Demi Masa

Wednesday, July 13, 2011

Aku Menjauh Kerana Ingin Mendekat

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan menyebut asma' Allah aku memulakan kalam. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku tidak pernah berhenti berharap agar redhaNya mengiringi setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku titipkan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Aku sentiasa berharap iman mengemudi penulisanku. InsyaAllah.

Aku sedar, memang fitrah insani, iman selalu sahaja ada naik dan turunnya. Tatkala iman di atas, nafsu merintih tewas. Namun, di kala iman menurun nafsu seolah melonjak gembira kerana kembali mengawal hati anak Adam.

Dek kerana itulah kita perlu selalu memperbaharui syahadah kita, bukan? Supaya sentiasa menyedari hakikat diri sebagai hamba. Ya Allah..Betahkah aku menjadi hambaMu dengan sebenar-benar makna hamba? Berikan aku petunjukMu. Pimpinlah setiap langkahku.

Melihat anak-anak muda sekarang bebas bergaul tanpa menghirau batas syara'. Lelaki dan perempuan bebas bergurau senda. Hati terasa sakit melihat situasi begitu, iman perit menahan pedih.

Namun, apa bezanya aku dengan mereka? Bermuhasabah aku sendiri. Lama aku berfikir, mencari jawapan yang konkrit untuk segala persoalan yang bermain di fikiran. Kepada seorang sahabat aku meluahkan supaya berkurang sedikit apa yang terbeban. Air mata mengalir juga. Bukan kerana sedih, tetapi kerana kecewa kepada kelemahan diri. Sering tewas pada kehendak nafsu. Astagfirullahal'azim.

Ukhuwah itu indah, kerana itu aku tidak mahu mencemarinya dengan maksiat. Aku cuba merungkai satu per satu apa yang menjadi persoalan dalam diri ini. Sahabat menasihatkan, sebelum berbuat apa-apa, minta petunjuk daripadaNya dahulu. InsyaAllah.

Alhamdulillah dengan jawapan-jawapan daripada mereka, aku menghuraikan apa yang berserabut. Aku semakin jelas dengan tindakan yang bakal aku ambil. Semoga niatku diperbetulkan dan teguh keranaNya. Aku mahu berubah keranaNya, kerana cintaNya.

Sebelum mencari, berusahalah untuk menjadi. Kata-kata ini tersemat kemas dalam ingatanku.

Perempuan yang suci adalah perempuan yang dijaga oleh Allah. Tidak sedikit pun Allah membenarkan mana-mana lelaki menyentuh dirinya walaupun hatinya, kerana Allah teramat mencintainya.


Layakkah aku digelar wanita yang suci? Rasanya hati ini sudah terlalu penuh dengan tompok-tompok hitam. Terlampau banyak perkara yang merosakkan hati sudah aku lakukan. Kini saat untuk berubah. Sucikan semula hatimu, mujahidah. Kembali kepada fitrah.

Kerana itu aku ingin menjauh dari kalian, demi mendekatkan diri kepada Dia, cintaNya. Hatiku hanya milikNya, bukan yang lain. Cintaku teristimewa hanya pada Dia.

Ya Allah, peliharalah hatiku, cintaku hanya kepadaMu sebelum insan yang benar-benar layak yang telah Engkau janjikan buatku hadir untuk sama-sama merasai keindahan cintaMu. Tautkan hatiku dengan hatinya di jalanMu agar tenang memikul amanah dakwahMu. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

No comments: