Demi Masa

Sunday, May 9, 2010

Inilah manusia..

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan namaMu Ya Allah, kalam ini kembali ku coret. Aku mengharap keredhaanMu.

Masih membisu. Mata akak sudah membengkak. Mataku juga kelihatan begitu. Air mata pun sudah kering.
Ah, lupakan sebentar kisah itu. InsyaAllah, pasti ada penyelesaian akhir nanti.

Ouh, baru teringat, hari ini (kalau ikut jam sudah masuk hari ahad bukan?) bersamaan 9 Mei ialah hari jadi abang. Kurang semangat pula selepas apa yang berlaku. Ah, lupakan itu! Selamat hari jadi abang, semoga dipanjangkan umur dengan keberkatan Allah dan berjaya di dunia dan akhirat.

Baru masuk isi sebenar kepada tajuk di atas. Inilah manusia. Jika aku malaikat pasti imanku sentiasa teguh. Tetapi aku manusia, iman aku ada masa bertambah dan ada masa berkurang.

Pastinya, jikalau ada meter pengukur iman sekarang pasti aku malu dengan nilai imanku ketika ini. Layakkah aku menggelarkan diri sebagai mujahidah? Layakkah? Imanku akan menjawab.

Allah, aku perlukanMu ketika ini. Pimpinlah aku di sepanjang perjuangan ini. Andai aku terleka, peringatkanlah aku kembali. Akulah manusia, hambaMu yang Engkau ciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi. Akulah juga munusia, yang kadang teralpa dengan duniawi. Inilah manusia..

Aduhai manusia, tolonglah bangkit! Cukuplah dengan angan-anganmu. Tidak akan ke mana hanya dengan angan-angan. Tindakan perlu dilakukan. Bukan sekadar berazam dan kemudian bertawakal. Tawakal itu konsepnya selepas berusaha sedaya mungkin. Manusia, cukuplah bermimpi!

Inilah manusia, ilham dari Allah diterima, godaan syaitan juga yang diikut. Nafsu juga yang menang. Dan iman?? Dibiarkan sahaja kalah kepada nafsu. Dibiarkan terus terpenjara. Dibiarkan terus meronta. Aduh, manusia..

Aduhai mujahidah, berapa kali lagi kamu ingin diingatkan? Tidak cukupkah berkali-kali sebelum ini? Kamu ingin peringatan lagi? Sampai bila? Sampai nyawa kamu benar-benar di kerongkongkah? Na'uzubillahiminzalik.

Tolonglah iman. Kasihanlah iman. Asyik dikalahkan dengan nafsu. Nafsu terus bersorak, melonjak. Iman terus duduk, tertunduk. Ya, memang inilah manusia, imannya ada naik dan ada turun. Namun jangan selalu sangat dibiarkan iman ditindas. Memang mustahil untuk mencapai darjat setaraf iman para nabi dan rasul, namun sekurang-kurangnya cubalah untuk mencontohi akhlak mereka. Tidak setaraf iman mereka pun sekurang-kurangnya menghampiri peribadi mereka.

Panjang celotehku ini. Biasalah jikalau perempuan membebel. Atau aku tidak sepatutnya menggunakan perkataan membebel kerana aku tidak menggunakan mulut? Mengarang mungkin lebih sesuai =).

Ini peringatan buat diriku juga antum, andai dapat memberi manfaat, alhamdulillah. Habis bicara, akhiri kalam. Wallahu'alam. Wassalam.

No comments: