Demi Masa

Friday, July 29, 2011

Redha

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mula menukil kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku sentiasa mengharap redhaNya mengiringi di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih berpeluang menghirup nafas dalam nikmat iman dan Islam.

Pertama sekali, aku mahu menjelaskan kepada kalian post sebelum ini tiada kaitan antara hidup dan mati. Bimbang pula kalian berfikir yang tidak-tidak dan mengundang fitnah pula pada diri ini. Sengaja mahu merepek sebentar. Harap tiada fikiran buruk yang terbit di minda kalian ya?

Aku saat ini masih mengajar diri untuk redha dengan segala ketentuan Ilahi. Biasalah manusia, kadang-kadang terlepas juga untuk mempersoalkan takdir Allah. Astagfirullahal'azim.

Teringat aku kembali kepada frasa, "Redha Allah terletak kepada redha ibu bapa". Kebetulan terdengar di TV tadi. Minda cuba berfikir kaitan frasa itu dengan takdir Allah. Iya, mungkin juga apa yang aku mahukan tidak mendapat redha dari Ummi dan Ayah secara keseluruhan. Sebab itu Allah tidak perkenankan. Tentu sekali sebab utama hanya Allah yang tahu. Dia menetapkan sesuatu dengan hikmah. Yakinlah itu.

Contoh paling dekat sekarang ini, aku masih juga kadang-kadang cemburu kepada mereka yang terpilih untuk ke Tohoi. Pernah sekali itu, ada seseorang menghantar mesej menanyakan sama ada aku turut terpilih atau tidak. Di saat aku cuba untuk melupakan kesedihan tidak dapat ke Tohoilah insan tersebut kembali mengingatkan. Bersabar, berusaha menenangkan diri sendiri. Istigfar tidak henti-henti meniti di bibir kerana saat itu syaitan hampir-hampir berjaya membuatkan aku mempersoalkan takdir Ilahi. Allahuakbar, setelah tenang baru aku berupaya membalas mesejnya.

Sekarang aku berusaha untuk redha 100%. Dan insyaAllah, sekarang aku tidak mahu lagi berfikir kenapa aku tidak turut sama-sama berjuang ke Tohoi. Allah knows best. Tambahan pula, aku yakin kerana redha Ummi dan Ayah tidak sepenuhnya mengiringi permintaanku tempoh hari. Dalam berat sahaja Ummi dan Ayah memberi izin ketika aku menyatakan hasrat aku untuk kembali ke Tohoi. Allah mahu aku menabur bakti kepada Ummi dan Ayah dahulu sebelum pergi berbakti kepada ummah. Mungkin itu rencanaNya. Allahu'alam
.

Melihat status facebook rakan-rakan yang akan ke Tohoi, secara jujurnya terbit jua rasa sedih di hati kecilku. Tetapi insyaAllah, iman masih dapat mengawal rasa itu. Aku yakin, Allah punya hikmah untuk setiap takdirNya.

Mujahidah, redhalah!

*Senyum :)





No comments: