Demi Masa

Saturday, September 4, 2010

Ramadhan oh ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan namaMu Ya Allah, aku memulakan kalam. Sudah agak lama juga aku tidak menulis di sini. Sibuk sedikit dengan midterm exam. Alhamdulillah, dua paper sudah diselesaikan. Hanya tinggal empat sahaja lagi selepas raya. Harapannya agar dapat menggunakan cuti raya ini dengan study and revision tapi, entahlah, risau juga sifat malas itu menguasai diri. Minta dijauhkan, insyaAllah.

Alhamdulillah selamat sampai ke rumah lebih kurang pukul dua petang tadi. Syukur Ya Allah. Penat sedikit tetapi ada hal yang perlu diselesaikan dahulu malam ini. Memang awalnya bercadang mahu tidur awal, tetapi biarlah dahulu niat itu. Malam esok ya?

Jam sudahpun menjangkau 12:42 tengah malam. Gunakan sebentar masa yang ada ini dengan menulis blog.

Malam ini sudah memasuki malam ke 26 Ramadhan. Adakah lailatul qadar sudah berlaku atau malam tersebut berlaku pada empat malam yang bakal menemui kita nanti? Wallahu'alam bissawab. Yang penting,jangan kita pernah berhenti beribadat kepada Al-Khaliq. Ikhlaskan diri kita untuk terus menjadi hambaNya.

Muhasabah kembali diri kita, adakah kita beribadat kepada Allah kerana cinta kita kepadaNya dan mahu mencapai mardhatillah atau pun kita mengejar-ngejar ganjaranNya sahaja? Ikhlaskah kita jikalau begitu? Ayuh sama-sama kita renungkan, andai pahala dan dosa itu tidak diciptakan Allah, adakah kita akan tetap tunduk sujud kepada Allah?

Aku tidak tahu adakah soalan itu wajar ditanya. Tegurlah andai ini satu kesalahan. Aku masih jahil dengan ilmu-ilmu Allah. Masih banyak yang aku tidak tahu.

Ya, ramadhan semakin berlalu. Entahlah, ramadhan kali ini memberi makna kepada kita atau sebaliknya. Andai madrasah ramadhan ini telah berjaya mengubah diri kita menjadi lebih baik, alhamdulillah. Jika kita masih diri kita yang sama, alangkah ruginya kita. Tetapi lebih hinalah kita andai diri kita menjadi lebih teruk berbanding sebelumnya, na'uzubillahiminzaik.

Mahu atau tidak, ramadhan tetap akan berlalu. Marilah kita sama-sama menghabiskan waktu-waktu terakhir dalam bulan mulia ini dengan meningkatkan ibadat kepada Allah. Dan doaku, semoga dipertemukan lagi dengan ramadhan yang akan datang. Amin Ya Rabbal 'Alamin..

Wallahu'alam bissawab..

No comments: