Demi Masa

Friday, December 2, 2011

Ironi

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, baru selesai menunaikan tanggungjawab kepadaNya. Sebelumnya aku baru habis menjawab online quiz bagi ECON 1550. Open-book-test, harap maklum.

Teringat hari itu, Muakha 8 iaitu Sports Day. Semua pun kelihatan seronok. Semoga dalam seronok-seronok kita tidak sampai lupakan Allah lah ye?

Ketika aku duduk di satu sudut, Nurul menghampiri aku. Dia beramah mesra. Katanya pertama kali melihat aku, dia sangkakan aku Kelantanese. Kami sembang macam-macam. Dia memang senang dibawa berbual. Aku perlu belajar skill ini daripadanya.

"Syak, tahu? Kat tempat Nurul, budak-budak darjah enam dah macam-macam!"

"Astagfirullah."

Isu ini yang dibuka. Memandangkan kami mempunyai tanggungjawab membentuk sahsiah adik-adik, kami sangat memandang serius isu ini. Sedih, mendengarkan pelbagai situasi yang sebenarnya sudah berlaku. Iyalah, di zaman kami dahulu, biar pun lebih kurang sepuluh tahun sahaja sebelum, budak-budak sekolah rendah sangatlah naif. Kami dahulu mana pernah pegang handphone umur begitu. Main pun masih lagi teng-teng dan aci kejar.

Shida turut menghampiri kami yang sedang berbincang. Ceritanya pula apa yang dilihat baru-baru ini dalam UIA juga. Sangat memeranjatkan. Cukuplah, tidak perlu dihebahkan di sini.

Puncanya ialah media yang terlampau bersifat terbuka sekarang, sehingga melampau-lampau. Adegan peluk cium bukan lagi taraf kita, kini Malaysia juga mahu sehebat Hollywood kononnya. Entah kenapa, aku teramatlah hairan adakah adegan seperti itu layak dipertontonkan di khalayak ramai. Iya, kononnya akan diklasifikasikan sebagai 18SG, tetapi sejauh mana tapisan ini berkesan?

Ada satu hari dalam kelas Thermodynamics, Dr Ma'an baru bermukadimah berkaitan closed system. Dan isu yang baru ditonton di TV hari sebelumnya dia ulas. Mengenai filem itu. Komentarnya, "You can't teach others to do good things by showing bad things. As if, you're showing them the effect of those things. It doesn't make sense. And this doesn't mean that we're closed system that won't accept all that."

Dan aku berfikir dengan kenyataan Dr Ma'an tersebut. Memang betul. Logikkah kita mahu mengajar orang untuk tidak berzina dengan melakukan perbuatan tersebut dan kemudian menunjukkan kesan perbuatan itu? Itu gila namanya!

Sungguh, media sangat melampau sekarang. Sehingga aku jelik untuk menonton TV.

"Barat boleh, kenapa kita tidak?"


Allahuakbar, hendak disamakan pula budaya Barat dengan adat ketimuran kita? Berfikirlah, Allah kan sudah kurniakan akal.

Kini, heboh pula dengan filem Ombak Rindu. Persoalannya, memang perlukah adegan sebegitu ditayangkan? Kemudian banyak pula yang meminati ceritanya. Wake up guys! Cerita cinta banyak buat kita berkhayal sahaja.

Kemudian nanti, banyak tersiar di dada-dada akhbar anak luar nikah yang dicampak dibuang merata-rata. Salah siapa semua ini? Salah ibu bapa yang tidak mengawal anak-anak atau siapa? Salah kita semualah. Kenapa tidak dihalang segala anasir yang mampu merosakkan fikiran dan pegangan generasi muda ini. Adakah sudah terhantuk baru mahu terngadah?

Sibuk mahu mencari jalan menginsafkan para remaja yang sudah terlanjur. Malah seperti menyokong pula apabila ada disediakan tempat untuk membuang anak-anak luar nikah ini. Ironinya di peringkat akar umbi tidak dijaga. Ini satu usaha buang masa.

Sedih mendengar cerita-cerita Nurul. Sedih mengetahui keadaan ummah masa kini. Pokok pangkalnya, sedari kecil perlu diterapkan dengan nilai Islami dan diteguhkan akidah. Apabila mantap akarnya, insyaAllah pohon takkan tergugat biar dek angin ribut.

Nurul bangun. Aku melihat satu persatu wajah suci adik-adik mentee. Doaku semoga mereka yang bakal memimpin ummah suatu hari nanti.

Terdetik di hati, "Besar tanggungjawab aku. Mampukah?"

No comments: