Demi Masa

Friday, May 14, 2010

Inni Akhafullah..

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan namaMu Ya Allah, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan namaMu aku hidup dan aku mati. Semoga aku hidup dalam rahmatMu dan aku akan mati dengan rahmatMu jua. InsyaAllah.

Haih, mengeluh kesal. Bukan kerana hidup ini, tiada apa yang perlu aku keluhkan dengan takdir Ilahi. Semuanya tertulis indah. Cuma aku kesal dengan diri sendiri. Kadang-kadang iman yang dianugerahi Ilahi aku memandangnya sepi. Akal pula yang lebih mendahului. Lagi teruk jika nafsu yang mengemudi. Haih, sekali lagi aku mengesali diri.

Ada juga post-post sebelum ini yang tidak dikemudi oleh iman. Astagfirullahal'azim. Ampunkan khilaf diriku Ya Allah. Mungkin kadang-kadang amarah menguasai diri, atau sedih yang merajai hati. Entahlah..

Aku masih berusaha membina diri ke arah mardhatillah. Selalu juga diuji. Hadis nabi ini mengembalikan semangatku.

Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, nescaya Dia akan mengujinya dengan kesusahan"
(Riwayat Al-Bukhari)

Aku kembali bangkit melawan lemahnya diri. Mujahidah ini tidak sepatutnya tunduk kepada kelemahan.

"Saat kekalahan itu bermula apabila kamu berasa lemah dalam perjuangan, dan saat kemenangan itu bermula apabila kamu melawan rasa lemah itu"-Syed Qutb

Terima kasih sahabat yang telah menghadiahkan aku kata-kata ini. Aku menyimpannya agar menjadi penyuntik semangatku andai aku hampir lemah.

Sesungguhnya aku lebih takutkan kemurkaan Allah berbanding marahnya manusia. Biarlah andainya perjuangan yang aku lakukan ini mengundang sakitnya hati manusia, selagi tindakan yang aku lakukan ini untuk mencari redha Ilahi, aku akan teruskan.

Aku pernah terbaca suatu artikel yang aku sudah lupa di mana. Artikel itu menyebut,
sekiranya seorang lelaki itu mengasihi seorang wanita kerana Allah, dia akan menjaga wanita itu dari setiap sudut termasuk pergaulannya. Dia tidak akan mencemari wanita tersebut walaupun dengan cara perbualan yang boleh mengundang kepada zina hati. Ah, lebih kurang begitulah, aku tidak tahu hendak mengolahnya semula. Maksud mudahnya, lelaki tersebut akan terus membiarkan wanita tersebut menjadi mawar berduri yang tidak berani disentuh oleh mana-mana kumbang sehinggalah dia sendiri halal untuk wanita tersebut.

Harap-harap sampailah maksud mesej tersebut. Mohon maaf kerana kelemahan diri ini untuk mengolah semula ayat tersebut.


Hmm, masih adakah lelaki
sebegitu di zaman ini? Maafkan aku wahai kaum Adam andai pertanyaanku ini mencabar kalian. Cuma aku masih ragu-ragu berapa ramaikah angka kalian yang mempunyai akhlak sedemikian rupa. Aku gembira melihat kalian berlumba-lumba untuk ke jalan Allah. Tenang hati ini melihat masih ada pewaris Rasulullah untuk mengembangkan agama suci ini. Syukur Ya Allah.

Semoga jumlah kalian akan terus bertambah menjadi pemuda-pemuda Islam yang akan memperjuangkan agama ini. Aku mendoakan atas dasar saudara seagama dan demi agama yang suci ini.

Inni akhafullah..Sesungguhnya aku takutkan Allah.

No comments: