Demi Masa

Monday, July 18, 2011

Maafkan Aku

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali menukil kalam dengan dimulakan dengan nama Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku masih dan sentiasa mengharap redha Ilahi mengiringi setiap hembusan nafasku dan setiap gerakan langkahku. Selawat dan salam aku titipkan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah kerana diberi akal untuk berfikir dan diberi iman untuk menilai.

Alhamdulillah for every single smile and each drop of tears, aku lebih tahu menghargai kehidupan.

Tetapi mungkin dek nafsu yang sembilan dan hati yang telah kotor dengan dosa serta maksiat aku tidak bijak untuk menghargai juga mensyukuri sebuah persahabatan.

Maafkan aku sahabat. Atau mungkin aku tidak layak digelar sebagai seorang sahabat pun.

"Ah, perempuan..asyik-asyik emosi!"

Mana-mana lelaki yang merasakan kami kaum hawa ini asyik dengan emosi, maaf, entri ini tiada kaitan dengan anda pun. Bukan niat menghalau, cuma jika anda asyik mengeluh perempuan asyik beremosi, bermakna anda perlu menilai siapa ibu anda. Jika tidak seorang ibu itu penuh dengan emosi, mungkin anda akan kelaparan ketika bayimu, dan mungkin anda bukan anda yang hari ini.

Ayuh mujahidah, kita berfikir dan bermuhasabah cara orang beriman.

Pertama, kenapa perlu kamu merasa marah? Kerana iman atau nafsu? Cuba muhasabah betul-betul. Jika kerana iman, alhamdulillah, itu tandanya iman kamu belum mati mujahidah. Jadi, kamu wajib membetulkan apa yang mencalarkan agamamu sehingga iman kamu menjadi marah. Kuatlah untuk mengubah, jangan sampai agama tergadai dek iman kamu yang lemah. Tetapi jika kerana nafsu kamu merasa marah, kamu benar-benar perlu beristigfar. Tanpa kamu sedar kamu telah membuat syaitan bersorak gembira kerana nafsu kamu telah menewaskan iman sehingga mampu mengawal amarahmu. Kamu tentu tidak mahu syaitan bergembira dek kelalaimu, bukan? Jadi berubahlah, buang amarah itu!

Kedua, kenapa perlu kamu mengeluh? Kerana kegagalan kamu atau kerana orang lain gagal memenuhi kehendakmu? Tarik nafas panjang-panjang, muhasabah dengan teliti. Jika keluhan kamu itu kerana kegagalan diri sendiri, analisa kembali apa yang menyebabkan kamu gagal. Kemudian, berusahalah untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama yang membolehkan kamu gagal lagi. Semua orang berhak untuk berjaya, di dunia dan di akhirat lebih-lebih lagi. Failure isn't the end of everything, but it's the process towards success. Yang mana kemudiannya kamu akan merasa indahnya sesebuah kejayaan itu. Namun, jika kamu mengeluh kerana orang lain gagal memenuhi kehendakmu, muhasabah kembali diri kamu. Siapa kamu untuk mereka mengikut sahaja apa kehendakmu? Tidak semua apa yang kita mahu akan kita dapat. Kerana Allah yang menentukan segalanya, bukan kita. Jika kita yang mentadbir alam mengikut kehendak kita, pasti akan hancur alam ini. Ya, pasti. Jadi Allah menyekat sebahagian daripada apa yang kita mahu kerana Allah merancang yang lebih baik untuk kita, malah untuk semua. Percayalah itu, insyaAllah kamu akan tenang.

Walau apapun, mengeluh bukan cara orang beriman menghadapi masalah. Cuba hayati firman Allah dalam Surah Al-Baqarah:

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.."
[Al-Baqarah 2:286]

Ya, Allah tidak akan menguji seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Kerana kamu mampu, kerana itu Allah uji.

Ketiga, kenapa kamu perlu menjauh? Kerana ingin bermuhasabah diri atau kerana ingin melepaskan diri? Jika kerana ingin bermuhasabah diri, syukurlah. Sekurang-kurangnya kamu mengambil sedikit waktu untuk memperbaiki diri. Jadi alasannya bukan kamu menjauh tetapi kamu mahu kembali kepada fitrah. Gunalah waktu kamu bersendirian ini untuk kamu lebih hampir kepada cinta Ilahi. Guna waktu ini untuk kamu berusaha memperbaiki diri dan berubah demi Allah. Fikirlah apa yang terbaik, dan yang penting sandarkan semuanya kepada Allah. Bagaimana pula ya jika kamu menjauh kerana ingin melepaskan diri? Fikir kembali, dari apa kamu mahu melepaskan diri? Melepaskan diri dari masalah atau dari tanggungjawab? Bukanlah sesuatu yang bijak jika kamu lari dari masalah. Masalah berlaku bukan untuk kita lari darinya tetapi kita perlu berani menghadapi masalah tersebut kerana sesuatu yang baru pasti akan kamu pelajari jika kamu berusaha untuk selesaikan masalah itu. Jika kamu lari dari tanggungjawab, sedarlah akibatnya di akhirat nanti. Kamu akan diminta untuk menjawab atas tanggungjawab yang telah kamu abaikan. Lalu bagaimana nanti alasanmu? Tanggungjawab bukan untuk dilepaskan tetapi untuk dijalankan.

Keempat, kenapa perlu hatimu merasa sakit? Kerana benci melihat kemungkaran atau kamu cemburu pada yang bukan hak? Koreksi betul-betul hatimu. Adakah ia bencikan kemungkaran atau ia telah terbiasa dengannya sehingga merasa selesa? Na'uzubillahiminzalik. Jika sakit hatimu dek kerana benci melihat kemungkaran, alhamdulillah, itu tandanya hati kamu masih punya iman. Tetapi membenci dengan hati bukankah selemah-lemah iman? Kamu mahu jadi yang paling lemahkah? Tentu tidak. Oleh itu, cubalah berbuat sesuatu instead of just membenci. Itu lebih baik, bukan? Jika sakit hati itu kerana cemburu, apakah layak kamu untuk mencemburui sesuatu yang bukan hak? Sekali lagi aku mohon kamu koreksi hati kamu, cemburu itu kerana iman atau kerana nafsu? Cemburu kerana iman yang aku maksudkan di sini ialah cemburu apabila mengetahui iman seseorang mukmin yang lain lebih teguh berbanding iman kamu. Contohnya mudah, kamu cemburu apabila seseorang itu lebih terasa indah beribadat kepada Allah sedangkan kamu seringkali terasa payah. Cemburu kerana nafsu tentu sahaja sedia maklum iaitu kamu merasa tidak senang apabila saudaramu mendapat lebih darimu. Sebagai contoh, kamu cemburu apabila rupa paras saudaramu lebih cantik darimu, ataupun orang yang kamu sukai tetapi tidak melayanmu malah mesra dengan orang lain. Wahh, contoh yang kedua itu kelihatan ekstrem sedikit ya? Wake up! There's no use to be jealous on such things. It's not worth at all. Malah merugikan diri kamu sahaja. Tiada apa yang kamu peroleh sebagai balasan tetapi sakit hati yang kamu dapat. Belajarlah untuk menerima segala ketentuanNya. Dia telah mentakdirkan hanya yang terbaik untuk hambaNya. Bersabar dan redhalah.


Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.
[Al-Israa' 17:21]


Yakinlah, sabar dan redhamu itu akan mendapat ganjaran yang lebih tinggi di akhirat kelak. Itu janji Allah, pasti.

Jadi mujahidah, jika orang lain sanggup berubah untuk menggembirakan sahabat, kenapa tidak kamu? Berusahalah, walau pada awalnya payah. Ikhlas itu akan datang kemudian jika kamu tidak mengeluh dan sentiasa sabar serta redha.

Dan jika kamu merasa lemah dan hampir berputus asa, mengadulah kepada Allah. Dia Maha Mendengar lagi Maha Penyayang. Tuhanmu tidak akan membiarkan hambaNya bersedih hati. Kuatlah, mujahidah!

Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar".
[Al-Baqarah 2:249]

*Senyum :)

No comments: