Demi Masa

Sunday, February 21, 2010

Cinta

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan penulisanku dengan lafaz yang mulia dan segala pujian aku panjatkan ke hadratNya.

Aku berasa terpanggil untuk menulis tentang cinta. Cinta itu indah bukan? Pasti semua orang memerlukan cinta dalam hidup mereka, termasuk diriku. Aku tidak terlepas daripada mempunyai perasaan ingin mencintai dan ingin dicintai. Ya, aku juga manusia biasa. Namun perasaan cintaku ini aku dahulukan kepada Allah dan RasulNya juga kepada ayahanda dan bondaku. Tiada siapa yang lebih layak untuk aku cintai melainkan Dia, Baginda dan mereka.

Tanpa cinta tidak mungkin aku wujud di muka bumi ini. Tanpa cinta tidak mungkin aku dapat bernafas hingga ke hari ini. Cinta Allah, itulah cinta yang hakiki.

Namun di sini inginku selitkan mengenai pemilik maksudku bakal pemilik cintaku selepas Allah, RasulNya dan ayahanda bonda. Perasaan cinta adalah fitrah manusia. Sejak dari penciptaan Adam lagi Allah telah melahirkan perasaan ingin berteman dalam diri Adam. Lalu diciptakan Allah Hawa dari tulang rusuk Adam sebagai peneman Adam di kala sunyi.

"Perempuan-perempuan yang keji untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduh orang. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."
[An-Nur 24:26]

Ayat di atas jelas bukan? Kenapa aku harus risau tentang jodohku? Sedangkan Allah sudah menyediakan yang terbaik untuk hamba-hambaNya bersesuaian dengan kelayakan kita. Jika kita baik, Allah menyediakan pasangan yang terbaik untuk kita. Namun jika kita tergolong dalam golongan yang keji, pasangan kita juga tentu dari golongan yang keji. Jadi dapat disimpulkan di sini jika kita menginginkan pasangan yang baik untuk diri kita, kita perlulah memperbaiki diri dan menyediakan diri untuk menjadi yang terbaik juga. Pesanan ini untuk diriku dan semua yang membaca.

Hatiku pernah disentuh. Tentunya oleh seseorang yang bergelar Adam. Imanku lemah? Atau nafsu yang menguasai diriku? Ya, iman manusia ada naik turunnya bukan? Tatkala turunnya iman manusia itulah nafsu akan cuba mendapatkan tempat. Syaitan juga akan menyemarakkan lagi gelojak nafsu ini. Ya Allah, aku bermohon kepadaMu agar aku tidak jatuh ke dalam jurang cinta nafsu, amin.

Adam yang pernah mengetuk pintu hatiku mempunyai kelebihan dan kelemahan sendiri. Ah, gila kiranya aku ingin menceritakan peribadinya di sini. Aku tidak memujinya apatah lagi ingin memujanya. Siapa Adam itu? Biarlah hanya Allah dan aku yang mengetahuinya.

Apa yang ingin aku katakan di sini adalah cinta itu semulajadi sifatnya, tidak dipaksa dan tidak memaksa. Cuma kita perlu pandai menguruskan rasa cinta itu agar perasaan terus suci itu tidak dinodai dengan zina. Zina juga boleh berlaku melalui hati, tangan, lisan dan seumpamanya. Zina hati berlaku apabila hati kita mengingati seseorang yang tidak halal buat kita. Zina tangan apabila kita berpegangan tangan dan juga apabila menghantar SMS atau berchatting dengan bukan mahram. Zina lisan pula boleh berlaku ketika kita berbual dengan bukan mahram sama ada secara berdepan mahupun di telefon.

Bagaimana caranya hendak menguruskan cinta itu? Aku cuba begini, muhasabah kembali kepada siapa sepatutnya aku layarkan cinta tersebut. Aku menemui jawapannya, Allah. Dialah yang menciptakan kita, Dia jugalah yang menciptakan cinta. Oleh hal yang demikian, aku memutuskan biarlah cintaku menjadi hak kepada Pencipta cinta itu sendiri. Ya, cara ini memerlukan pengorbanan. Metodnya berdoalah kepada Allah yang Maha Esa. Mohonlah agar dijauhkan dari cinta yang tidak pasti ini dan mohonlah untuk mendapat cintaNya. Istiqamah itu penting dalam setiap perjuangan.

Antara cara untuk mengelakkan zina hati tentunya dengan zikrullah wa zikrulmaut.
Kerana dengan mengingati Allah jiwa kita akan tenang dan dengan mengingati mati kita kita akan terus terleka dengan duniawi.

"Katakanlah kepada lelaki-lelaki beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh Allah Maha Mengetahui apa yang mereka buat"
[An-Nur 24:31]

Ayat di atas menyuruh lelaki-lelaki (termasuk perempuan) beriman agar menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Cara ini juga dapat mengelakkan zina mata dan juga hati kerana kata pepatah menyebut "dari mata turun ke hati" lantas untuk menjaga hati perlu juga menjaga mata. Setuju?

Ada satu lagi cara yang aku kira menarik. Aku baru terbaca di satu blog yang memaparkan artikel daripada majalah I mungkin, berkaitan nikah khitbah. Nikah khitbah atau senang difahami dengan nikah gantung. Ya, aku bersetuju dengan cara ini kerana dapat mengurangkan gejala 'couple' yang haram lantas beralih kepada 'couple' yang halal. Caranya mudah, (ini disyorkan untuk pelajar) untuk mengelakkan zina jangan ber'couple', untuk mengelakkan 'couple' teruslah nikah! Ramai yang akan fikir panjang dan akan berkata, "nikah ni bukan perkara main-main". Ya, ini perkara serius, larangan Allah juga perkara serius bukan? Jadi mengapa memilih untuk melakukan maksiat sedangkan ada cara yang menghalalkannya? Nikah khitbah ini adalah bernikah tetapi tidak duduk sebumbung, suami tidak perlu menanggung isteri sepenuhnya lagi. Kelebihannya pasangan yang bercinta itu boleh melakukan apa sahaja kerana hubungan itu telah halal. Berdua-duaan seperti pasangan 'couple' yang lain tetapi dalam keadaan yang halal. Menarik bukan? Aku juga berfikir akan bernikah khitbah andai jodoh sampai awal dan situasi mendesak.

Aku fikir cukup dahulu bicara cintaku kali ini. Aku ingin terus mencari cinta Kekasihku, Allah. Sekian. Wallahu'alam..

No comments: