Demi Masa

Sunday, May 18, 2014

Al-Qulub

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji dan puja terdahulunya dipanjatkan kepada Ilahi. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.




Al-qulub atau bahasa melayunya hati. Direct translation to english pastinya liver. Tapi hati yang kita maksudkan di sini adalah 'heart'. Sesuatu yang dituju bukan pada fizikalnya, tapi pada makna, ruh itu sendiri.

Jika disemak dalam Matan Arba'in, di akhir hadith keenam ada menyebut:
"Ingatlah, bahawa dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah hati."
[Riwayat Bukhari]

Hati yang bersih itu akan terserlah pada peribadi seseorang. Begitu juga hati yang kotor. Allahu.

Namun, bukan mudah nak menjaga hati. Dan siapa kata wanita berpurdah hatinya terpelihara? Setiap anak Adam itu ada ujiannya tersendiri. Sungguh, ujian itu sebenarnya untuk meningkatkan iman kita. Kita yang tak sedar ataupun terlupa.

Pernah sampai satu tahap itu, aku rasa sangat payah untuk menjaga hati. Terasa mujahadah itu sangat, sangat, sangat berat. Dek kerana makin perit, roh yang kering ini dahagakan nasihat dan sokongan. Diaturkan pertemuan dengan akak naqibah dengan izin Allah.

"Macam mana nak jaga hati ye kak?" Aku mulakan bicara usai solat jemaah zohor di masjid.

"Hmm. Susah jugak tu. Tapi ikut keadaan dan situasi. Akak bagi contoh ye, macam akak duduk dekat rumah sewa, ada housemate yang malas nak basuh pinggan. Mula-mula kita tahan la. Tapi lama-lama kita yang rasa geram. Daripada kita marah-marah dalam hati dan cakap belakang, apa kata kita slowtalk dengan dia. InsyaAllah bicara hati ke hati macam tu lebih sampai."

Dari satu contoh ke satu contoh Kak Adawiyah bagi. Kemudian aku tanya lagi untuk situasi yang berbeza.

"Macam mana pulak kak, saya ni belajar engineering, bukan jurusan agama. Jadi orang-orang sekeliling saya pun..bukan saya nak kata tak islamik, tapi..pergaulannya kurang terjaga berbanding golongan yang ambik jurusan agama. Saya sendiri bukan berasal dari sekolah agama. Jadi diri sendiri pun lemah. Macam mana saya nak tegur kawan saya yang couple? Kadang-kadang saya guna bahasa kiasan. Tapi tak jalan jugak. Risau nak tegur direct sebab dalam masa yang sama kita nak jaga persahabatan kita. Macam mana ye?"

"Kalau yang itu kita sendiri kena kuat. Kita guna pendekatan hati jugak. Doa. Dan sabar. InsyaAllah Allah tahu usaha kita."

Kak Adawiyah terus menerus memberi nasihat dan penenang hati. Sampailah satu soalan yang paling membuak-buak ketika itu. Masalah hati yang paling berat, paling hebat diuji.

"Lagi satu..macam mana nak tahu lelaki tu, lelaki yang baik ye? Dah fourth year ni kak, makin banyak kerja dan projek yang memaksa kami bekerja campur lelaki perempuan. Mahu tak mahu, terpaksa ada conversation dengan lelaki. Sebenarnya, rasa tak selesa. Tapi atas urusan kerja, kena jaga batas sebaiknya lah. Masalahnya bila jadi muamalah tu, akan timbul pulak suara-suara luar bila saya selalu bekerja dengan seorang brother tu. Mula-mula gosip, tapi syaitan kan licik, lama-lama datang sikit-sikit rasa kat hati. Jujurnya, saya rasa sangat tak selesa dengan rasa tu. Saya cuba istikharah juga, kalau betul lah dia orangnya. Tapi bukan jawapan istikharah tu dapat secepat selepas solat. Dan jujur lagi, saya tak rasa saya dah cukup bersedia untuk ke peringkat itu. Banyak lagi yang saya nak buat dalam hidup ni.."

"Lelaki yang baik ye..Akak rasa kita boleh tengok cara dia layan perempuan, bukan layan kita je, tapi dengan perempuan lain sekali. Adakah dia hormat seseorang wanita itu atau tak. Adakah dia menjaga pandangan dan tutur kata saat berbicara. Tengok sikap dia dengan kawan-kawan dia. Siapa kawan-kawan dia. Cek facebook dia, apa yang dia selalu post atau share. Macam mana dia komen."

Tambah Kak Adawiyah lagi,
 
"Pasal nak elak gosip dan jaga hati tu, mungkin awak boleh cuba sedaya upaya untuk tidak berhubung dengan dia. Carilah cara apapun, selagi boleh elak, elakkan. Kalau terpaksa berhubung, cuba guna orang lain. Contoh kan, katakanlah awak nak guna lab, tapi kunci dekat dia, awak jangan suruh dia hantar kat awak, suruh dia pass kat sesiapa. Cuba, cuba, cuba cari cara untuk tidak berhubung langsung dengan dia."

Kak Adawiyah menambah dengan contoh.

"Macam ada seorang akhawat ni dulu. Dia budak jurusan agama, kawan akak lah. Ada seorang brother tu baik, selalu bagi majlis ilmu dan akhawat ni selalu hadir. Mula-mula dia suka-suka macam tu je, tapi bila kawan-kawan makin selalu usik kata mereka ni padanlah, apa lah, hati dia makin terganggu. Sampai satu tahap tu dia bagitahu kat akak, dia solat pun nampak muka brother tu kat tikar sejadah. Sungguh."

Aku terkejut, Kak Adawiyah terus menyambung.

"Lalu dia ambil keputusan untuk tak pergi lagi ke majlis ilmu brother tu. Memang majlis ilmu tu bagus, tapi demi nak jaga hati, dia tinggalkan itu dan cari majlis ilmu yang lain. Itu mujahadah dia."

Menjawab pertanyaan yang seterusnya,
 
"Pasal bersedia atau belum tu, Allah akan temukan kita dengan jodoh tu saat kita betul-betul dah bersedia. Contoh ye, kita ni masih ada ibu bapa. Tapi ada kawan-kawan kita umur tujuh tahun ayah atau ibu dia dah meninggal. Bukan Tuhan tu tak adil. Tapi sebab Allah tahu ketika itu dia dah bersedia untuk terima ujian tu. Kita ni sebab Allah tahu belum mampu. Macam tu jugak dengan jodoh. Allah tahu bila kita bersedia atau tidak. Mungkin Allah nak kita berbakti kat ibu bapa kita dulu. Banyak lagi kita kena perbaiki diri. Allah tahu apa yang kita tak tahu."

Ketika itu waktu terasa sangat mencemburui. Dengan aku yang mengejar dateline submission report dan Kak Adawiyah yang ada kelas selepas itu. Namun pertemuan yang singkat itu sudah mampu untuk menyegarkan hati yang kering itu. Sambil bersalaman aku bisikkan kepada Kak Adawiyah supaya mendoakan aku untuk terus kuat menjaga hati. Doa dititip bersama senyuman. Rasa kasih dan cinta menjalar dalam genggaman tangan kami.

Aku terus melangkah ke bangunan E5 ketika itu dengan semangat yang baru refresh. Dan serta merta itu juga aku diuji apabila brother yang aku maksudkan duduk betul-betul di komputer sebelah. Namun alhamdulillah, terngiang-ngiang nasihat Kak Adawiyah sebelum itu, mujahadah dan terus menjauh. Allah akan jaga.

Dan aku berharap purdah yang menutup wajah ini juga dapat membantu aku menjaga hati. Amin Ya Rabb.
 

Wednesday, May 7, 2014

Bicara Gelisah.

Bismillahirrahmanirrahim.


Saat hati rasa gelisah dan gundah
cuba capai tafsir di celah-celah susunan buku itu.
Selak mana-mana helaian
Tadabbur.
Allah berbicara dengan ayatNya.
Iya, ayat yang buat hati kamu bergetar dan terpujuk itulah.
Hayati.
Refleksi.

.
.
.

"Maka betapa banyak negeri yang telah Kami binasakan kerana (penduduk)nya dalam keadaan zalim, sehingga runtuh bangunan-bangunannya dan (betapa banyak pula) sumur yang telah ditinggalkan dan istana yang tinggi (tidak ada penghuninya). Maka tidak pernahkah mereka berjalan di bumi, sehingga hati (akal) mereka dapat memahami, telinga mereka dapat mendengar? Sebenarnya bukan mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada."

[Al-Hajj 22:45-46]

...yang buta itu ialah hati yang ada di dalam dada.

Allahu.


Jangan hanya bila kau hilang teman dan kawan, baru mahu merangkak mencari Tuhan.