Demi Masa

Saturday, December 24, 2011

Koreksi

Bismillahirrahmanirrahim.

Tengah study organic lagi, tapi sambil-sambil tu google macam-macam bila kebosanan menjengah.

Baca link ini.

Muhasabah dan cuba koreksi diri. Macam kena batang hidung sendiri juga. Hey, aku nampak je pakai tudung labuh, berjubah segala bagai tapi bila soal iman memang lemah, selalu kecundang dengan nafsu.

Bukan aku berniat mahu memburukkan peribadi orang yang bertudung labuh dengan perangai aku yang tak semegah, tapi ini soal iman. Semua orang akan diuji.

Sebab itu aku mengambil jalan yang aku pilih sekarang. Memang nampak ekstrim apa yang aku telah buat baru-baru ini. Nura tanya, "Kau nekad? Apa consequences bila kau buat macam ni?"

"Aku nekad kali ni. Ini je cara yang aku tahu berkesan. Biar aku yang malu sekali pun, tapi demi mencapai mardhatillah, biar aku lakukan. Bila dia tahu, dia akan paham dan takkan cuba untuk contact aku lagi. Selama ni aku cakap berlapik, tak paham-paham kan."

"Kalau kau rasa ini yang terbaik, takkan menyesal, teruskanlah. Aku sokong kau."

"Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim."

Memang ini cara yang terbaik untuk aku menjauhkan diri. Alhamdulillah sekarang aku rasa sangat tenang. Orang mungkin akan cakap, tak malu ke bila buat macam tu? Aku jawab tak. Sebab ini sahaja cara untuk aku mendekatkan diri kembali dengan cinta Allah.

"Kalau kau terserempak dengan dia?"

"Aku rasa takkan dah. Kalau tak pun, aku kena pandai berlakon, macam selalu."

Syukur sangat. Aku juga awalnya ragu-ragu dengan tindakan aku itu, tetapi aku perlu yakin, itu jawapan dari Allah. Memang hati aku sangat nekad ketika itu, sebab itu aku yakin.

Dan sungguh, rasa itu hilang serta merta. Semoga Allah mengurniakan aku hati yang baru. Hati yang sensitif terhadap cinta Allah yang selama ini aku lalai.

Subhanallah. Syukur, teramat-amat syukur. Alhamdulillah.

Aku kembali menemui diri aku yang pernah hilang suatu ketika dahulu.


Stop making assumptions! Kalau tak paham, tak tahu, tanya. Jangan nanti jadi fitnah.

Friday, December 23, 2011

Perlukah?

Bismillahirrahmanirrahim.

Satu soalan, perlukah kalau ada masalah kita canang di facebook?

Biar satu dunia tahu. Biar semua dapat merasakan apa yang anda rasa. Begitukah? Singkatnya pemikiran anda..

Kalau salah faham antara beberapa pihak, memang perlu diletakkan status-status yang bakal menyentuh hati pihak yang lainkah?

Bila bergaduh sesama sahabat, memang perlu diulang-ulang kata yang menuju kepada sahabat yang satu lagikah?

Cara begini anda bermasyarakat? Cara begini anda bersahabat? Sungguh, kita yang perlu koreksi diri sebenarnya. Sudah difikirkan all the consequences? Well, think back guys!

Pertama, orang yang tidak terlibat secara tidak sengaja boleh mengetahui apa yang terjadi. Mungkin akan berlaku pula salah faham dari pihak luar yang tidak terlibat. Dan mungkin akan ada pihak yang dipandang serong. Adakah memang ini tujuan anda? Kalau ya, astagfirullah, muhasabah kembali. Penyelesaian masalah bukan dengan cara meningkatkan sokongan dan menambahkan bilangan yang membenci pihak yang lain. Fikirlah cara orang beriman, aku yakin semua tahu. Ya, itupun jika anda punya iman dalam hati. InsyaAllah, semua ada :)

Kedua, sahabat anda akan menjadi buruk namanya. Salah faham antara anda dan sahabat seharusnya hanya anda dan sahabat terbabit yang tahu. Jangan sampai ke pengetahuan pihak ketiga atau pihak keempat atau entah pihak ke berapa. Iya, itu jika anda benar-benar bersahabat, barulah anda mengerti peri pentingnya menjaga maruah sahabat anda. Atau saya yang tersalah, sebenarnya anda tidak mengerti makna sahabat itu?

Untuk minta pendapat dari pihak lain, ya, silakan. Tiada halangan untuk itu. Tetapi pastikan anda masih menjaga nama baik sahabat anda. Bukankah ada hadith yang menyebut,

"Tidak beriman seseorang itu jika dia tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi diri dia sendiri."


Betulkan andai saya tersilap.

Cananglah di facebook. Andai dua akibat yang saya sebutkan tadi tidak berlaku pun, pasti pihak yang lain dan sahabat anda akan terasa hati. Pedih andainya laman sosial yang digunakan pihak yang satu tambah-tambah seorang sahabat meluahkan ketidaksenangan hatinya di laman sosial. Seolah-olah menjaja keburukan diri pihak atau sahabat tersebut.

Saya tidak tujukan kepada mana-mana pihak yang spesifik. Ingatan untuk diri saya juga. Tiba-tiba mahu mencoret sebab geram melihat status-status facebook yang seperti ini. Malulah sesama ummah bertelingkah. Sedihlah sesama sahabat saling bertikam lidah.

Bersatulah demi nama Islam, berukhuwahlah dengan nama Allah.

Allahu'alam bissawab.

Monday, December 12, 2011

Secebis pesanan dari sahabat

"Ingatlah, kita tidak dapat mengelakkan diri dari disapa hembusan hangatnya cinta. Namun sedarlah kembali, apakah tujuan dan matlamat penciptaan diri kita ini, iaitu semata-mata untuk beribadah kepada Allah. Sedarlah wahai pemuda, bahawa cinta pada perempuan yang bukan isteri kita adalah syahwat dan cinta kepada seorang lelaki yang bukan suami kita juga adalah syahwat. Sebaiknya kita keluarkannya daripada hati kita secepat yang mungkin. Usah dibiarkan ia terus mengotori sekeping hati kita. Hati adalah raja yang mentadbir diri kita. Jika baik hati itu, maka baiklah diri kita. Namun jika buruk hati itu, maka buruklah diri kita. Sesungguhnya perasaan itu sukar untuk kita keluarkan atau usir dari dalam diri kita melainkan kita memiliki dua perkara iaitu

Pertama: Rasa cinta kita kepada Allah yang luar biasa. Rasa cinta yang menggetarkan dinding hati. Sehingga di hati kita hanya timbul kecintaan mendalam kepada Allah. Cinta kepada yang selain dari-Nya akan lenyap dan terusir dengan sendirinya seperti hembusan angin meniup pepasir di padang tandus.

Kedua: Rasa kerinduan kita kepada Allah yang maha dahsyat, sehingga membuatkan diri kita terpenjara merana. Andai kita berasa merana kerana rindu kita kepada Allah, maka kita tidak mungkin merana kerana cinta kita pada yang lain. Andai fikiran kita sudah sibuk memikirkan Allah maka tiada masanya lagi otak kita ligat berfikir mengenai yang lain.

Thanks Nura! :')

Tuesday, December 6, 2011

Selamatkan Ummah ini.

Bismillahirrahmanirrahim.

Pendek sahaja. Sebab malam nanti ada quiz thermo, jadi perlu study.

Buka sekejap facebook tadi. Baca satu isu yang makin hangat sekarang. Entah, tidak tahu mahu mengulas bagaimana. Sedih. Sedih sangat. Tak terfikirkah mereka, iblis sedang ketawa terbahak-bahak melihat ummat Islam saling bertelagah begini. Tolonglah.

Susah sangat ke bertolak ansur dan rendahkan ego masing-masing? Ada pihak yang mahu jernihkan keadaan, tapi pihak lagi satu terus menghentam. Adilkah begitu?

Tolonglah, dengar dari kedua-dua belah pihak. Jangan hanya dengar dari perspektif pihak ini, anda sudah mula menghukum. Jangan juga dengar dari mulut orang. 100% aku yakin, tidak akan sama dengan apa yang sebenarnya terjadi. Manusia itu sifatnya lemah, pasti ada kekurangan bila menyampaikan maklumat.

Dan telinga yang mendengar juga berbeza. Pasti ada perbezaan dalam mentafsir maklumat. Walau apa pun, kembalilah kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Aku cintakan Allah dan aku sayangkan Rasulullah, sebab itu aku mahu kalian bersatu dalam satu ummah. Dan kerana itu aku memilih untuk terus berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Bukan mempergunakan untuk kepentingan sendiri.

Friday, December 2, 2011

Ironi

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, baru selesai menunaikan tanggungjawab kepadaNya. Sebelumnya aku baru habis menjawab online quiz bagi ECON 1550. Open-book-test, harap maklum.

Teringat hari itu, Muakha 8 iaitu Sports Day. Semua pun kelihatan seronok. Semoga dalam seronok-seronok kita tidak sampai lupakan Allah lah ye?

Ketika aku duduk di satu sudut, Nurul menghampiri aku. Dia beramah mesra. Katanya pertama kali melihat aku, dia sangkakan aku Kelantanese. Kami sembang macam-macam. Dia memang senang dibawa berbual. Aku perlu belajar skill ini daripadanya.

"Syak, tahu? Kat tempat Nurul, budak-budak darjah enam dah macam-macam!"

"Astagfirullah."

Isu ini yang dibuka. Memandangkan kami mempunyai tanggungjawab membentuk sahsiah adik-adik, kami sangat memandang serius isu ini. Sedih, mendengarkan pelbagai situasi yang sebenarnya sudah berlaku. Iyalah, di zaman kami dahulu, biar pun lebih kurang sepuluh tahun sahaja sebelum, budak-budak sekolah rendah sangatlah naif. Kami dahulu mana pernah pegang handphone umur begitu. Main pun masih lagi teng-teng dan aci kejar.

Shida turut menghampiri kami yang sedang berbincang. Ceritanya pula apa yang dilihat baru-baru ini dalam UIA juga. Sangat memeranjatkan. Cukuplah, tidak perlu dihebahkan di sini.

Puncanya ialah media yang terlampau bersifat terbuka sekarang, sehingga melampau-lampau. Adegan peluk cium bukan lagi taraf kita, kini Malaysia juga mahu sehebat Hollywood kononnya. Entah kenapa, aku teramatlah hairan adakah adegan seperti itu layak dipertontonkan di khalayak ramai. Iya, kononnya akan diklasifikasikan sebagai 18SG, tetapi sejauh mana tapisan ini berkesan?

Ada satu hari dalam kelas Thermodynamics, Dr Ma'an baru bermukadimah berkaitan closed system. Dan isu yang baru ditonton di TV hari sebelumnya dia ulas. Mengenai filem itu. Komentarnya, "You can't teach others to do good things by showing bad things. As if, you're showing them the effect of those things. It doesn't make sense. And this doesn't mean that we're closed system that won't accept all that."

Dan aku berfikir dengan kenyataan Dr Ma'an tersebut. Memang betul. Logikkah kita mahu mengajar orang untuk tidak berzina dengan melakukan perbuatan tersebut dan kemudian menunjukkan kesan perbuatan itu? Itu gila namanya!

Sungguh, media sangat melampau sekarang. Sehingga aku jelik untuk menonton TV.

"Barat boleh, kenapa kita tidak?"


Allahuakbar, hendak disamakan pula budaya Barat dengan adat ketimuran kita? Berfikirlah, Allah kan sudah kurniakan akal.

Kini, heboh pula dengan filem Ombak Rindu. Persoalannya, memang perlukah adegan sebegitu ditayangkan? Kemudian banyak pula yang meminati ceritanya. Wake up guys! Cerita cinta banyak buat kita berkhayal sahaja.

Kemudian nanti, banyak tersiar di dada-dada akhbar anak luar nikah yang dicampak dibuang merata-rata. Salah siapa semua ini? Salah ibu bapa yang tidak mengawal anak-anak atau siapa? Salah kita semualah. Kenapa tidak dihalang segala anasir yang mampu merosakkan fikiran dan pegangan generasi muda ini. Adakah sudah terhantuk baru mahu terngadah?

Sibuk mahu mencari jalan menginsafkan para remaja yang sudah terlanjur. Malah seperti menyokong pula apabila ada disediakan tempat untuk membuang anak-anak luar nikah ini. Ironinya di peringkat akar umbi tidak dijaga. Ini satu usaha buang masa.

Sedih mendengar cerita-cerita Nurul. Sedih mengetahui keadaan ummah masa kini. Pokok pangkalnya, sedari kecil perlu diterapkan dengan nilai Islami dan diteguhkan akidah. Apabila mantap akarnya, insyaAllah pohon takkan tergugat biar dek angin ribut.

Nurul bangun. Aku melihat satu persatu wajah suci adik-adik mentee. Doaku semoga mereka yang bakal memimpin ummah suatu hari nanti.

Terdetik di hati, "Besar tanggungjawab aku. Mampukah?"