Demi Masa

Friday, November 26, 2010

hanya di tv?

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan asma' Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku memulakan kalam. Semoga redhaNya bersama setiap bait kalamku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Biasanya sebelum aku menulis kalam, aku akan menjenguk updates terbaru dari blog yang aku follow. Alhamdulillah, tadi sambil menjenguk terdapat juga pengisian ilmu. Syukur.

Sekarang ini siang-siang agak sibuk, jadinya malam sahaja aku berpeluang menulis blog. Itupun jika terdapat keluangan masa atau ada idea yang bercambah. Jika tidak, aku biarkan sahaja blog ini sepi.

Usai subuh berjemaah tadi, aku mengambil sedikit waktu membaca kalamullah. Alhamdulillah masih punya waktu untuk mentadabbur kitab suci itu. Harapnya, sehingga ke hujung nyawaku, Al-Quran sentiasa menjadi peneman. Amin.

Dapat mendengar azan subuh dilaungkan merupakan satu kepuasan buat diriku. Terasa tenang, nyaman. Maklumlah, awal pagi diri kita masih bersih dari dosa seharian, laungan azan pun terasa mudah meresap masuk ke qalbu. Indah. Aku suka rasa itu. Dan aku sentiasa menunggu setiap fajar untuk mendengar lagi laungan suci itu, andai umurku masih panjang untuk subuh esoknya.

Pagi tadi juga, bagi melawan rasa mengantuk dan tertidur selepas subuh, aku menyusuri dunia maya ini. Membaca beberapa blog yang sempat disinggah. Entahlah, seperti membuang masa juga ya?

Ditakdirkan di satu blog yang aku lewati, aku membaca dari satu post ke satu post. Aku terbaca ayat ini:

"Perempuan cantik, baik, tinggi pendidikan agamanya, memahami lelaki dan pandai memasak? Ok. Itu cuma wujud dalam drama-drama tv. Seriously"

Kemudian aku pun:

"heh??"

Hairanlah juga. Ok, biarkan. Aku teruskan membaca di post yang lain. Click, click, click. Sampai di satu post.

"Hurm, no wonderlah encik!"

Jikalau mahu berjumpa lembu, pergilah ke kandang lembu. Kalau ke kandang kambing tidak pasti akan berjumpa atau tidak.

Jikalau mahu melihat mawar pergilah ke taman bunga, kalau ke zoo negara belum tentu ada. Jika ada pun sebagai hiasan dan dilarang sama sekali didekati.

Memang, ini ayat sinis. Aku tidak hairan mengapa dia tidak pernah berjumpa dengan perempuan yang aku kira sempurna itu. Jawapannya mudah, dia tidak pernah ada di mana perempuan-perempuan sempurna itu berkumpul. Perempuan-perempuan mulia ini berkumpulnya di majlis-majlis ilmu. Ukhuwah mereka adalah usrah. Keindahan mereka terjaga indah. InsyaAllah jodoh perempuan sempurna ini adalah lelaki yang sempurna juga. Amin.

Jika saudara tadi selalu melepaskan diri dari kegiatan kerohanian, alasannya kerana dirinya tidak 'baik', sememangnya tidak perlu hairan mengapa dia mengatakan perempuan yang sempurna itu hanya di televisyen. Aku berani mengatakan mereka wujud kerana aku pernah bertemu dengan insan yang boleh dikatakan perempuan sempurna itu. Percayalah, mereka wujud.

Aku? Belum mencapai taraf itu. Jauh lagi. Masih terlalu banyak kekurangan yang perlu diperbetul dan dibaiki.

Lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitu juga sebaliknya. Itu kata-kata Allah bukan?

Aku tidak berniat untuk merendahkan atau menjatuhkan maruah saudara tadi. Cuma aku mahu mengingatkan, diri sendiri dan semua yang membaca. Jadilah soleh/solehah dahulu barulah dambakan bakal pendamping hidup yang kita impikan.

Ini kisah lain pula.

Semasa sarapan tadi, terbukalah satu cerita, satu permasalahan sebenarnya. Seseorang mengadu kepada Ayah, anaknya sudah lama tidak pulang berjumpa dengan ibu bapanya. Apabila si bapa dan si ibu ke rumah anaknya, tidak dibukakan pula pintu, tidak dihiraukan mereka. Pendek cerita, kisah si Tenggang terjadi lagi.

Aku mendengar sedikit terkejut. Sungguh, aku tidak menyangka bahawa wujud juga manusia seperti itu. Jujur aku katakan bahawa aku hanya menganggap kisah si Tenggang itu hanya lakonan di televisyen. Ya Allah, aku minta dijauhkan dari sifat keji seperti itu.

Ummi dan Ayah berbincang. Aku dan Akak mendengar. Akak adakala mencelah. Aku seperti biasa hanya mendengar dan memerhati. Masih ingat ayat Ummi pagi tadi.

"Itulah yang risau tu, bagi anak belajar tinggi-tinggi. Bila sudah berpangkat besar, lupa mak bapak"

Uh, menusuk ke qalbu. Meresap dalam kepala otak. Ayah sambung dengan berpesan, kepada kedua kami.

"Kamu nanti esok jangan la. Lelaki ni, hubungan dengan mak bapak tak putus sampai bila-bila. Perempuan lain. Jangan buat kat suami macam tu"

Maksudnya jangan memutuskan hubungan suami kita dengan parents mereka. Urm, takut mendengar. Ya Allah, aku memohon sangat-sangat agar tidak tergolong dalam anak derhaka dan isteri yang derhaka. Amin.

Takut juga mahu berkahwin ni. Besar tanggungjawab sebagai isteri. Kena patuh taat kepada suami sahaja. Tiada lagi hubungan dengan ibu bapa.

Hurm, terdiam berfikir.

Wallahu'alam bissawab.


2 comments:

CIK M said...

perkongsian yang menarik. serius kte tertarik baca post ni. ehehe, pandai syakirah menulis. ayatnya pun best. apapun, thanks a lot! may Allah bless.

insya-Allah perkongsian ilmu yang bermanfaat ada perkiraannya di sisi Allah.

Ummu Humaira' said...

alhamdulillah, sumer idea menulis tu dtg dr Allah gak. segala pujian hny layak untukNya. harapannya, ad gak sikit2 yg dpt dijadikan iktibar buat yg membaca, lebih lagi utk dri sndri.

alhamdulillah gak andai ada yg bermanfaat dikongsi, syukran lillah.

:)