Demi Masa

Monday, December 13, 2010

Redha ibu bapa adalah redha Allah

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan kembali penulisanku dengan asma' Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Mengharap redhaNya pada setiap hembusan nafas ini. Selawat dan salam buat junjungan mulia yang dirindui selalu, Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, syukur masih berpeluang untuk kembali ke bumi UIA ini. Semester baru ini, harapnya dapat memperbaharui diri dari yang buruk kepada baik. InsyaAllah.

Senyum dan mengucapkan alhamdulillah, itu yang aku ingat pesan Ustaz Zaini di MRSMPS dahulu kepada kami ketika nampak pagar maktab selepas pulang bercuti. Itu juga yang aku cuba terapkan kepada diri sehingga kini. Semoga kepulangan kali ini ke tempat pengajian kita mendapat berkat dan rahmatNya.

Doa Ummi, doa Ayah, cuba dapatkan 4 flat pula kali ini. Dahi dicium tanda restu. Di dalam hati aku mengaminkan doa tersebut. Harapan mereka tinggi. Itu amanah. Aku wajib laksanakan sebaik mungkin.

Hari pertama kuliah hari ini. Aduh, otak barangkali sudah berkarat dek bercuti selama lima minggu. Hari ini hanya ada dua kuliah sahaja mengikut jadual yang telah disusun olehku. Electronics awal pagi tadi hanya diberi taklimat juga diterangkan serba sedikit course outline serta apa yang bakal kami pelajari. Dynamics pula sudah mula belajar, dan lebih hebat Rabu ini bakal diadakan kuiz. Agak berpusing juga otak untuk menerima pelajaran dalam keadaan otak yang belum bersedia ini. Ya, salah aku juga kerana tidak bersedia lebih awal.

Apa yang perlu dilakukan selalu ialah mentajdid niat. Supaya tidak tersasar dari niat utama, lillahi ta'ala.

Ayah pesan semalam, sentiasa bersangka baik dengan Allah juga Ummi dan Ayah. Itu kunci kepada keredhaan Allah.

Mujahidah, salam bermujahadah!

No comments: