Demi Masa

Friday, March 5, 2010

Aku kembali ke situ..

Bismillahirrahmanirrahim..

Sentiasa akan aku mulakan kalam dengan lafaz mulia semoga kalamku ini diredaiNya. InsyaAllah.

Kali ini ingin aku kongsikan perjalananku ke sekolah lamaku iaitu MRSM Pasir Salak. Ya, aku kembali ke situ. Tempat yang telah mengajarkan aku untuk menjadi manusia, mengajar aku erti kehidupan, mengajar aku erti pengorbanan, mengajarkan erti tanggungjawab dan memberikan pengalaman yang telah mencorakkan zaman remajaku dan tidak mungkin akan aku lupakan itu.

Aku bertolak dari Ipoh pada pukul 2 petang kerana menunggu ummi pulang dari sekolah. Sepanjang perjalanan tidak tergambar perasaan rinduku ini. Mengimbau kembali kenangan sepanjang lima tahun aku berulang-alik melalui jalan tersebut. Pokok-pokok kelapa sawit di sepanjang jalan seakan-akan meraikan kedatanganku. Aku gembira sekali!

Setelah sejam perjalanan aku sampai ke situ. Ya, bumi Pasir Salak masih seperti dahulu. Bukit Tunggal masih gagah berdiri di situ. Ah, rindu sekali untuk mendakinya. Ummi dan ayah menyuruh aku pergi ke pejabat sendiri sementara mereka menunggu di surau. Pada mulanya aku mengajak ummi untuk meneman, tetapi ummi menolak dan aku gagahkan diri untuk menguruskan pengambilan sijil SPM aku itu sendirian.

Aku terus ke pejabat. Sebelum itu aku terlihat kelibat beberapa orang guru yang sedang sibuk lagaknya. Tidak sempat untuk aku menegur mereka. Masuk ke pejabat, berdebar-debar rasanya kerana sudah lebih setahun mungkin aku tidak masuk ke situ. Terus menanyakan perihal sijil SPM tersebut kepada kakak di kaunter dan kakak tersebut terus mengarahkan berjumpa dengan staf yang sepatutnya.

Agak kecewa sedikit apabila staf yang menguruskan sijil-sijil tersebut tidak begitu senang dengan kehadiranku kerana pada hematnya aku terlalu awal. Salahkah aku mengambil sijil SPM awal? Prosedurnya mudah, cuma tandatangan di beberapa kertas dan sijil tersebut sudah berpindah tangan. Tetapi mungkin kerana aku terlalu awal, sijil untuk GCE O level belum ditandatngani oleh pengetua. Jadi terpaksa aku menunggu sebentar.

Sementara aku menunggu, terserempaklah aku dengan beberapa orang guru di pejabat tersebut. Apa yang membuatkan aku terharu ialah mereka masih mengecam wajahku. Itulah seorang guru bukan? Anak murid sahaja yang kadang-kadang buat tidak tahu dengan guru. Nauzubillahiminzalik..Semoga aku bukan dari kalangan tersebut.

Guru yang pertama aku jumpa, aku tidak berapa mengenalinya kerana sewaktu aku di tingkatan lima guru tersebut adalah guru baru. Kemudian aku berjumpa dengan Cikgu Zurina Sukardis yang baru selesai berurusan dengan pengetua. Gembira melihat cikgu tersenyum denganku. Bersembang sebentar dengannya dan memohon doa restunya semoga ilmu yang diberi diberkati. Masih menunggu sijil aku diuruskan, Penolong Pengetua Hal Ehwal Pelajar, Cikgu Razali pula ada di situ. Seakan ya atau tidak mengenaliku namun aku tetap memaniskan muka dan memberi slam kepadanya, menyatakan tujuanku di situ setelah di tanya, perbualan ringkas sahaja.

Kini kedua-dua sijil sudah di tanganku. Sebelum aku keluar dari pejabat, aku terserempak dengan Sir Jasafdzal. Berborak dengannya, beliau adalah bekas pelajar UIA juga. Jadi banyak sedikit topik untuk ditanya. Sebelum mengakhiri perbualan doa restu diminta dan diberi. Alhamdulillah. Kemudian aku terus ke tingkat atas. Tidak tahu lagi ke jabatan yang mana dahulu hendak dituju. Pergi ke kanan dahulu, Jabatan Sains Sosial dan Jabatan Bahasa. Namun sebelum sempat membuat keputusan, Cikgu Raja, guru Add Math aku dahulu baru keluar dari biliknya. Nampak sibuk, namun aku tetap ingin menemuinya. Seperti guru lain, agak terkejut melihatku. Tanya itu dan ini. Akhir sekali, doa restu jua yang diberi. Selesai di situ, niatku ingin berjumpa dengan Ustazah Fazila. Tetapi memikirkan kemungkinan beliau tiada di jabatan, aku menelefonnya. Nasibku baik kerana beliau masih di jabatan. Terus aku ke Jabatan Sains Sosial. Berserta senyuman dan salam aku melangkah masuk ke situ. Terharu lagi aku kerana Ustazah menyambut aku dengan senang hati sekali. Pelukan dan ciuman pipi diberi. Ah, rindunya pada kebiasaan tersebut. Dahulu kalau di maktab, berlaga pipi 3 kali itu memang sudah menjadi tabiat. Kini di UIA sudah tidak selalu. Iyalah, aktiviti sosial tidak sekerap di maktab dahulu.

Bersembang macam-macam dengan Ustazah. Tidak nampak guru-guru lain, sudah pulang mungkin. Kemudian Cikgu Halijah masuk. Keadaan yang sama, aku dipeluk dan dicium pipi. Sekali lagi terharu =). Cikgu Halijah baru balik dari koperasi, jadi adalah makan ringan yang dibawa. Aku diberi air Nescafe dalam tin. Terima kasih cikgu! Ustazah banyak bercerita mengenai PUM. Rindu rasanya untuk bergiat aktif dalam PUM kembali. Ah, rindunya! Sementara bersembang dengan Cikgu Halijah dan Ustazah, ada beberapa cikgu lain yang datang singgah. Cikgu Jun aku sempat bertemu. Soalan yang biasa juga ditanya dan dijawab, serta doa restu diberi. Cikgu Raja sekali lagi aku ketemu. Panggilan dari ayah memaksa aku untuk tidak terlalu lama di situ. Aku punya masa lebih kurang 15 minit sahaja lagi. Aku memohon kebenaran untuk berjumpa dengan guru-guru lain pula dan untuk pulang selepas itu. Bersalaman dan doa restu jua diberi. Kemudian aku ke jabatan bahasa. Tidak ramai di situ, ada Cikgu Jun dan Cikgu Eriza sahaja. Aku bertemu dengan Cikgu Eriza pula. Macam-macam ditanya. Namun masa agak mencemburui, tidak lama aku bersembang. Aku menanyakan di mana guru homeroomku, Miss Shima. Cikgu Eriza memberitahu beliau di bilik seminar dan menyuruh aku pergi sahaja ke situ. Aku bersetuju sahaja dan terus menyalami kedua-dua orang guru tersebut dan memohon doa restu.

Pintu Jabatan Bahasa ditutup, aku terus menuruni tangga ke bilik seminar. Segannya hendak masuk ke dalam, ramai pelajar tingkatan lima di dalam. Aku ulang alik di luar. Nak masuk ke tak? Hmm..Telefon Miss Shima pun tidak berangkat. Aku mengambil keputusan untuk pulang sahaja. Dalam perjalanan menuju ke kereta, aku terserempak dengan Cikgu Hafizah, Cikgu Zulina dan seorang cikgu yang aku tidak ingat namanya kerana beliau guru baru semasa aku di tingkatan lima. Sekali lagi soalan yang sama ditanya, mohon doa restu dan mohon untuk ke tempat lain. Sebelum aku keluar dari bangunan pentadbiran, aku terlihat Cikgu Murni baru keluar dari pejabat. Entah beliau perasan aku atau tidak aku tidak kisah, aku tetap ingin berjumpa dengannya. Gembira kerana sekurang-kurangnya beliau tahu aku pernah menjadi muridnya. Doa restu jua diminta dan diberi. Kemudian aku terus ke kereta. Aku memberitahu ummi dan ayah bahawa aku tidak sempat berjumpa dengan guru homeroomku. Lalu ayah menyuruh aku pergi juga berjumpa kerana sudah berniat begitu. Aku cuba sekali lagi ke bilik seminar. Aku cuba lagi menelefon Miss Shima. Gagal lagi dijawab. Mujurlah Cikgu Zulina lalu dan kelihatan ingin masuk ke dalam bilik seminar, lalu aku meminta pertolongannya untuk memanggil Miss Shima di dalam. Alhamdulillah, aku sempat juga bertemu dengan mamaku. Macam-macam yang ditanya, dan ada juga rancangan untuk membuat reunion. InsyaAllah mama, akan kami usahakan.

Perjalananku berakhir di situ. Agak terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengan semua guru dan tidak sempat untuk meninjau kawasan lain di maktab. Namun aku bersyukur kerana hasrat aku untuk ke maktab sekali lagi telah tercapai. Segala puji bagiMu Ya Allah kerana memakbulkan hasratku ini. Terselit juga di hati ini perasaan bimbang andai ada guru yang terasa hati kerana aku tidak berjumpa dengan mereka. Moga-moga mereka meredai aku. Amin.

Sampai di sini dahulu aku coretkan pada kalam ini. InsyaAllah aku akan terus menulis kisah hidupku. Sehingga itu, wassalam.

No comments: