Demi Masa

Tuesday, September 27, 2011

Soal Hati

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali menukilkan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku mendamba redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih dalam lindungan Allah.

Tenangkan hati dan perasaan kawan-kawanku. Biasalah hidup berkelab, adakala tekanan dari pelbagai pihak. Apakata kita senyum. Semoga semua kekusutan hilang bersama senyuman.

Aku masih wanita biasa. Adakala hati terusik. Ini fitrah.

Aku akui. Kali ini sejujurnya aku membuka rahsia hatiku, hati aku pernah terusik oleh seseorang. Memang, aku tahu rasa ini tidak selayaknya wujud. Maafkan aku bakal zauj. Hal ini bukan permintaanku, ia hadir tanpa diminta.

Aku rasa lebih gembira andai rasa ini bertepuk sebelah tangan. Biar konon angau keseorangan. Asal hati aku terjaga.

Iyalah, jika rasa hati kita itu tidak mendapat sambutan, tentu sahaja akhirnya kita akan kembali sedar bahawa hanya Allah yang layak tempat kita meletak segala rasa hati ini. Dan dengan izinNya, rasa yang tidak sepatutnya itu akan hilang sedikit demi sedikit.

Sekali lagi, maaf bakal zauj, diriku memang serba lemah. Aku harap kamu yang akan membimbingku nanti.

Aku bukan tertarik pada parasnya. Entah kenapa hati ini boleh terusik dengan kelebihannya mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Selalu sahaja air mata ini mengalir dek kerana selalu menafikan apa yang dirasa. Tentu sahaja aku tidak sanggup menduakan cinta Allah. Tetapi, aku juga lemah untuk menolak apa yang dirasa.

Ini rahsia yang aku simpan.

Dahulu, pagi-pagi datang kelas mesti pelajar puteri yang sampai ke kelas dahulu. Aku sedia di mejaku, sekadar menjeling andai dia lalu. Untuk ke kelasnya, dia perlu lalu dahulu di koridor kelasku. Ketika itu meja aku berhampiran pintu belakang. Kebetulan ketika aku tertoleh ke belakang, aku nampak dia juga menoleh dan beberapa saat pandangan mata berbalas. Astagfirullah.

Bukan sekali, ada beberapa kali. Dan iya, ketika itu aku tersangat jahil.

Aku meningkat dewasa dan menimba sebanyak mungkin ilmu yang mampu. Aku menguatkan iman dengan menanam cinta kepada Al-Khaliq. Jujurnya, rasa itu berkurang tetapi tidak pernah hilang. Entah sampai sekarang atau tidak.

Tetapi aku yakin, rasa itu bukan cinta. Kerana cinta aku hanya untuk Allah dan rasulNya. Kemudian rasa cinta aku hanya layak kepada suamiku yang sah. Setakat ini, tidak pernah ada seorang insan pun yang mampu mengusik cintaku. Bi iznillah.

Ada baru-baru ini sengaja menegur di facebook, itu pun ketika otak-serabut-jadi-gila-nak-kacau-orang. Dapat pula respons. Entah mengapa, sejak itu hati aku semakin tawar. Dia seperti bukan 'dia yang aku kenali dulu'. Kenapa?

Sebab aku suka rasa hati ini bertepuk sebelah tangan.

Andai pihak di sana pun merasa yang sama. Biarkan senyap. Jangan dibenarkan tepukan tangan ini berbunyi.

Kerana Allah telah menetukan jodoh yang terbaik buat kita. Andai engkau jodoh buatku, dan aku buatmu, kita pasti akan bertemu kembali suatu masa nanti. Aku yakin dengan janji Allah.

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, aku melepaskan janji lima tahun dahulu.

p/s: yong, kau mesti tahu siapa yang aku maksudkan :p

Sunday, September 11, 2011

Astagfirullah. Duhai hati..

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku menukil kalam dengan memulakan bibir melafaz asma' Allah. Segala puja dan puji hanya untukNya. Aku mendamba redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat serta salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Bukan aku malas untuk menukilkan buah fikiran sendiri. Cuma masa agak tidak mengizinkan. Juga atas beberapa sebab lain.

Post ini pula ingin aku kongsikan hasil bacaanku di sebuah blog. Terkedu. Muhasabah diri sendiri.


Sungguh, tidak sabar aku ingin mendapatkan SMS Merah Jambu. Aku setia menanti kamu menjadi halal untukku dan aku halal untukmu.

*Senyum :)

Hayati

Bismillahirrahmanirrahim.

Rasullullah s.a.w bersabda: ''Siapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah SWT nescaya Allah SWT akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya.'' Hadith Riwayat Ahmad

Yang ini pula dari status Akak:
Wanita yang diberkati cepat jodohnya, murah maharnya dan senang dapat zuriat. Lelaki yang diberkati, lelaki yang mendapat isteri/isteri-isteri dan anak-anak yang soleh solehah.
Aku, diam, hayati dan muhasabah..

...

Bismillahirrahmanirrahim.

Ambil dari status AkuIslam.com di facebook.

Berhati-hatilah jika kamu membuatkan seorang wanita menangis, kerana Allah (swt) mengira air matanya. Wanita datang dari tulang rusuk lelaki, tidak dari kakinya untuk berjalan di atasnya, bukan dari kepalanya untuk menjadi lebih degil, tetapi dari sisinya untuk menjadi sama, di bawah lengan untuk dilindungi dan di sebelah sisi hatinya untuk disayangi.


Terkesima!


Saturday, September 10, 2011

Mimpi

Bismillahirrahmanirrahim.

Semalam sebelum zohor tertidur. Nak kata qailulah macam lama je aku tidur. Dan termimpi ayat ini.

"Semua orang nak cantik, cantik luar, cantik dalam. Yang penting, in your hearts.."


Sampai sekarang aku ingat. Entah kenapa. Padahal sebelum mata nak terpejam takdelah aku nak fikir apa-apa pasal word 'CANTIK' tu. Cuma baca buku '10 Orang Dijamin Syurga'. Ada kaitan ke?

Thursday, September 8, 2011

Doa untuk Akak

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, permudahkan segala urusan. Engkaulah yang mentakdir segala. Aku pohon lindungi kakakku, limpahkan rahimMu ke atas dia. Selamatkan dia, selamatkan bayi dalam kandungannya. Semoga segala urusan yang Engkau tetapkan kami menguruskan, akan menyumbang kepada agamaMu. Amin Ya Rabbal 'Alamin.




Ala sayang Akak. Sangat!

Wednesday, September 7, 2011

You are What You READ

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Segala puji dan puja hanya milikNya. Aku sentiasa mendamba redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih berpeluang bernafas dalam iman dan Islam. Syukur.

Semoga aku sentiasa tergolong dalam hambaMu yang bersyukur. Amin.

Subhanallah. You are what you read. Sungguh, aku selalunya akan terikut-ikut apa yang aku sedang baca. Jika novel itu begini dan begini, aku mudah terikut wataknya yang begini dan begini. Sebab itu aku tidak suka baca buku atau novel yang merepek bagai. Aku mudah terikut. Na'uzubillah.

Tetapi satu kelemahanku, buku sejarah, sirah sangatlah lambat untuk aku habisi. My current book is "Aisyah Keanggunan Sejati". Sirah Ummul Mukminin. Asal aku baca mata jadi mengantuk. Teruk sungguh. Tetapi secara jujurnya sangat menarik cuma aku mudah mengantuk kerana aku membaca dengan berhati-hati dan cuba memahami satu persatu. Iyalah, sirah begini bukan boleh buat acuh tidak acuh.

Berselang dengan buku itu, ada dua novel telah dihabiskan. Adehh, novel boleh pula sampai dua dihabiskan? Memang cerita novel yang aku baca ada banyak khayalannya tetapi ambillah yang baik, bukan? Laksamana Sunan, memang gambaran pendekar sejati. Siapa yang tidak jatuh cinta jika begitu? hahA!

Kitab-kitab Ayah banyak sahaja di dalam rak buku itu. Pernah juga cuba menelaah. Tetapi akhirnya aku jadi pening sendiri. Ada satu jilid yang aku buka, Allahuakbar, kitab Mazhab Imam Syafie, banyak juga yang aku tidak tahu. Baru beberapa muka surat yang diselak, pelbagai perkara yang aku baru pelajari. Nampak sangat betapa ceteknya ilmu di dada.

Jadi, mari tambah ilmu tambah amal. Ilmu bukan sahaja boleh didapati melalui proses pembelajaran. Banyak medium lain lagi. Dan membaca salah satunya.

*Mengingatkan diri sendiri juga. Mujahidah, cepat habiskan membaca buku sirah itu! Sem baru nak bermula dah.

Monday, September 5, 2011

Lelaki...

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami Asadullah, Saifullah,
Tokoh ramai tak terkira,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya, boneka Yahudi.

Dulu bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang di hati,
Lelaki kami menjaga, melindungi,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu cabut lari,
Lelaki khianat, perogol bersiri.

Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu'tasim kebanggaan wanita,
Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.

Dulu,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,
Kini,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki tidak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,
Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu, dunia dan seisinya.

Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,
Kini,
Lelaki hanya menyanjungi sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.

Dulu,
Lelaki memperjuang deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunnurain mati terbunuh,
Kini,
Lelaki memperjuang diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh.

Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,
Kini,
Lelakinya berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling bertelingkah.

Kembalilah lelakiku,
Pada kelelakianmu,
Kami rindukan lelaki dulu,
Acuan Madrasah Rasul.

Di ambil dari Novel Syabab Musafir Kasih karya Fatimah Syarha Mohd Noordin.

Bukan niatku untuk merendahkan kalian sebagai lelaki. Cuma ingin menaikkan semangat kalian supaya bangkit menjadi pejuang agama. Bangkitlah! Kami semua menanti.

Sunday, September 4, 2011

Satira

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku mulakan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku mendamba redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah bangun pagi dalam keadaan iman dan Islam. Asbahna 'ala fitratil Islam wa kalimatil ikhlas.

Ramadhan sudah berlalu. Tetapi aku ingin mengambil sedikit kesempatan bercerita mengenai sebulan aku bersamanya.

Sebelum itu, SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. Maaf zahir dan batin. Taqabalallahu minna wa minkum.

Cerita satu:
Ada satu malam, rasa malas sangat nak pergi terawikh. Bukan sebeb apa, agak kelam kabut malam itu. Mandi pun belum. Pinggan mangkuk mahu dicuci lagi selepas makan berbuka. Ummi menegah, "Pergi mandi cepat-cepat!".

Alhamdulillah, sempat juga. Sampai di masjid, aku terlihat seorang mak cik tua yang selalu berada di satu sudut. Berjalan perlu berpahat dinding. Solat juga tidak mampu untuk berdiri tegap lagi. Muhasabah aku dengan diri aku sendiri. Tulang masih kuat. Urat belum bersimpul. Tapi kenapa boleh muncul rasa malas itu? Astagfirullah.

Cerita dua:
Dalam perjalanan ke masjid, terlihat satu van sebelum simpang ke masjid. Menjual durian. Adalah beberapa longgok. Balik terawikh, aku lihat masih di situ. Beberapa hari begitu juga keadaannya. Kulit sawo matang seperti Melayu. Harapnya Islam. Jadi bagaimana ya? Husnuzhon lebih baik. InsyaAllah.

Cerita tiga:
Seronok tengok anak-anak kecil mengikut ibu dan ayah ke masjid. Didikan awal begini yang akan melahirkan pemuda pemudi harapan agama. Yang kanak-kanak lelaki menyarung jubah dan berkopiah. Comel sungguh! Yang kanak-kanak perempuan aku tidak nampak ramai sangat. Mesti sejuk perut ibu mereka mengandungkan anak-anak ini. Wajah-wajah suci mereka menyejukkan mata sesiapa yang melihat. Boleh dikatakan setiap hari kanak-kanak ini memenuhkan masjid. Subhanallah. Cuba bandingkan kanak-kanak suci ini dengan orang dewasa yang sibuk dengan PERNIAGAAN DURIAN atau pun gerai burger mereka. Aku tidak berniat memburukkan sesiapa. Cuma bagi golongan ulul albab (golongan yang berakal), pasti tahu menilai yang baik dan buruk. Ambillah yang baik dari kedua-dua golongan manusia itu. Yang kurang baik jadikanlah sebagai pengajaran. InsyaAllah.

Cerita empat:
Jadi, bulan ramadhan memang bulan ibadat. Tetapi janganlah sampai menjadi hamba ramadhan. Pada bulan ini sahaja ibadat mahu mengalahkan malaikat. Habis ramadhan masjid kembali lengang. Rancangan-rancangan di televisyen bertukar rentak semula. Malam raya yang sepatutnya digemakan dengan takbir tetapi lagu raya yang lebih kuat bunyinya. Di mana silapnya ya?

Cerita lima:
Kalau di negara-negara Arab, kata Ayah, takbir raya mereka bersemangat. Tanda kemenangan. Sesiapa mendengar hati terus bergetar. Tetapi di Malaysia lain pula iramanya. Sayu. Memanglah sepatutnya kita sedih meninggalkan ramadhan, tetapi tidak bermakna menangisi aidilfitri. Hari kemenangan patut diraikan dengan rasa bersyukur. Seronok kerana berjaya mengalahkan nafsu.

Cerita enam:
Sibuk di bulan ramadhan berlumba-lumba mengira berapa juzu' Al-Quran telah dihabisi. Alhamdulillah. Tetapi jangan dilupa bulan-bulan lain juga ya? Al-Quran itu sewajibnya jadi pendamping kita sepanjang masa. Jadi, Al-Quran itu bukan sekadar dibaca, tetapi turut diamal. Cuba fahami ayat-ayatNya. Baca tafsir. Akhlak Rasulullah adalah Al-Quran. Tidak mahukah kita mencontohi baginda?

Cerita tujuh:
Ramadhan, digelar sebagai madrasah. Madrasah ataupun pusat didikan. Iya. suatu bulan untuk kita mendidik nafsu kita supaya apabila sudah sempurna terdidik, harapnya keluar dari madrasah ini kita berjaya melawan nafsu yang tidak pernah puas. Tetapi sedar atau tidak sedar, dalam ramadhan juga kita kadangkala alah kepada nafsu sendiri. Waktu berbuka macam-macam mahu ditelan. Membeli keperluan raya pula kadangkala berlebihan. Astagfirullah.

Cerita lapan:
Teringat ada seseorang bercerita kepadaku mengenai ramadhannya. Katanya, "Malam semalam malam ganjil kan? Aku dah buat tahajud. Takpelah malam ni aku tak buat."

Aduhai kawan, kamu mahu mengabdikan diri kepada Allah atau kepada lailatulqadar? Bukan kamu boleh tahu bila malam itu muncul. Itu rahsia Allah. Dan kita beribadat bukan kerana malam itu. Kita beribadat sesungguhnya kerana Allah ta'ala. Tajdid niat duhai hati. Istigfar. Allah itu Ar-Rahman Ar-Rahim. Dia tidak pernah sia-siakan pengabdian kita kepadaNya. Yakinlah.

Cerita sembilan:
Dahulu-dahulu terawikh di masjid mesti 20 rakaat. Waktu umur masih belum menginjak ke dua angka memang terasa payah. Ingat lagi, ada satu malam, habis sahaja lapan rakaat kebetulan pula ada kawan, terus pergi main. Kawan bawa tiup-tiup buih-buih sabun itu. Lagi seronok bila jadi buih besar. Kanak-kanak, itu sahaja sudah menggembirakan hati. Secara tidak sedar sudah membuat bising. Habis 20 rakaat memang kena marah dengan Ummi. Esoknya Ummi paksa duduk sebelahnya. Solat sampai habis 20 rakaat.

Sekarang kebanyakan masjid hanya buat lapan rakaat. Kemudian diisi dengan tazkirah. Aku lebih suka cara begini. Selain dapat menunaikan ibadat terawikh, dapat juga mengisi santapan rohani. Alhamdulillah. Tetapi masih ada masjid, "Kami tidak mahu tazkirah-tazkirah. Cara lama lebih baik!". Haih, entahlah.


Habis cerita.

Alhamdulillah, habis sebulan kita berpuasa. Doanya semoga puasa dan segala ibadat kita diterima Allah. Amin. Bulan syawal yang masih berbaki ini marilah kita qada'kan puasa yang tertinggal kemudian insyaAllah sambungkan pula dengan puasa enam. Besar pahalanya. InsyaAllah. Qada'kanlah secepat mungkin saudari dan saudaraku (jika anda pun ada yang tertinggal, Allahu'alam). Melambatkan sesuatu yang wajib hukumnya berdosa. Aku menasihati kalian kerana aku sayang. Kerana Allah.

Sekian, Allahu'alam bissawab.