Demi Masa

Friday, August 27, 2010

takdir Ilahi berhikmah

Bismillahirrahmanirrahim..

Mulakan dengan nama Allah serta mengharap redhaNya.

Ramadhan sudah menghampiri 10 malam terakhir, berpeluangkah aku menikmati lailatul qadarMu Ya Allah?

Saat ini, ketika ini, diriku sedang belajar untuk bersabar dan redha dengan takdir Ilahi. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang ditetapkan buat hambaNya. Maha Bijaksana Allah dalam menetapkan semua itu tidak perlu diragui.

Buat sahabat-sahabat yang berjaya mendapat biasiswa JPA, tahniah ikhlas dariku. Itulah rezeki yang Allah sudah takdirkan buat kalian. Kalian memang layak.

Aku?

Permohonanku tidak diproses pun. Jadi tidak perlu semak keputusan pun sudah tahu permohonan tersebut tidak berjaya. Biarlah, rasa sedih itu sudah lama aku tinggal jauh-jauh. Memang bukan rezekiku. Tidak perlu disoal hikmah Allah disebaliknya.

Allah mahu aku terus meminta dan memohon kepadaNya. Supaya aku tidak sombong dan tidak lupa akan hakikat diri sebagai hamba. Ya, aku masih tidak layak untuk menerima nikmat itu. Allah lebih tahu, malah Maha Mengetahui.

Senyum :)

Lagi satu, aku sudah belajar untuk melupakan sakit hati yang lalu. Biar ia terbang bersama angin, hanyut bersama air. Diriku mahu tenang. Benar ini, semua sudah ku lupakan. Tiada dendam, tiada geram.

Dia, kamu dan kalian, tiada lagi sakit hati ya antara kita? Ayuh, kita lupakan kisah lalu. Kita cipta cerita baru. Cerita bukan miliknya atau aku, tetapi kita. Kita semua.

Cerita mencari redha ilahi, mendamba cintaNya. InsyaAllah.

Semoga Allah redha..

*senyum

Sunday, August 15, 2010

baiti jannati

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah. Semoga rahmat dan redha Allah melimpahi ke atas muka bumi ini. Amin. Alhamdulillah, tika ini, aku masih mampu bernafas dan menikmati keindahan ciptaan Ilahi. Syukur yang tidak terhingga!

Semalam selamat sampai di rumah tercinta lebih kurang pukul 9.30 malam. Melihat wajah ummi yang ceria menyambut kami, tidak putus-putus ungkapan alhamdulillah meniti di bibirku. Teramat-amatlah puas dapat pulang ke rumah. Semuanya dengan rahmat Allah pastinya. Syukran lillah.

Bila sudah di rumah, faham-faham sahajalah, buku yang dibawa pulang bersama itu jarang sangat hendak dibuka. Iya, buka jugalah, tetapi lebih banyak tidak dibuka. Bahagian itu, aku kesal sedikit dengan diri sendiri.

Minggu hadapan ini jikalau tidak silap, ada dua atau tiga kuiz yang menanti. Harap sangatlah otak ini tidak menjadi tepu. InsyaAllah, aku akan cuba untuk mencover masa yang terbuang di rumah tanpa buku ini apabila aku kembali ke UIA nanti. Semoga Allah membantuku, amin.

Emosi dan diri sudah kembali ke tahap normal rasanya. InsyaAllah, tiada lagi perasaan kusut yang mengganggu diri ini. Harapnya begitu.

Melihat jam, ah, sudah agak lewat. Tetapi hati ini seakan mahu meluahkan segala yang terbuku dan tersembunyi. Sabarlah duhai hati, biarlah terus tersimpan. Mungkin juga perlu dirahsiakan.

Ya, kadangkala aku terfikir juga bahawa aku seperti menceritakan semuanya kepada blog ini. Aku kadang-kadang merasakan tiada siapa yang akan membacanya. Mungkin aku tersilap. Rasa hati ini tidak perlu dihebohkan semuanya. Ada yang perlu disimpan kemas dalam hati. Biar kepada yang berkenaan sahaja perlu diluahkan.

Aduh, sekali lagi aku mahu terlepas bicara. Rahsialah duhai hati. Sabar ya?

Antum, tidak perlu sangat untuk fahami bicaraku kali ini. Banyak tersirat daripada tersurat.

Wallahu'alam..

Wednesday, August 11, 2010

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan namaMu Ya Allah, serta mengharap redhaMu, aku memulakan gerakan jari di atas papan kekunci ini.

Melihat-lihat blog insan lain, masing-masing pun bercerita mengenai bulan mulia ini. Salam Ramadhan semua! Ramadhan Kareem.

Tidak berpeluang lagi untuk bertarawikh berjemaah di masjid mahupun di musolla. Malam semalam ada kelas Arab, malam tadi pula study circle, malam esok, kelas Arab sekali lagi. Tidak mengapa bukan? Belajar itu ibadah juga. Kita tidak perlu terlalu menyempitkan fikiran bahawa ibadah itu hanya dengan bersolat. InsyaAllah, setiap amalan yang baik itu dikira ibadah, tentunya dengan niat lillahi ta'ala.

InsyaAllah, hari Jumaat akan pulang ke Ipoh bersama abang dan akak. Rancangan untuk pulang esok terpaksa ditangguh kerana tidak mahu terlepas kelas Arab pada malamnya. Tidak sabar sebenarnya mahu pulang berjumpa ummi dan ayah. Sudah hampir sebulan kira-kiranya aku tidak menatap wajah yang dirindu itu. Mahu menatap wajah mereka sepuas-puasnya. Menatap wajah ibu bapa juga mendapat pahala bukan?

Banyak juga mesej yang aku terima daripada sahabat-sahabat untuk mengucapkan Salam Ramadan. Ada yang sempat aku balas, ada yang tidak, ada juga yang sengaja aku tidak balas.

Bangun awal pagi tadi untuk bersahur, aku melihat handphone Nokia milikku. Satu mesej diterima. Dalam keadaan mata kabur-kabur aku membaca ala kadar isi mesej tersebut. Pernah atau tidak antum mendapat mesej dan berharap bahawa bukan orang itu yang memberikan mesej tersebut? Ah, ayat sudah tunggang langgang jadinya. Tidak tahu lah bagaimana mahu dijelaskan. Tetapi itulah yang aku rasakan pagi tadi dan hingga sekarang aku sangat-sangat berharap insan tersebut tidak memberikan aku mesej pada awal pagi tadi.

Bukan kerana isi mesejnya, tetapi pemberi mesej tersebut. Agak terkilan sedikit. Biarlah. Bukan salah dia juga. Mungkin juga aku tidak perlu berharap yang tinggi-tinggi daripadanya. Janji Allah itu pasti bukan?

Mungkin juga kalamku ini bukan untuk difahami oleh antum, cuma rasa hatiku sahaja.

Lupakan hal itu sebentar.

Tadi, pulang dari study circle, aku dan sahabat melalui kawasan masjid. Ramai sudah berkeliaran di luar masjid kerana sudah selesai lapan rakaat. Melihat anak-anak kecil yang comel-comel mengikut ibu bapa mereka bersolat tarawikh, terasa sangat seronok dengan persekitaran itu. Tambahan pula anak-anak itu berpakaian jubah dan berkopiah bagi kanak-kanak lelaki dan bertudung bagi kanak-kanak perempuan. Subhanallah, pasti sejuk perut ibu yang mengandungkan mereka. Semoga mereka membesar menjadi pemuda dan pemudi harapan agama. InsyaAllah, Amin. Sungguh ini, sangatlah comel mereka semua itu. Tiba-tiba datang naluri keibuan. hahA! Tunggu dahulu! Calon suaminya sahaja belum jumpa, apatah lagi mahu mempunyai cahaya mata. Senyum.

Tidak salahkan punyai impian begitu? Mahu meramaikan ummat Muhammad dan melahirkan pemuda dan pemudi pejuang agama. InsyaAllah.

Seperti tersimpang sedikit cerita ini dari tajuk. Baiklah, kembali ke jalan yang benar. hihi.

Biarlah aku mengakhirkan kalam sebelum aku semakin tersimpang jauh. Maaf, kalam ini agak tidak tersusun. Mungkin juga kerana keadaan diri yang tidak begitu stabil sekarang ini. Maaf sekali lagi.

Akhir kalam, salam ramadhan. Tambah amal, tingkat iman! Wallahu'alam..

Sunday, August 8, 2010

sebentar

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan menyebut nama Allah, serta mengharap redhaNya, aku memulakan kalam.

Mahu menulis sebentar sahaja. Sementara ada sedikit masa terluang. Rancangannya mahu tidur sebentar sementara menunggu asar nanti. Sepanjang hari aku mengadap drawing dan membetul kembali semua yang tersilap. Huh, semua itu dugaan.

Inbox telefon bimbitku menerima mesej ini daripada sahabatku semalam:

"Masa dpn yg cerah slalu tergntung pd masa lalu yg dlupakan. kte x dpt mneruskan hdup dgn baik jika x dpt mlupakan kgagalan n skit ati d masa lalu.."

Terima kasih sahabat. InsyaAllah, aku akan cuba yang terbaik untuk mengubah diri menjadi yang terbaik.

Muhasabah terus diri ini, benar katanya, aku ini selalu mengenangkan kenangan silam. Akibatnya, luka di hati kembali bernanah. InsyaAllah, mulai sekarang aku hanya akan mengenang kenangan silam sebagai peringatan dan tauladan sahaja. Tidak mahu lagi cuba mengungkit kesalahan insan lain. Aku mahu memiliki hati yang tenang.

Aku mahu sentiasa tersenyum. Kenangan dahulu mahu kuluputkan. Biar terbang bersama angin. Biar hanyut bersama air. Aku adalah aku hari ini.

Aku sudah sedia memaafkan semua. Termasuk kamu dan dia, juga mereka. Tiada dendam lagi, kita semua saudara, lillahi ta'ala.

Mahu menyusun kata maaf andai dari diri ini terdapat kesalahan kepada antum. Izinkan aku juga merasai kebebasan dari dosa sesama insan. InsyaAllah.

Segalanya milik Allah..

Saturday, August 7, 2010

Istikharah sentiasa menyelamatkan

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan hari dengan menyebut nama Allah. Semoga sepanjang hariku diberkati dan dirahmati. Amin.

Semalam semasa mendengar IKIM.fm, di dalam salah satu rancangannya ada seorang speaker yang menyatakan keadaan hari kita bergantung kepada 10 minit terawal hari tersebut. Jika kita bangun pagi-pagi sudah terasa geram, maka sepanjang harilah kita dibelenggu dengan perasaan itu. Jika bangun pagi-pagi dengan keadaan yang positif, insyaAllah, sepanjang hari kita akan positif. Namun semuanya masih dalam ketentuan Allah. Wallahu'alam.

Jadi pagi tadi, aku memulakan dengan perasaan bersyukur kerana masih berpeluang untuk menghirup udaraNya dan perasaan bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Alhamdulillah, setakat ini, aku terasa tenang sahaja walau ada jugalah sedikit terganggu emosi tadi. Secara keseluruhannya, aku terasa sangat optimistik hari ini. Senyum.

Jika hari itu aku dalam dilema untuk memilih antara ilmu dan rindu, aku kini boleh katakan bahawa keputusan yang aku pilih ini tidak langsung merugikan. Ya, aku memilih ilmu. Dan semasa berada dalam lecture tadi, tiada langsung perasaan kesal bertandang. Alhamdulillah, ternyata Allah membantu aku dalam membuat pemilihan. Benarlah, istikharah sentiasa menyelamatkan. Dengan memilih ilmu tidak bermakna rinduku terpaksa dikorbankan. Tidak sama sekali. Rindu itu cuma ditahan sementara. InsyaAllah, mengikut perancangan minggu ini akan pulang berjumpa Ummi dan Ayah. Namun semuanya hanyalah perancangan manusia. Boleh jadi sahaja Allah mentakdirkan yang sebaliknya buatku. Biar apa pun takdirNya nanti, aku sedia terima dan redha. InsyaAllah.

Aku sangat berterima kasih kepada Ayah kerana melatih aku supaya melazimi solat istikharah. Kata Ayah, supaya Allah sentiasa memberi petunjuk dalam apa jua keputusan yang ingin dibuat. Sejak aku bersekolah lagi Ayah berpesan begitu. Manfaatnya banyak, bukan dalam urusan jodoh sahaja. Ramai yang berfikiran solat istikharah ini hanya untuk urusan pemilihan jodoh. Tidak benar begitu.

Kita amat memerlukan pertolongan Allah untuk menentukan arah kehidupan kita. Kita bukanlah bijak untuk menentukan hidup kita sendiri. Dalam Al-Mathurat sering kita bacakan doa ini:

Jangan (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih singkat dari itu.

Amin, Ya Allah. Amin, Ya Rahman. Amin Ya Rahim. Setiap kali membaca doa tersebut, diri ini terasa lemah amat di hadapanNya. Terasa sangat kerdil. Sungguh, diri ini tersangatlah memerlukan Allah untuk menunjuk dan membimbing arah perjalananku.

InsyaAllah, aku tidak akan meninggalkan amalan solat sunat istikharah ini kerana selama aku mengamalkannya, tidak pernah sekali pun dikecewakan olehNya. Sungguh, Pengasih Allah itu tiada tandingan.

Dalam soal jodoh nanti lebih-lebih lagilah. Mustahil aku tidak mahukan petunjuk Allah dalam memilih seseorang untuk menjadi teman hidupku. Aku sentiasa mendoakan supaya Allah menyediakan jodoh yang terbaik untukku. Amin.

Hatiku pernah terkadang dicuri. Alhamdulillah, pencuri itu sudah memulangkan semula. Kini, insyaAllah, hatiku milik Allah sepenuhnya. Aku hanyut dengan cinta Ilahi. Belum masanya untuk memikirkan hal calon suami. Jika sudah jodoh, kadangkala tidak perlu dicari.

"Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduh orang.Mereka itu memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)"
[An-Nur 24:26]

Aku percaya janji Allah itu pasti! Wallahu'alam..

Friday, August 6, 2010

Senmon Bakka

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan menyebut nama Allah, segala puji hanya bagiNya. Alhamdulillah, masih berpeluang untuk hidup di atas muka bumi ini. Terima kasih Ya Rabbi.

peneman di kala sunyi

Hari ini aku punyai cukup banyak waktu terluang. Tetapi, entahlah, sama ada aku telah gunakan dengan sebaiknya atau tidak. Harapnya, segala yang aku lakukan hari ini mendapat keredhaan Allah. Amin. InsyaAllah.

Baru sebentar tadi usai berbual bersama sahabat karibku, Nadiah menerusi telefon. Bertanya khabar dan yang utama meminta pandangan dan nasihat daripadanya. Terima kasih sahabat untuk nasihat, ceramah dan 'bebelan' itu. Baru aku tahu bahawa aku masih tidak matang dalam b
eberapa perkara. Terima kasih lagi sekali kerana menyedarkan aku.

Itulah guna sahabat, bukan?

Sekarang aku sedang cuba bersengkang mata untuk menyiapkan tugasan yang telah diamanahkan. Rasanya tidak mampu aku menahan mata ini lama-lama, sebentar lagi aku akan berhenti juga.

Jika difikir-fikir, apalah gunanya aku belajar subjek ini, juga beberapa yang lain. Engineering Drawing, ada kena mengenakah denga
n majoring aku nanti? Tentunya tidak. Biochemical-Biotechnology mana perlu semua itu, bukan?

Ya, itulah yang selama ini bermain di fikiranku. Namun aku telah disedarkan oleh seorang lecturer, tentunya peringatan dari Allah. Lecturer programming tersebut, Dr Sigit telah memperkenalkan perkataan 'senmon bakka' kepada kami. Perkataan Jepun yang dipelajarinya semasa beliau menuntut d
i sana dahulu. Maksudnya lebih kurang, hanya menumpukan kepada satu bidang. Iyalah, ilmu Allah itukan luas, mengapa perlu menyempitkan pemikiran hanya dalam satu bidang. Tiada salahnya untuk mempelajari sesuatu yang bukan dalam pengkhususan kita. Semua itu ilmu.

Aku tersedar dengan khilafku selama ini. Tidak sepatutnya aku mempersoalkan kenapa dan mengapa aku perlu mempelajari semua itu. Kembali aku mentajdid niat, lillahi ta'ala.

Jadi sekarang ini, insyaAllah aku akan cuba sehabis baik untuk tidak merungut dengan semuanya. Ilmu itu cahaya
. Dan aku amat memerlukannya untuk menerangi perjalanan hidupku ini. Ya Allah, bantulah aku untuk terus istiqamah dalam mujahadah ini. Amin, Ya Rabbal 'Alamin.

Sekarang, tiba masanya untuk aku m
enyambung kembali tugasanku. InsyaAllah, tiada keluhan. Hanya senyuman :)


masih belum selesai..

Wednesday, August 4, 2010

Antara ilmu dan rindu..

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah masih diberi pinjaman nyawa hingga ke saat ini. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku tetap diberi peluang melihat dunia walau banyak dosa yang telah aku lakukan. Sungguh, Maha Pemurah Allah itu tiada batasnya.

Kini aku dihantui dengan pilihan lagi. Rasa-rasanya, sudah dua minggu berturut-turut aku terpaksa memilih antara dua pilihan. Salah satunya terpaksa dikorbankan. Istikharahlah yang membantuku kerana aku tidak yakin dengan keputusan sendiri. Aku memerlukan ilham dari Allah untuk segalanya. Alhamdulillah, hal minggu lepas sudah diselesaikan. Itu juga hasil pertolongan Allah, jika tidak masakan aku boleh membuat pilihan antara dua perkara penting itu.

Kini, aku terpaksa lagi memilih. Antara ilmu dan rindu. Jika diikutkan hati pasti sahaja aku tidak mahu mengorbankan rindu itu. Tetapi, the other side of me tidak mahu pula mengorbankan ilmu.

Ditanya pendapat orang yang dirindu, pastinya ilmu yang perlu diutamakan. Diberitahu kepada seseorang yang aku ingin sahaja mengorbankan ilmu, disergah pula. Diberitahu kepada yang lain pula, ada yang bersetuju sahaja.

Rindu ini sudah lama tertahan. Rinduku kepada dua orang insan yang mengasuhku sejak dari aku kecil lagi. Ummi dan Ayah, pastinya. Sepatutnya, minggu lepas aku sudah mengikut abang pulang ke Ipoh, tetapi terpaksa ditunda kerana akak ada program di UIA. Rancangannya, minggu ini akan dilaksanakan hajat itu. Tetapi, aduh, Dr AHM Zahirul Alam telah membantutkan rancangan itu. Beliau terpaksa mengadakan kelas ganti kerana minggu lepas beliau emergency leave. Mengalir air mataku di dalam kelas saat beliau mengumumkan berita tersebut. Aku tidak kisah lagi brothers di belakangku andai dia terlihat aku sedang menangis. Apa yang aku tahu, hati ini remuk sekali.

Mahu juga disalahkan akak kerana berprogram minggu lepas. Tetapi cepat-cepat aku istigfar kerana itu semua tetap takdir Ilahi. Kita hanya merancang, Allah lebih merancang. Dan perancangan Allah adalah yang terbaik. Sabarlah duhai diri..

Masih dalam istikharah, jawapannya belum muktamad. Cuma yang pastinya salah satu perlu dikorbankan. Ya Allah, bantulah hambaMu ini membuat pilihan yang terbaik. Amin.

Aku hampir tahu bahawa rindu itu yang perlu lebih dikorbankan. Memberitahu ummi semalam, air mata tidak mahu menipu lagi kesedihan hati ini. Mendengar suara ummi, suara ayah, bertambah laju mutiara jernih itu mengalir. Nasihat ayah, tabahkan diri, perjuangan ini memerlukan pengorbanan. Doa ummi, semoga dipermudahkan segala urusan. Terima kasih ummi, terima kasih ayah.

Biarlah rindu itu makin bertambah supaya kasih itu lebih indah. Mungkin itu hikmahNya. Aku perlu yakin, takdir Allah itu punyai hikmah tersendiri, di luar jangkaan kita. Ya, aku yakin!

Air mata, tidak perlu lagi mengalir. Sabar itu lebih indah bersama redha. Redhakan aku Ya Allah dengan perancanganMu ini. Amin.

Aku hadiahkan lagu ini khas buat dua insan yang amat aku kasih dan cinta.



Aku menutup kalam dengan mengharap redha Tuhanku. InsyaAllah..