Demi Masa

Saturday, April 9, 2016

Food for thoughts.

Bismillahirrahmanirrahim.



Sudah terlalu lama tidak menulis. Entah apa alasan yang kukuh untuk itu. Sama ada terlampau sibuk menyiapkan thesis master, atau hilang ghairah pada penulisan, atau terlalu banyak yang difikirkan sehingga tak tahu yang mana perlu dikongsikan. Alasan mudahnya, faktor usia.

Semakin meningkat umur, rasanya lebih banyak perlu difikir sebelum berbicara. Lebih banyak perlu dikaji sebelum berkongsi. Lebih banyak perlu diteliti sebelum galak menyusun kata.

Serasanya dulu pernah bercita-cita suatu masa nanti akan ada buku yang dipublish dengan nama sendiri sebagai pengarangnya. Ternyata masih lagi cita-cita itu berada di nombor dua belas wishlist. Nombor satu sampai sebelas sahaja masih belum tertunai sepenuhnya. Tetap masih ada yang ketiga belas dan yang keempat belasnya. Senang kata, senarai itu tak mungkin habis. Manusia tanpa cita-cita, lalu dia hidup sebagai apa?

Dalam umur pertengahan dua puluh-an ini, hidup bukan lagi sekadar melihat pada hikmah tapi perlu meneliti di mana hikmah. Hidup ini bukan lagi perihal di sini tapi soal apa selepas di sini. Tak mungkin Allah membiar kita hidup sehingga saat ini hanya untuk terus sama seperti kita sepuluh tahun yang lepas. Kalau dulu kita hanya merangkak, sekarang ini semoga kita mampu berjalan kalau boleh bisa berlari. 

Ketika usia begini, perlunya kita bukan berapa ramai kawan tapi ada kawan yang benar-benar membawa kita dekat kepada Tuhan. Kalau ramainya bagus, kalau sedikit itu memadai.

Dengan bersendiri sebenarnya Allah beri peluang untuk kita muhasabah dan menilai kurang atau lebih pada diri. Perbaiki atau cuba cari solusi.

Ada beberapa hal yang bermain-main dalam fikiran bila jadi lone ranger ni.

Satu:
Betapa susahnya untuk IKHLAS memaafkan orang yang menyakiti kita. Untuk menuturkan "aku maafkan", iya mudah tapi untuk benar-benar memaafkan langsung melupakan sumpah payah.

Kejadian lapan tahun lepas, saat aku dalam lingkungan umur membina diri sendiri, entah kenapa terus jadi luka mendalam dalam hati. Luka yang pada luarnya nampak sembuh padahal dalamnya kadang-kadang berlaku pendarahan. Perit. Tak pernah sedikit pun terniat untuk membenci sesiapa apatah lagi tanpa alasan syar'ie.

Dan kejadian itu menjadikan aku seperti aku yang hari ini. Skeptikal. Tak percaya pada orang. Keras hati. Susah membuka hati untuk menyayangi. Suka bersendiri. Moga nanti di akhirat aku mampu melupakan perlakuan kalian dan tak menuntut atas apa yang terjadi pada aku hari ini.

Dua:
Setiap hari, berlainan orang kita jumpa. Ada yang sekadar kita bertemu dan berpisah. Ada yang sempat kita berkenalan dan mengikat tautan hati. Setiap ragam orang berbeza. Dan pada mereka, kita juga berbeza. 

Tak adil rasanya kita mempersoalkan kenapa orang tak faham diri kita padahal kita sendiri mustahil dapat memahami semua mereka. Mungkin ada sebahagian perangai mereka yang menyakitkan hati kita. Ada sebahagiannya yang tak kena dengan prinsip diri kita. Tapi kalau manusia semuanya serupa, dimana indahnya perkenalan?

Aku sering bayangkan diri kita terbina daripada building blocks yang kecil-kecil. Daripada blocks kecil-kecil tersebut jadilah seorang manusia dengan prinsip hidup tersendiri. Bergantung pada blocks apa yang diguna.

Ada guna block keperitan, ada block kesedihan, ada block kesakitan, ada block kasih sayang, ada block kepercayaan, ada block penghargaan, ada block pengorbanan. Melalui pengalaman terbina setiap blok-blok tersebut.

Mungkin pada aku ada blocks kekecewaan dan kesedihan di samping blocks kasih sayang, cinta, kepercayaan, penghargaan yang menjadikan aku bukan mudah untuk membuka ruang hati untuk orang lain masuk.

Mungkin.

Tiga:
Plan nak submit thesis bulan tiga, sekarang dah bulan empat masih ada validation test yang belum buat. Ah, dah tu kenapa masih boleh menulis blog?

Errrr..