Demi Masa

Thursday, February 25, 2010

Ilham itu daripada ALLAH..

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan lafaz mulia aku memulakan kalam. Semoga kalam kali ini tidak dicoretkan hanya menggunakan hati dan akal sahaja, tetapi iman turut menyumbang. Insyaallah..

Sabda Nabi:
"Apabila hendak melakukan sesuatu perkara, maka letakkan tanganmu ke atas dadamu, kerana sesungguhnya hati itu gelisah kepada yang haram dan tenang kepada yang halal."

Aku gagal mencari perawi hadis di atas. Jadi maaf di atas segala khilafku ini. Insyaallah akan aku usahakan juga agar hadis ini tidak hilang kesahihannya. Jika aku tersalah akan aku betulkan di post yang lain. Atau boleh dikira sebagai hadis dhaif mungkin?

Apa yang ingin aku ceritakan di sini ada berkaitan dengan hadis di atas. Hurm, dari mana aku harus mulakan ya? Biar aku mulakan dari awal, insyaallah..

"Ya Allah, kuatkan hatiku ini, kuatkan keimanan aku terhadapMu, amin". Doa ini sering aku panjatkan ke hadrat ilahi. Aku percaya semua muslim juga begitu. Tetapi iman manusia ini bukan tetap seperti malaikat, ada naik turunnya. Itulah imanku. Lemah.

Hati wanitaku bukan juga senang bergetar. Aku mempunyai pengalaman tersendiri yang membuatkan aku tidak mudah untuk membuka hati ini kepada mana-mana lelaki. Namun ada beberapa lelaki berjaya menggetarkan hatiku ini. Ini pengakuan jujur dariku.

Namun begitu, harus aku menjaga rasa itu agar tidak melebihi cintaku kepada Allah. Tidak mungkin aku akan mencintai mana-mana lelaki yang belum pasti akan menjadi teman hidupku. Tidak mungkin aku akan menyerahkan hatiku kepada mana-mana lelaki yang tidak layak untuk menerimanya. Maha lemah aku ini ya Allah. Senang tergoda dengan makhlukMu. Ambillah hatiku kembali ya Allah.

Aku harus akui tidak semudah itu untuk menolak perasaan ini. Inikan pula apabila ditambah gelojak nafsu yang selalu mengatasi keimanan. Aku kadangkala kecundang juga pada nafsu. Aku gagal menjaga duri-duri padaku. Aku membiarkan kumbang bebas terbang berdekatanku. Walaupun aku tidak membenarkan kumbang-kumbang itu hinggap padaku, namun aku seolah-olah telah merendahkan tarafku sebagai bunga!
Astagfirullahal'azim..

Begini, aku dahulu seorang yang suka berkawan. Aku berkawan dengan semua orang tidak kira lelaki mahupun perempuan. Aku dahulu masih jahil dengan beranggapan bahawa berkawan dengan lelaki ini tidak salah asalkan tidak berpegangan tangan. Namun itu cerita dahulu kala, ketika aku masih belum matang dan belum mengerti makna seorang muslimah sebenarnya. Kehidupan mengajar aku. Aku rapat dengan seorang rakan lelaki. Namun kami hanya berkawan dan tidak pernah lebih dari itu. Aku seakan-akan menidakkan hukum bahawa tiada muamalah antara lelaki dan perempuan yang dibenarkan melainkan beberapa yang disebut di bawah:
1. Jual beli
2. Menghakimi
3. Memberi penyaksian
4. Layan tetamu
5. Makan dengan tetamu
6. Dalam kenderaan
7. Kerja-kerja kebajikan
8. Sewaktu adat (contoh: kenduri)
9. Belajar (guru-pelajar)
10. Amar makruf nahi munkar

Ya, aku tidak tahu itu semua atau aku sengaja tidak mahu ambil tahu. Sehinggalah rakan aku, si lelaki itu sendiri yang memberi peringatan kepadaku. Dan aku percaya peringatan itu sebenarnya datang dari Allah, yang disampaikan kepadaku melalui perantaraan rakanku itu. Aku sebelumnya pernah membaca sebuah artikel berkaitan pergaulan lelaki dan perempuan. Namun ketika itu aku langsung tidak merasakan bahawa artikel itu ditujukan buatku tetapi merasakan itu hanya peringatan untuk orang yang 'couple'. Peringatan dari Allah yang disalurkan melalui rakanku itu benar-benar terkesan buatku. Aku seperti seseorang yang baru ingin mengenal dunia. Aku ingin mengerti apa makna muslimah sebenarnya yang aku ambil sambil lewa selama ini.

Aku mula mencari identiti diri sebenar. Aku mendekati rakan-rakan yang aku kira elok peribadinya. Aku muhasabah diri. Dan aku menjauhkan diri daripada semua lelaki terutamanya rakanku tersebut. Keputusan SPM memaksa aku untuk bertemu kembali dengannya di tempat yang mempertemukan kami buat kali pertama iaitu sekolah kami sendiri. Aku tidak betah untuk bertemu dengannya kerana perasaan yang amat malu, namun rasa di hati ini tidak mampu menipu bahawa aku ingin bertanyakan khabarnya. Aku berjaya mungkin untuk tidak bertemu dengannya namun aku gagal juga dengan menanyakan keputusannya melalui SMS. Hubungan aku dengannya sudah hambar. Aku sebenarnya harus akui bahawa hatiku sudah tersentuh sedikit olehnya. Inilah sebab mengapa lelaki dan perempuan tidak boleh berkawan kerana mereka tidak mungkin akan terus hanya berkawan. Hormon lelaki dan perempuan akan teransang sehingga wujud
dalam diri masing-masing sebuah perasaan suka yang digelar cinta.

Aku semakin gembira dengan diriku semenjak aku menjejakkan kaki ke alam matrikulasi. Aku sudah selesa dengan identiti baru ini. Aku semakin bangga dengan keindahan kelopakku. Tidak ada kumbang yang boleh dengan sesuka hatinya terbang berhampiranku. Duri-duriku juga semakin tajam sehinggakan hendak melihatpun tiada kumbang yang berani. Namun aku merasakan semakin hari duri-duriku semakin kurang gahnya. Tidak setajam awalnya. Kumbang-kumbang ada yang berani mencuba-cuba untuk terbang berhampiran. Si bunga tetap menunjukkan durinya, tetapi ada seekor kumbang yang dibiarkan untuk terbang berdekatannya. Si bunga kelihatan gembira kerana merasakan dirinya seindah mawar berduri. Namun sekali lagi Allah mendatangkan ilham kepadanya. Mawar berduri tidak seharusnya membenarkan mana-mana kumbang terbang berlegar-legar berhampirannya. Mawar berduri juga tidak sepatutnya membiarkan dirinya ditatap oleh sang kumbang. Mawar berduri juga tidak selayaknya menghilangkan duri daripada dirinya.

Aku tersedar semula, buat kali kedua. Dan aku berharap kesedaran ini akan kekal buat selama-lamanya. Aku ingin menyediakan diriku sebaik-baiknya untuk bakal suamiku. Aku tidak ingin menjadi bunga mawar yang hampir layu apabila sang kumbang yang sememangnya layak untuk sang bunga telah datang untuk mengambil madu padanya. Aku ingin terus menjadi sang mawar berduri yang mekar di taman larangan sehingga tiba sang kumbang berani untuk mengambil madu pada sang bunga. Di saat itu bunga akan menjadi milik kumbang selama hayatnya dan terus menjadi hamba Tuhannya yang Maha Esa.

Kerana kini aku sedar ilham itu datangnya daripada ALLAH. Tidak mungkin aku mendustainya lagi. Aku berharap perubahanku kali ini adalah dengan erti perubahan yang sebenarnya. Aku tidak ingin toleh ke belakang semula.


Bismillahirrahmanirrahim..
Ya Allah,
Aku bermohon kepadaMu,
ampunkanlah dosa-dosaku yang dahulu,
ampunkanlah segala khilaf diriku ini,
Ya Allah,
Engkau pimpinlah hatiku ini
agar terus berada di jalanMu,
Engkau pimpinlah hatiku
agar terus mencari cintaMu,
Engkau pimpinlah hatiku
agar sentiasa di dalam redhaMu,
Ya Allah,
kepada Engkau aku menyembah
dan kepada Engkau aku memohon pertolongan,
pertemukanlah jodoh yang terbaik buatku,
seseorang yang sentiasa mendekatkan aku kepada cintaMu,
seseorang yang mengingatkan aku pada balasanMu,
seseorang yang menenangkan jiwaku,
Ya Allah,
Engkau perkenankanlah permintaanku ini,
sesungguhnya,
hanya Engkaulah tempatku memohon pertolongan
dan hanya Engkaulah sebaik-baik pengharapan.
Amin..ya Rabbal 'Alamin..

Semoga aku istiqamah dalam perjuangan ini. Insyaallah.. Aku sudahi kalam dengan lafaz Alhamdulillah..

Sekian, wassalam.
















No comments: