Demi Masa

Sunday, December 19, 2010

Barakallahu lakuma

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan asma' Allah aku mulakan kalam. Mengharap redhaNya di setiap hembusan nafas. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW yang dirindui.

Pertama sekali, barakallahu lakuma, akak dan Encik Azeze. (urm, masih tidak tahu panggilan apa yang sesuai)

Alhamdulillah, selesai semua majlis. Segalanya berjalan dengan lancar. Syukur, syukur, syukur. Tetamu yang datang tidak putus-putus. Tidak menang tangan aku, Nura dan Kak Roha menyenduk cendol. Itu tugas kami. Fuh.

Akad nikah malam semalam sesudah isyak. Kami solat isyak berjemaah di Masjid Negeri. Selesai memberi salam, aku mulai sebak. Ketika berdoa air mata tidak dapat tertahan lagi. Puas menenangkan hati sendiri. Susah, namun aku gagahi juga. Itu adat hidup. Mesti melepaskan akak kepada suaminya. Akak bukan milik kami, bukan milik aku. Fitrahnya memerlukan suami. Dan aku, pasti, kekal menjadi adiknya walau apa yang berlaku. InsyaAllah.

Ketika lafaz ijab dan kabul itu disebut, air mata aku dan Ummi laju mengalir. Ketika itu sah akak sudah menjadi isteri kepada Encik Azeze. Mungkin tangisan kami berlainan alasan, namun pemangkinnya serupa.

Mesej Abangme semalam membuatkan Ummi dan Ayah sebak. Aku hanya 'control macho' ,kononnya. Tetapi menangis juga sembunyi-sembunyi di bilik air. Kasihan Abangme, sering sibuk ketika ada perhimpunan keluarga. Bukan kemahuannya, tetapi terpaksa. Mesej semalam membuatkan aku sedar, siapa kata kami adik beradik tidak sayang antara satu sama lain? Cinta dan kasih kami lillahi ta'ala.

Jujurnya, aku rindu pada usik tawa dan gurau mesra bersama mereka. Aduh, mengapa mata ini berair pula?

Tahun hadapan insyaAllah giliran abang pula. Seorang lagi, dan aku perlu kuat dengan peraturan ini. Mereka masih abang dan kakak aku, bukan?

Giliran aku? Semahunya biarlah Abangme dahulu. Tidak mahulah langkah bendul sekali lagi seperti akak. Malu pula rasanya kalau begitu.

Iya, baru teringat. Dalam ramai-ramai tetamu tadi, ada seorang rakan sekolah rendahku dahulu, Hafiz. Ada bau-bau bacang juga dengannya. Lain benar rupanya sehingga hampir tidak kukenali. Mujur sahaja kakaknya menegurku. Kakaknya memberitahunya kewujudan aku disitu. Dia tersenyum, dan aku memaniskan wajah sebagai tanda hormat. Ketika aku sibuk bersama 'cendol tersayang', dia menegurku. Hanya sebentar cuma, dia sudah mahu pulang pun. Petroleum, bidang yang diambilnya di UTP. Agak kekok berbicara dengannya kerana sudah besar panjang begini. Malu, segan. Tetapi seperti biasa aku cuma berlagak 'macho'. Ah, bukan cerita mengenai dia aku mahu tuliskan di sini. Cuma selingan.

After all, that was such a wonderful wedding. Gambar malas lagi untuk diupload. Doaku, semoga berbahagia hingga ke syurga. Amin.

No comments: