Demi Masa

Tuesday, February 23, 2010

m.a.a.f

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan lafaz mulia aku memulakan kalam.

Tajuk entri aku hari ini adalah seperti di atas, 'maaf'. Apa yang menariknya perkataan ini ya? Perkataan maaf ini ada kuasa yang tersendiri. Ada magisnya. Aku pada mulanya tidak percaya sehinggalah magis itu berlaku kepada diriku sendiri.

Kisahnya begini, aku membaca satu blog rakanku yang suatu ketika dahulu aku rapat dengannya. Maksudnya di sini aku sudah tidak lagi sekepala dengannya. Pemikiran kami sudah jauh berbeza. Tidak ada lagi kata sepakat antara kami. Malah, jika kami berselisih di jalanan pun senyuman tidak mampu terukir di bibir kami. Kami tidak bergaduh, cuma tidak serapat dahulu sahaja. Berbalik kepada kisah aku membaca blognya, ya, aku masih mengikuti perkembangannya. Aku membaca dari satu entri ke satu entri hinggalah aku telah ditakdirkan Allah untuk membaca satu entri mengenai kawan. Aku membaca dari satu baris ke satu baris, dari satu perenggan ke satu perenggan yang lain. Nah, di situ aku terlihat namaku disebut! (Dia turut menyebut nama rakan yang lain) Ayat yang ditujukan kepadaku lebih kurang begini, "Maaf untuk sepanjang kita berkawan". Ya, ayat tersebut ringkas dan mungkin ada yang berpendapat langsung tidak menunjukkan magisnya. Namun dengan ayat seringkas itulah telah berjaya menggetarkan jiwaku dan melembutkan hatiku yang keras ini. Ayat itu membuatkan aku terfikir mengenai satu frasa inggeris yang berbunyi, "Once a friend, always be a friend". Maksudnya sekali kita berkawan, selamanya kita akan berkawan. Pergaduhan, pertelingkahan dan salah faham adalah perencah kepada persahabatan. Kita boleh bercerai kasih, tetapi, kita tidak mungkin bercerai kawan.

Konklusinya di sini, mohonlah kemaafan kepada sesiapa yang kita pernah lukai atau sesiapa yang pernah melukai kita kerana kita tidak tahu mungkin dengan perkataan maaf itu, seribu masalah di duna ini mampu diselesaikan.

Sehingga itu, aku mengakhiri kalam ini dengan memohon maaf di atas khilaf diri andai terdapat sebarang kata yang mengguris mana-mana pihak. Sekian, dengan lafaz mulia aku memulakan kalam, dengan lafaz mulia jugalah aku mengakhiri kalam ini. Alhamdulillah..wassalam.

p/s: Aku ingin meminta maaf kepada semua yang pernah aku kenali sepanjang hayatku, mungkin ada sikapku yang tidak menyenangkan kalian. Maaf dipohon dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

No comments: