepada Kak Adawiyah supaya mendoakan aku untuk terus kuat menjaga hati. Doa dititip bersama senyuman. Rasa kasih dan cinta menjalar dalam genggaman tangan kami.

Aku terus melangkah ke bangunan E5 ketika itu dengan semangat yang baru refresh. Dan serta merta itu juga aku diuji apabila brother yang aku maksudkan duduk betul-betul di komputer sebelah. Namun alhamdulillah, terngiang-ngiang nasihat Kak Adawiyah sebelum itu, mujahadah dan terus menjauh. Allah akan jaga.

Dan aku berharap purdah yang menutup wajah ini juga dapat membantu aku menjaga hati. Amin Ya Rabb.
 

Wednesday, May 7, 2014

Bicara Gelisah.

Bismillahirrahmanirrahim.


Saat hati rasa gelisah dan gundah
cuba capai tafsir di celah-celah susunan buku itu.
Selak mana-mana helaian
Tadabbur.
Allah berbicara dengan ayatNya.
Iya, ayat yang buat hati kamu bergetar dan terpujuk itulah.
Hayati.
Refleksi.

.
.
.

"Maka betapa banyak negeri yang telah Kami binasakan kerana (penduduk)nya dalam keadaan zalim, sehingga runtuh bangunan-bangunannya dan (betapa banyak pula) sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi (tidak ada penghuninya). Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada."

[Al-Hajj 22:45-46]

...yang buta itu ialah hati yang ada di dalam dada.

Allahu.


Jangan hanya bila kau hilang teman dan kawan, baru mahu merangkak mencari Tuhan.

Sunday, April 13, 2014

Lebuhraya Utara Selatan

Bismillahirrahmanirrahim.


 

Mulakan dengan asma' Allah dan puji-pujian bagiNya. Mengharap redhaNya di setiap bait kata dan hembusan nafas ini. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Ulang alik dari Ipoh ke KL, KL ke Ipoh beberapa minggu sudah menjadikan aku pengguna Lebuhraya Utara Selatan yang paling setia (hahA!). Memandu seorang diri selalunya memberi peluang untuk aku berangan, muhasabah, dan berfikir. Kalau rasa stress tu selalunya akan melalak sorang-sorang lagu nasyid apa-apa.

Sedar atau tidak sedar lebuhraya itu menggambarkan perjalanan kehidupan kita. Dari mana kita bermula, dan di mana destinasi akhir kita. Sepanjang perjalanan kita itu, ada halangan dan cabaran yang kita perlu tempuhi.

Nak dijadikan cerita, ketika itu aku memandu dengan kelajuan 120 km/j di lorong sebelah kanan. Melihat kereta belakang yang memecut laju, aku lalu memberi signal ke kiri. Beralah kepada yang lebih patut. Perlahan-lahan aku masuk ke lorong kiri dan tanpa disedari ada sebuah Mercedes putih memotong dari lorong kiri sekali. Kereta yang aku pandu hilang kawalan seketika kerana ingin mengelak dari bertembung. Alhamdulillah aku berjaya mengawal keseimbangan kereta. Kebetulan, ketika itu di radio sedang memutarkan lagu 'Menanti di Alam Barzarkh'. Boleh faham apa perasaan ketika itu?

Terdiam seribu bahasa. Sampai ke Ipoh masih menggigil.

Habis cerita itu. Aku jadikan pengajaran supaya lebih berhati-hati.

Kemudian mari kita refleksi diri kita melalui analogi kamera AES pula. Bagaimana kita menjadi begitu hipokrit bila berhadapan dengan kamera tersebut. Semua pemandu seolah-olah yang paling sopan dan berhemah di jalan raya. Tidak. Aku bukan menunding jari kepada sesiapa, malah aku juga begitu. Tapi bila di luar pengawasan AES, memandu bagai tak fikir pemandu lain. Iya, kitalah juga begitu.

Begitulah kita, bila beramal di hadapan orang betapa bersungguh-sungguh kita. Tapi di sebaliknya, berapa banyak dosa yang kita kumpul. Mungkin kita terlupa bahawa Allah itu Maha Melihat, Maha Mengetahui.

Sejauh mana destinasi yang kita tuju, pada hakikat kehidupan kita, destinasi terakhir pastinya akhirat. Sepanjang perjalanan itu, pasti ada kesukaran dan ujian. Ada ketika kita terlalai dan terleka, lalu Allah berikan sedikit ujian supaya kita kembali tersedar. Allah itu takkan menzalimi hambaNya. Malah ujian yg diberikan juga adalah tanda kasih sayangNya kepada kita.

Subhanallah.

Mari kita muhasabah bagaimana perjalanan kita menuju destinasi terakhir kita. Moga Allah bersama di setiap langkah yang dihayun. InsyaAllah.


Di lebuhraya itu aku temui cinta Allah.. :')

Wednesday, February 26, 2014

Rejeki.

Bismillahirrahmanirrahim.
 
 
 
Segala puji bagi Allah yang menghidupkan dan mematikan. Selawat dan salam bagi junjungan mulia Rasulullah SAW.
 
Sila baca tajuk di atas dengan bunyi jawa asli. Beserta qolqolah. Eheh.
 
Okay, enough.
 
Alhamdulillah, nikmat Allah datang tanpa kita sangka-sangka. Terkadang rasa tak layak pun berbanding perhambaan kita pada Dia. Astaghfirullah. Tapi risau jugak kalau-kalau nikmat ini Allah datangkan sebenarnya sebagai ujian. Bimbang diri terus alpa dan leka.
 
Semoga Allah jauhkan aku dari riak, ujub, takbur mahu pun sum'ah.
 
Aku dalam kategori pelajar biasa-biasa sahaja. CGPA bukanlah tahap 'wow', cuma bisa menyebut alhamdulillah. Apa yang aku yakin, ilmu itu ada pada berkatnya usaha. Tanggungjawab kita pada usaha, natijah atau hasil itu kerja Allah.
 
Kalau nak dibanding dengan rakan-rakan yang lain yang sering dean's list setiap sem, mesti aku bukan golongan yang tersenarai untuk menerima semua ini.
 
Syukur. Haza min fadli rabbi. Belum pun habis degree, minggu kedua semester akhir hari itu aku ditawar untuk menyambung master. Satu projek telah ditawarkan oleh seorang lecturer. Dapat recommendation dari co-supervisor FYP. Jadi nama aku terpilih. Alhamdulillah thumma alhamdulillah.
 
Dalam kesungguhan aku memohon untuk menyambung master di luar negara, Allah sediakan peluang yang lebih cerah di depan mata. Syukur.
 
Minta pendapat ummi dan ayah, lantas aku terima tawaran tersebut. Sekarang dalam proses urusan pemohonan pengajian master dalam UIA. Doakan.
 
Minggu lepas, seperti biasa aku consult dengan supervisor berkenaan FYP. Dah tunjukkan result experiment, tanya pendapat dan komen, kemudian SV tanya mahu sertai exhibition atau tidak? Dia suruh sediakan poster.
 
No idea about that, aku tanya pendapat rakan sekelas tadi. Kata Kak Zu, terimalah. kalau join exhibition insyaAllah dapat A solid. Allahu rabbi. Rakan yang lain terdengar, lalu Kak Zu katakan, "dia ni murah rezeki."
 
Amin untuk doa itu.
 
Peluang untuk buat exhibition ini bukan semua orang dapat rupanya. Subhanallah. Rasa nak menangis.
 
Rezeki Allah itu maha luas. Di mana kita yakin dengan Dia, Dia akan bagi kita. Dari jalan yang tidak disangka-sangka.
 
Allah, andai ini ujian buatku, tuntunilah langkahku. Jangan biar timbul sekelumit pun rasa bangga dalam diri. Aku hanya hamba fakir di atas bumi ini. Menumpang rahmat kasihMu, mengharap belas redhaMu.
 
Haza min fadli rabbi.

Saturday, February 22, 2014

Terus kuat dan makin kuat.

Bismillahirrahmanirrahim.

Semoga permulaan dengan menyebut asma' Allah, sepanjang amal itu juga hanya untuk mengharap redhaNya.




Bukan mudah untuk kekal husnuzhon saat keadaan semakin merumit.

Saat keadaan menguji, iman turut diuji. Sama ada terus kekal yakin pada rahmatNya atau terus berputus asa.

Untuk mendapat syurgayang indah itu bukan mudah. Ada harga yang perlu dibayar. Mahal.

Kuat, mujahidah. Kuat!

Allah sedang berbicara supaya kamu tetap bergantung padaNya. 

Dan tetap yakin, Dia tak pernah menzalimi hambaNya. TAK PERNAH.


 

Sunday, February 9, 2014

Fate.

Bismillahirrahmanirrahim.

credit


Alhamdulillah 'ala kulli hal. Sollu 'ala Nabi.

Satu:

Cuti sem lepas memang duduk kat rumah je. Kebetulan ummi dan ayah tak berapa sihat, nak jalan-jalan pon macam tak patut. Makanya jadi tukang masak, tukang basuh baju, tukang sapu sampah, senang cerita jadi suri rumah. Seronok je. Dapatlah merasa serba sikit kepayahan ummi menjaga kita kecil-kecil dahulu. Cuma satu cabarannya ialah, bila nak masak. Ummi tak sedap mulut. Kena fikir lauk apa yang ummi mampu telan. Tiap-tiap hari aku asah skill memasak aku. Alhamdulillah, berkat ummi ajar dulu-dulu mampu juga aku masak lauk so-called traditional. Yelah, lauk modern kan SANGAT simple. Lauk-lauk asli melayu tu kena ada kepakaran memasak tau. Dan, tiap-tiap harilah aku memasak lauk yang berbeza. Seronok bila day-by-day selera ummi dah makin okay. Alhamdulillah.

Dua:

Nak jadi cerita, ummi masih dalam tempoh treatment. Bila-bila masa akan hospital telefon suruh datang. Minggu terakhir cuti tu ummi kena masuk ward. Suppose, doktor kata masih ada air dalam paru-paru tu. Kena buang dulu baru boleh continue dengan radiograpy. Masuk hospital adalah dalam empat hari. Lastly tak payah buang pun air tu sebab sikit and the body can absorb. Ceh. Ulang alik ke sana ke mari, memang sesaja holiday kat hospital lah, kata ummi. Aku jadi peneman ummi. Ummi bosan, aku pun bosan. Bukan ada treatment apa-apa, duduk melangut. Makin hari makin tahap kesabaran menurun terhadap pengurusan hospital tu. Kerja nurse, tiba-tiba jadi tugas aku. Menu makanan salah hantar. Too many uncertainties. Fuhh, menguji.

Tiga:

Sebabkan bosan duduk tak buat apa kat hospital, ummi pesan kat abang hantarlah buku apa-apa, dapat juga habiskan masa dengan membaca. Abang hantar dua buku, 'Magnet Solat Dhuha' lagi satu 'Persona Solat Tahajud'. Hari kedua ayah bawak dua lagi buku yang diambil dari rak buku rumah abang, 'Dari Tanjung Malim ke KLCC' dan novel 'Maruah'. Buku 'Dari Tanjung Malim ke KLCC' aku berjaya habis baca sebab penulisannya santai. Buku 'Persona Solat Tahajud' sempat separuh. Jadi total buku aku baca cuti sem lepas sama dengan lima setengah.

Empat:

Ruang wad tu agak luas. Di sebelah katil boleh dimuatkan satu kerusi malas, di sebelah lagi cukuplah untuk jadikan ruang solat. Kalau siang aku pergi solat di surau luar wad sahaja. Cuma malam, ummi risaukan keselamatan aku keluar berseorangan. Azan pun boleh didengar walaupun sayup-sayup, alhamdulillah. Di kesempatan awal pagi itu, Allah berikan ketenangan untuk keserabutan dan kekeliruan hati ini. Allah memberi hikmah untuk terus bermuhasabah. Tak layak bukan untuk aku menghukum? Jadi aku serahkan semuanya pada Allah. Aku yakin dan serahkan seluruh ketentuan jodoh ini kepada Allah.

Lima:

Ummi janji nak belikan aku handphone baru. Aku tidaklah mengharap sangat. Selagi Vivaz tu mampu digunakan aku redah saja. Tiba-tiba pula hari Jumaat tu dia totally rosak. Tak mampu nak buat apa-apa dah. Esoknya aku dah plan nak pergi kenduri kahwin kawan sekelas dulu pulak tu. Dah malam, tak sempat pun nak beli telefon hari itu juga. Esok pergi bermusafir terpaksa pinjam handphone ummi dulu.

Enam:

1 Feb, mabruk Ieda dan pasangan. Barakallahu lakuma. Siapa sangka, dalam batch kita Ieda yang kahwin dulu? Kiranya nak kahwin ni ikut ranking time konvo dulu ke macam mana? Kalau macam tu lepas ni Yanti lah. Haha. Sempat jumpa beberapa kawan maktab tu. Masing-masing dah berubah. Makin matured, makin cantik, makin ...

Tujuh:

Perjalanan dari Ipoh ke Bagan Serai, singgah Kuala Kangsar ambil Nabila dan Yong. Lupa nak check kilometer. Jadi berteka-teki boleh solat jama' atau tidak. Tanya kawan-kawan yang hadir kenduri tu, masing-masing jawapan kurang memuaskan. Pukul 2.40 pm, sebab dah lewat sangat aku telefon ayah tanyakan kepastian. Jawapan ayah yakin, BOLEH. Kemudian ayah tanya bila nak balik, Atok MENINGGAL!

Allah! Innalillahi wa inna ilaihi raajiuun.

Lapan:

Aku selesaikan dulu yang fardhu. Dah siap jama' fikiran blurr macam mana nak sampai rumah cepat padahal banyak persinggahan lagi ni. Kena hantar Yong kat Taiping dulu. Nabila nak balik Kuala Kangsar. Wani balik Ipoh semula. Aku telefon ayah tanyakan sama ada mahu aku terus ke kampung di Lenggong atau bagaimana. Ayah kata balik je Ipoh dulu. Perjalanan yang aku anggap paling lama dua jam itu meleset. Pukul 6.30 pm baru aku sampai Ipoh. Mujur ayah dan ummi dah balik kampung dulu, aku kena pergi Lenggong dengan abang. Siap-siap tukar baju semua gerak balik Lenggong, sampai kampung mayat dah nak diusung ke perkuburan. TERKILAN. Tak sempat nak lihat wajah atok buat kali terakhir. Kesal. Sedih. Semua ada. Rasa tak patut pergi kenduri tu siangnya. Benda dah jadi, aku tak mampu nak buat apa-apa. Cuma aku mampu panjatkan doa di setiap solatku semoga atok ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang soleh. Amin.

Sembilan:

Kami sekeluarga sahaja tiga kereta. Abangme datang dari Perlis. Akak yang pulang ke rumah mertua di Johor tak sempat balik. Malam itu ayah cadang kami pulang ke Ipoh sahaja, tak perlu bermalam di situ. Aku memilih untuk naik kereta bersama ummi dan ayah. Ya Allah rasa terkilan itu seumur hidup aku akan rasa. Dalam kereta aku hanya mendengar perbualan ummi dan ayah. Pakcik ada cerita pada ayah, malam sebelum hari atok meninggal itu, sepanjang malam atok habiskan dengan mengaji Al-Quran. Subhanallah. Atok meninggal selepas solat zohor, ketika mahu makan tengah hari. Bayangkan saat kematian arwah masih dalam keadaan berwudhuk. Allahu Akbar.

Sepuluh:

Arwah atok yang aku kenali seorang yang SANGAT penyabar. SANGAT. Tak pernah sekali aku melihatnya marah kecuali bila haknya diambil orang. Arwah sentiasa murah dengan senyuman. Aku cukup kagum dengan kegigihan atok membesarkan anak-anaknya dalam kesusahan dan kepayahan. Hidup serba kekurangan tak menghalang atok memberikan pendidikan Islam yang sempurna kepada anak-anaknya. Ya Allah, sungguh aku jadi saksi arwah seorang yang mulia dan berlaku baik kepada anak dan cucunya.

Sebelas:

Hari keesokannya, disebabkan sudah berjanji dan menjadi keperluan  ketika itu, ummi membelikan aku handphone baru. Rasa tak punya perasaan ketika itu kerana kami sekeluarga sepatutnya masih berkabung. Cuti pun sudah habis. Langsung tak ada perasaan nak balik UIA. Entah, masih punya rasa terkilan yang teramat sangat. Memang aku tidaklah rapat mana dengan atok, tapi sebagai atok dan cucu, kasih antara kami terpaut. Jadi aku decided balik UIA Isnin sahaja.

Untuk segala kasih yang terpaut, untuk segala kesempatan yang diguna, untuk segala kebaikan yang disalur, untuk segala didikan yang ditunjuk, untuk segala kebajikan yang dihulur, untuk segala senyum yang tersisa, untuk segalanya, aku sayang atok kerana Allah. Aku menjadi saksi atas kebaikan atok terhadap anak-anak, cucu-cucu dan orang sekelilingnya. Berikan balasan syurga untuk atok. Semoga arwah atok ditempatkan dalam kalangan hambaMu yang beriman. Amin.

To whom it may concern.

Bismillahirrahmanirrahim.
 
To whom it may concern. You.
 
Saya tahu kamu lelaki yang baik. Everyone would say that.
 
Tapi..
 
Apa yang terjadi telah mungkin mengubah apa yang kita rancang. Awalnya saya menyalahkan. Akhirnya saya sedar Allah berikan suatu petunjuk supaya saya lebih memperbaiki diri, bukan menyalahkan.
 
Maaf.
 
Buat masa ini, kita serahkan semua pada takdir Ilahi. Andai ada jodoh, tak ke mana.
 
Semoga kamu, dan diriku sentiasa dalam lindungan Allah.

Wednesday, January 22, 2014

Wanita dan Fitnah

Bismillahirrahmanirrahim.
credit


Alhamdulillah 'ala kulli hal. Sollu 'ala Nabi.

Wanita itu sering sahaja dikaitkan dengan fitnah. Pernah aku terdengar yang hadith berkaitan 'fitnah terbesar di akhir zaman adalah wanita' itu adalah hadith maudhu' atau hadith palsu atau menghampiri palsu atau tidak sahih. Jadi aku tidak mahu menulis bersandarkan hadith tersebut. Bimbang pada khilaf diri.


Saat menulis ini jantungku masih berdebar-debar. Terasa begitu takut dengan satu situasi yang baru mengetuk. Betapa, wanita itu sentiasa terdedah kepada fitnah. Hatta muslimah yang begitu menjaga juga akan diuji dengan fitnah. Allahu.

Fitnah itu memang ujian buat insan bergelar wanita. Dalam Al-Quran sendiri ada menyebut beberapa kisah berkaitan fitnah dan wanita ini. Sebagai contoh di dalam surah Maryam iaitu surah ke-19 ayat 27 hingga 34 ada menceritakan bagaimana Maryam dituduh telah melakukan zina sehingga melahirkan anak luar nikah. Antara contoh lain di dalam sirah ialah peristiwa Haditsul Ifki yang menimpa Ummul Mu'minin, Saidatina A'isyah R.A. di mana A'isyah difitnah melakukan perbuatan sumbang. Allah telah membersihkan nama baik A'isyah dalam surah An-Nuur yakni surah ke-24 ayat 23 dan 24. Kisah ini turut diterangkan dalam surah yang sama pada ayat 11 hingga 19.

Sedangkan wanita-wanita mulia dan suci begitu juga tak dapat lari daripada fitnah, inikan kita yang lebih banyak noda dan dosa? Sedar atau tidak sedar, kadang-kadang kita sendiri yang mendedahkan diri kita kepada fitnah.
Bagaimana?

Satu:

Kadang-kadang kita leka melayan movies di laptop mahu pun di televisyen sehingga terlewat solat fardhu kita. Nah, satu ruang fitnah untuk muslimah yang saksinya 'hanya Allah yang layak disembah' tapi perbuatannya tak selari dengan penyaksian.

Dua:

Kita pantang tahu ada sales untuk tudung dan jubah rekaan terbaru, jadi kita sanggup berhabis duit membeli dan memborong. Sekali lagi ruang fitnah untuk muslimah, pakaian yang dipakai untuk menutup aurat atau untuk dipamer dan dilihat? Pakaian yang mengikut syariat itu adalah pakaian yang menutup aurat dan juga tidak membazir ketika membelinya.

Tiga:

Ketika bermesyuarat melibatkan lelaki dan perempuan secara tidak sedar perbincangan dah jauh melencong dari agenda sebenar. Kadang-kadang langsung membawa kepada lagha, disertakan dengan gelak tawa lagi. Adesss, ini fitnah yang sangat aku takut, fitnah berkait dengan lelaki.

Ya Rabb, ujian fitnah ini amat berat.

Semua fitnah-fitnah itu jika tak ditangani dengan betul dan bijaksana, malah membawa fitnah kepada agama pula. Na'uzubillahi min zalik.

Tak semudah yang disangka untuk kita mengelak fitnah. Mungkin fitrah seorang wanita itu mudah terdedah kepada fitnah. Tetapi kita sekurangnya boleh cuba untuk menjauhkan diri daripada asbab kepada fitnah terjadi.

Sentiasa melazimi diri dengan Al-Quran. Sentiasa tadabbur dan hayati setiap kalam Ilahi. Bergembiralah dengan ayat rahmatNya dan takutilah pada ayat azabNya. Dengan itu kita akan lebih berusaha untuk menjadi hambaNya yang taat.

Bersederhanalah dalam setiap pekerjaan dan amalan. Selalunya berlebihan itu akan mengundang jarum-jarum syaitan untuk menghasut. Bersederhana dalam berpakaian, supaya tidak tersasar niat menutup aurat dan tidak membazir. Bersederhana dalam bekerja supaya tidak tersasar niat mengejar dunia bimbang ditinggal akhirat.

Jauhi penggaulan dengan ajnabi jika bukan dalam keadaan yang diperlukan syarak. Islam bukan agama yang jumud yang langsung mengharamkan muamalah antara lelaki dan perempuan. Tetapi ada batas yang ditetapkan syarak. Ikuti segala syarat dan laranganNya insyaAllah, semuanya berjalan lancar.

Andai juga kita telah berusaha menjaga diri dan berhati-hati supaya tidak dijengah fitnah tetapi masih juga terpalit kotoran fitnah itu, bersabarlah dan mohon pertolongan Allah. Boleh jadi Allah mahu menguji sekuat mana iman kita. Yang penting sentiasa bersangka baik dengan Allah. Allah  tak pernah meninggalkan hambaNya sendirian dan Allah tak pernah menzalimi hambaNya.


"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar."
[Al-Ahzaab 33:35]