Demi Masa

Tuesday, December 21, 2010

Fardhu Kifayah

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan nama Allah, aku memulakan kalam. Mengharap redhaNya tiap waktu. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Hari ini buat medical check up. Tiada masalah serius, cuma perlu diberikan perhatian. Berdebar juga menunggu dipanggil masuk berjumpa doktor. Risau kalau-kalau apa yang dihidapi serius. Alhamdulillah, tiada apa-apa.

Geram. Doktor yang merawatku adalah lelaki. Dan pemeriksaan ini memerlukan sentuhan fizikal. Mahu menangis sahaja apabila disentuh oleh ajnabi begitu. Benar, ianya dibolehkan. Tetapi seharusnya disediakan doktor wanita untuk melakukan sentuhan fizikal, bukan?

Terasa maruahku tercemar begitu sahaja. Beritahu Ummi perkara ini, Ummi menenangkan dengan mengatakan bahawa hal ini terpaksa. Tetapi masih berbekas di dalam hati. Aduh, Universiti Islam Antarabangsa namanya, sepatutnya menitikberatkan fardhu kifayah begini. Islam itu tidaklah terlalu keras. Tetapi Islam sentiasa ada jalan penyelesaian.

Dalam hal perubatan, aku terbaca dalam Majalah Anis edisi bulan lepas tidak silap, diutarakan isu berbidankan doktor lelaki. Semua ibu mahu kehormatan mereka dijaga walaupun ketika melahirkan anak. Suami perlu tegas dalam hal ini dengan meminta pihak hospital menyediakan perkhidmatan doktor wanita bagi isteri mereka.

Aku tidak mahu kehormatan dan maruah yang aku jaga selama ini dicemari dengan hal yang boleh dielak sebegini. Ini negara Islam, pasti ada alternatif lain untuk itu. Bangkitlah!

Wanita itu ibarat mawar. Durinya tajam, bukan untuk didekati oleh sebarang kumbang. Hanya yang layak, dibenarkan menghisap madunya. Kerana kumbang berani itu ditentukan Ilahi untuknya.

Kami mahu maruah kami dipelihara. Siapa lagi penjaga kaum muslimat kalau bukan antum, wahai muslimin?

Wallahu 'alam bissawab..

No comments: