Demi Masa

Saturday, August 7, 2010

Istikharah sentiasa menyelamatkan

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan hari dengan menyebut nama Allah. Semoga sepanjang hariku diberkati dan dirahmati. Amin.

Semalam semasa mendengar IKIM.fm, di dalam salah satu rancangannya ada seorang speaker yang menyatakan keadaan hari kita bergantung kepada 10 minit terawal hari tersebut. Jika kita bangun pagi-pagi sudah terasa geram, maka sepanjang harilah kita dibelenggu dengan perasaan itu. Jika bangun pagi-pagi dengan keadaan yang positif, insyaAllah, sepanjang hari kita akan positif. Namun semuanya masih dalam ketentuan Allah. Wallahu'alam.

Jadi pagi tadi, aku memulakan dengan perasaan bersyukur kerana masih berpeluang untuk menghirup udaraNya dan perasaan bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Alhamdulillah, setakat ini, aku terasa tenang sahaja walau ada jugalah sedikit terganggu emosi tadi. Secara keseluruhannya, aku terasa sangat optimistik hari ini. Senyum.

Jika hari itu aku dalam dilema untuk memilih antara ilmu dan rindu, aku kini boleh katakan bahawa keputusan yang aku pilih ini tidak langsung merugikan. Ya, aku memilih ilmu. Dan semasa berada dalam lecture tadi, tiada langsung perasaan kesal bertandang. Alhamdulillah, ternyata Allah membantu aku dalam membuat pemilihan. Benarlah, istikharah sentiasa menyelamatkan. Dengan memilih ilmu tidak bermakna rinduku terpaksa dikorbankan. Tidak sama sekali. Rindu itu cuma ditahan sementara. InsyaAllah, mengikut perancangan minggu ini akan pulang berjumpa Ummi dan Ayah. Namun semuanya hanyalah perancangan manusia. Boleh jadi sahaja Allah mentakdirkan yang sebaliknya buatku. Biar apa pun takdirNya nanti, aku sedia terima dan redha. InsyaAllah.

Aku sangat berterima kasih kepada Ayah kerana melatih aku supaya melazimi solat istikharah. Kata Ayah, supaya Allah sentiasa memberi petunjuk dalam apa jua keputusan yang ingin dibuat. Sejak aku bersekolah lagi Ayah berpesan begitu. Manfaatnya banyak, bukan dalam urusan jodoh sahaja. Ramai yang berfikiran solat istikharah ini hanya untuk urusan pemilihan jodoh. Tidak benar begitu.

Kita amat memerlukan pertolongan Allah untuk menentukan arah kehidupan kita. Kita bukanlah bijak untuk menentukan hidup kita sendiri. Dalam Al-Mathurat sering kita bacakan doa ini:

Jangan (Ya Allah) Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih singkat dari itu.

Amin, Ya Allah. Amin, Ya Rahman. Amin Ya Rahim. Setiap kali membaca doa tersebut, diri ini terasa lemah amat di hadapanNya. Terasa sangat kerdil. Sungguh, diri ini tersangatlah memerlukan Allah untuk menunjuk dan membimbing arah perjalananku.

InsyaAllah, aku tidak akan meninggalkan amalan solat sunat istikharah ini kerana selama aku mengamalkannya, tidak pernah sekali pun dikecewakan olehNya. Sungguh, Pengasih Allah itu tiada tandingan.

Dalam soal jodoh nanti lebih-lebih lagilah. Mustahil aku tidak mahukan petunjuk Allah dalam memilih seseorang untuk menjadi teman hidupku. Aku sentiasa mendoakan supaya Allah menyediakan jodoh yang terbaik untukku. Amin.

Hatiku pernah terkadang dicuri. Alhamdulillah, pencuri itu sudah memulangkan semula. Kini, insyaAllah, hatiku milik Allah sepenuhnya. Aku hanyut dengan cinta Ilahi. Belum masanya untuk memikirkan hal calon suami. Jika sudah jodoh, kadangkala tidak perlu dicari.

"Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduh orang.Mereka itu memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)"
[An-Nur 24:26]

Aku percaya janji Allah itu pasti! Wallahu'alam..

No comments: