Demi Masa

Thursday, September 4, 2014

Rindu itu racun.

Bismillahirrahmanirrahim.
 
 
Credit
 
 
Ain mengesat air jernih yang mengalir di pipi mulusnya itu. Rasa rindu itu terlalu menyeksakan. Dia tahu yang dia tak patut ada rasa itu, apatah lagi pada insan yang tidak sepatutnya. Dia telah sedaya upaya menepis, tetapi gagal juga.
 
Sambil duduk berteleku usai Asar tadi, Qurratul Ain meneruskan zikir dengan bacaan Al-Mathurat. Dihayati satu persatu kalimah zikir itu. Meresap terus ke jantung. Ibarat titisan embun yang dingin mendamaikan hati. Dia benar-benar mahu mengembalikan rasa itu pada Al-Khaliq. Tidak betah dia terus membiarkan rasa itu mencemar hatinya.
 
"Kenapa terlalu sukar untuk melupakannya?"
 
Persoalan itu menghukum dirinya sendiri. Andai boleh, mahu sahaja Ain memenjara hatinya dan sekali dikunci mangga.
 
"Untuk apa aku terus menanti, andai dia sendiri memberi jawapan yang tidak pasti?"
 
Hatinya belum sepenuhnya tenang. Masih ada yang mengganggu perasaannya. Lalu Ain mencapai Al-Quran di birai katil kayu berukir corak flora itu. Diselak terus ke muka surat 305. Surah Maryam. Bacaannya sangat tartil, penuh penghayatan, dijaga tajwidnya. Air mata Ain perlahan-lahan mengalir. Bezanya, kali ini air mata itu menenangkan. Terasa segala beban yang menyesak dada tadi mengalir sekali bersama cecair hangat itu.
 
Habis bacaannya sehingga ayat 98 surah ke-19 itu, Ain menarik nafas dalam-dalam. Dibiarkan seketika semua oksigen meresap ke saluran-saluran darahnya dan kemudian menghembus perlahan. Ayat ke-97 dihayati:
 
 
"Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al-Quran ini dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil dalam kekufurannya."
[Maryam 19:97]
 
"Aku takutkanMu Ya Allah. Aku takutkan azabMu. Ampuni aku. Ampuni aku. Ampuni aku. Jadikan aku hambaMu yang bertaqwa. Aku juga mahu mendapat khabar gembira dari syurgaMu."
 


"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia."
[Ar-Ra'd 13:28]
 
Ain makin kuat menempuh hari-hari selepas itu untuk menepis rindu yang hadir. Rindu itu racun. Racun pada hati yang masih mencari cinta Ilahi.
 
Jika rasa itu cuba lagi menyinggah, Qurratul Ain meletakkan tangan kanannya di dada sambil menyedekahkan Al-Fatihah untuk diri sendiri. Bimbang hati itu telah mati.
 
Zikir hasbi rabbi tak lekang di bibir. Dihayati supaya meresap maknanya dalam diri. Qurratul Ain tak mungkin tewas lagi. Bukan dia tidak pernah bertanya pada Allah, cuma jawapan istikharahnya menyatakan saat itu belum lagi. Biarlah masa ini, dia sibukkan diri untuk mencari cinta Ilahi. Itu lebih pasti.

No comments: