Demi Masa

Sunday, September 4, 2011

Satira

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku mulakan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku mendamba redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah bangun pagi dalam keadaan iman dan Islam. Asbahna 'ala fitratil Islam wa kalimatil ikhlas.

Ramadhan sudah berlalu. Tetapi aku ingin mengambil sedikit kesempatan bercerita mengenai sebulan aku bersamanya.

Sebelum itu, SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. Maaf zahir dan batin. Taqabalallahu minna wa minkum.

Cerita satu:
Ada satu malam, rasa malas sangat nak pergi terawikh. Bukan sebeb apa, agak kelam kabut malam itu. Mandi pun belum. Pinggan mangkuk mahu dicuci lagi selepas makan berbuka. Ummi menegah, "Pergi mandi cepat-cepat!".

Alhamdulillah, sempat juga. Sampai di masjid, aku terlihat seorang mak cik tua yang selalu berada di satu sudut. Berjalan perlu berpahat dinding. Solat juga tidak mampu untuk berdiri tegap lagi. Muhasabah aku dengan diri aku sendiri. Tulang masih kuat. Urat belum bersimpul. Tapi kenapa boleh muncul rasa malas itu? Astagfirullah.

Cerita dua:
Dalam perjalanan ke masjid, terlihat satu van sebelum simpang ke masjid. Menjual durian. Adalah beberapa longgok. Balik terawikh, aku lihat masih di situ. Beberapa hari begitu juga keadaannya. Kulit sawo matang seperti Melayu. Harapnya Islam. Jadi bagaimana ya? Husnuzhon lebih baik. InsyaAllah.

Cerita tiga:
Seronok tengok anak-anak kecil mengikut ibu dan ayah ke masjid. Didikan awal begini yang akan melahirkan pemuda pemudi harapan agama. Yang kanak-kanak lelaki menyarung jubah dan berkopiah. Comel sungguh! Yang kanak-kanak perempuan aku tidak nampak ramai sangat. Mesti sejuk perut ibu mereka mengandungkan anak-anak ini. Wajah-wajah suci mereka menyejukkan mata sesiapa yang melihat. Boleh dikatakan setiap hari kanak-kanak ini memenuhkan masjid. Subhanallah. Cuba bandingkan kanak-kanak suci ini dengan orang dewasa yang sibuk dengan PERNIAGAAN DURIAN atau pun gerai burger mereka. Aku tidak berniat memburukkan sesiapa. Cuma bagi golongan ulul albab (golongan yang berakal), pasti tahu menilai yang baik dan buruk. Ambillah yang baik dari kedua-dua golongan manusia itu. Yang kurang baik jadikanlah sebagai pengajaran. InsyaAllah.

Cerita empat:
Jadi, bulan ramadhan memang bulan ibadat. Tetapi janganlah sampai menjadi hamba ramadhan. Pada bulan ini sahaja ibadat mahu mengalahkan malaikat. Habis ramadhan masjid kembali lengang. Rancangan-rancangan di televisyen bertukar rentak semula. Malam raya yang sepatutnya digemakan dengan takbir tetapi lagu raya yang lebih kuat bunyinya. Di mana silapnya ya?

Cerita lima:
Kalau di negara-negara Arab, kata Ayah, takbir raya mereka bersemangat. Tanda kemenangan. Sesiapa mendengar hati terus bergetar. Tetapi di Malaysia lain pula iramanya. Sayu. Memanglah sepatutnya kita sedih meninggalkan ramadhan, tetapi tidak bermakna menangisi aidilfitri. Hari kemenangan patut diraikan dengan rasa bersyukur. Seronok kerana berjaya mengalahkan nafsu.

Cerita enam:
Sibuk di bulan ramadhan berlumba-lumba mengira berapa juzu' Al-Quran telah dihabisi. Alhamdulillah. Tetapi jangan dilupa bulan-bulan lain juga ya? Al-Quran itu sewajibnya jadi pendamping kita sepanjang masa. Jadi, Al-Quran itu bukan sekadar dibaca, tetapi turut diamal. Cuba fahami ayat-ayatNya. Baca tafsir. Akhlak Rasulullah adalah Al-Quran. Tidak mahukah kita mencontohi baginda?

Cerita tujuh:
Ramadhan, digelar sebagai madrasah. Madrasah ataupun pusat didikan. Iya. suatu bulan untuk kita mendidik nafsu kita supaya apabila sudah sempurna terdidik, harapnya keluar dari madrasah ini kita berjaya melawan nafsu yang tidak pernah puas. Tetapi sedar atau tidak sedar, dalam ramadhan juga kita kadangkala alah kepada nafsu sendiri. Waktu berbuka macam-macam mahu ditelan. Membeli keperluan raya pula kadangkala berlebihan. Astagfirullah.

Cerita lapan:
Teringat ada seseorang bercerita kepadaku mengenai ramadhannya. Katanya, "Malam semalam malam ganjil kan? Aku dah buat tahajud. Takpelah malam ni aku tak buat."

Aduhai kawan, kamu mahu mengabdikan diri kepada Allah atau kepada lailatulqadar? Bukan kamu boleh tahu bila malam itu muncul. Itu rahsia Allah. Dan kita beribadat bukan kerana malam itu. Kita beribadat sesungguhnya kerana Allah ta'ala. Tajdid niat duhai hati. Istigfar. Allah itu Ar-Rahman Ar-Rahim. Dia tidak pernah sia-siakan pengabdian kita kepadaNya. Yakinlah.

Cerita sembilan:
Dahulu-dahulu terawikh di masjid mesti 20 rakaat. Waktu umur masih belum menginjak ke dua angka memang terasa payah. Ingat lagi, ada satu malam, habis sahaja lapan rakaat kebetulan pula ada kawan, terus pergi main. Kawan bawa tiup-tiup buih-buih sabun itu. Lagi seronok bila jadi buih besar. Kanak-kanak, itu sahaja sudah menggembirakan hati. Secara tidak sedar sudah membuat bising. Habis 20 rakaat memang kena marah dengan Ummi. Esoknya Ummi paksa duduk sebelahnya. Solat sampai habis 20 rakaat.

Sekarang kebanyakan masjid hanya buat lapan rakaat. Kemudian diisi dengan tazkirah. Aku lebih suka cara begini. Selain dapat menunaikan ibadat terawikh, dapat juga mengisi santapan rohani. Alhamdulillah. Tetapi masih ada masjid, "Kami tidak mahu tazkirah-tazkirah. Cara lama lebih baik!". Haih, entahlah.


Habis cerita.

Alhamdulillah, habis sebulan kita berpuasa. Doanya semoga puasa dan segala ibadat kita diterima Allah. Amin. Bulan syawal yang masih berbaki ini marilah kita qada'kan puasa yang tertinggal kemudian insyaAllah sambungkan pula dengan puasa enam. Besar pahalanya. InsyaAllah. Qada'kanlah secepat mungkin saudari dan saudaraku (jika anda pun ada yang tertinggal, Allahu'alam). Melambatkan sesuatu yang wajib hukumnya berdosa. Aku menasihati kalian kerana aku sayang. Kerana Allah.

Sekian, Allahu'alam bissawab.

No comments: