Demi Masa

Wednesday, May 12, 2010

Maaf itu mudah diberi, melupakan sukar sekali..

Bismillahirrahmanirrahim..

Masih mengharap redha Allah dalam penulisan ini serta sepanjang perjalanan hidupku. Semoga kalam kali ini tidak hanya ditulis berdasarkan akalku sahaja, apatah lagi amarah biarlah iman yang mengemudinya. InsyaAllah.

Maaf. Memang satu perkataan yang paling susah diucap oleh kita. Seperti tajuk lagu kumpulan Westlife, jika tidak silap aku "Sorry Seems to be the Hardest Word". Benar, percayalah kataku ini. Ya, mungkin ada yang masih ragu-ragu. Cuba sahaja lihat pada diri kita, kalau kita terlanggar orang perkataan yang muncul di bibir kita ialah..? "Ops, sorry." Di mana perkataan maaf ya? Memang benar maksudnya sama tetapi apabila MAAF yang diucap, keikhlasan itu lebih jelas kelihatan. Itu nasib baik lagilah tahu meminta maaf walaupun dengan 'sorry', kalau maki hamun yang keluar dari mulut manusia itu? Na'uzubillah..

Mulanya aku juga tidak menyedari hal ini, sehinggalah suatu hari Ustazah Suriyani bercakap tentang hal ini. Itulah kita, hal sekecil ini pun kita tidak sedar. Sibuk dengan perkara lain.

Peristiwa 'Gam dan gunting':
Masih segar di ingatan peristiwa tersebut. Mana mungkin aku lupakan suatu kejadian pahit yang mengganggu hidup aku sebelum SPM. Bukan sahaja mengganggu, malah menghantui. Mujurlah ada teman-teman yang setia memberi semangat dan membela aku di kala aku hampir putus asa dengan hidup ini.

Aku ambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Nabila, Ainul, Ayong, Ayu, DS, Wani, Didie, Kimah, Mija dan ramai lagi (termasuk S*****) yang sentiasa bersama aku ketika 'mereka' itu mencaci aku. Aduh, pedih sekali peristiwa tersebut.

Salahkah aku?
Ya, mungkin juga aku yang bersalah. Jadi biarlah aku yang mengalah. Namun segala usaha 'mereka' untuk menjatuhkan semangat aku tidak berjaya. Kerana apa? Ayat al-Quran ini memujuk aku di kala itu:

"Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakannya dan dia mendapat seksa dari kejahatan yang dibuatnya.."
Al-Baqarah [2:286]

Allah yang menyelamatkan aku dari terus kecewa dan putus asa dari mengharap kepadaNya. Alhamdulillah. Syukur di atas nikmatMu Ya Rabbal 'Alamin.

Sejak dipujuk dengan ayat cinta tersebut, aku terus gagah menempuh hidup walau pelbagai ujian terpaksa ku tempuh. Segala kekuatan itu milik mutlak Allah, dan aku hanya memperoleh sekelumit kekuatan itu.

Maafkan sahaja..
Memang aku sudah pun memaafkan 'mereka' setiap kali selepas 'mereka' menyakiti aku. Apalah guna menyimpan dendam kepada 'mereka'? Hanya sakit hati yang aku dapat. Alhamdulillah, hatiku lebih tenang selepas memaafkan. Syukur juga sebelum raya Aidilfitri juga sebelum SPM, 'mereka' sudah pun meminta maaf kepada aku dan juga sahabat-sahabatku. Entah ikhlas atau tidak itu urusan mereka dengan Allah. Tanggungjawab aku hanya memaafkan.

Maaf itu mudah diberi, melupakan sukar sekali..
Itulah yang aku katakan, memang memberi maaf itu mudah, tetapi melupakan..susah! Sehingga sekarang peristiwa itu masih jelas di fikiranku. Bukan aku sengaja mahu mengingat untuk mengungkit, tetapi memori tersebut kekal walau apa cara pun aku cuba membuangnya.

Sudahlah, aku tidak mahu berdendam. Biarlah memori pahit yang terus melekat di fikiranku ini menjadi sejarah dan iktibar buat diriku. Mungkin juga pengajaran atas sikapku selama ini. Atau apa sahaja yang boleh dijadikan pedoman.

Walau apapun, peristiwa tersebut merupakan salah satu faktor yang telah memanusiakan aku. Aku percaya Allah menetapkan hikmah di setiap kejadian yang berlaku. Aku redha dan tidak pernah mengeluh.

Dan sekarang aku akan sentiasa tersenyum menempuh hidup ini kerana kehidupan inilah sekolah yang mengajar kita erti hidup dan memanusiakan kita.

*Senyum :)

Wallahu'alam..

No comments: