Demi Masa

Tuesday, September 7, 2010

28 Ramadhan 1431H

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah. Semoga penulisanku sentiasa mendapat redhaNya. Juga aku berharap penulisan ini dikemudi iman. Amin.

Mencuri waktu sebentar petang-petang begini untuk menulis kalam. Waktu-waktu cuti di rumah begini rasanya tidak punya begitu banyak waktu untuk menulis. Setiap waktu ada sahaja perkara lain yang dibuat. Kadangkala berfaedah, tidak kurang juga yang kurang berfaedah. Astagfirullahal'azim..

Melihat buku-buku yang baru aku keluarkan dari beg semalam, belum lagi ditelaah sebenarnya. Semalam cuma diselak sedikit. Ah, berapa banyak waktu lagi mahu dibazirkan mujahidah? InsyaAllah, rancangan untuk mengulangkaji pelajaran akan aku laksanakan secepat mungkin dan dengan berdisiplin. Itu yang paling penting.

Melihat tarikh hijrah hari ini, Ya Allah, sungguh cepat masa berlalu. Ramadhan bakal meninggalkan kita dua hari sahaja lagi. Dan juga dua malam sahaja lagi untuk kita melihat masjid-masjid dan surau-surau penuh dengan hamba-hambaNya. Sedih apabila memikirkan bahawa ada dalam kalangan kita lebih menjadi hamba ramadhan berbanding tanggungjawab utama kita menjadi hamba Allah. Na'uzubillahiminzalik.

Tetapi lihat sahaja hakikat hari ini. Ketika ramadhan, semua berlumba-lumba menambah pahala dan meninggalkan jauh-jauh dosa. Namun habisnya ramadhan, semua kembali melakukan maksiat terhadap Allah. Di mana sebenarnya matlamat kita untuk menggapai mardhatillah itu?

Aku turut mengingatkan diri aku sendiri yang sering terlalai dan terleka.

Muhasabah kembali matlamat hidup kita di muka bumi ini. Jangan biarkan diri kita menjadi hipokrit, munafik! Astagfirullahal'azim. Ikhlaskan diri dan hati kita beribadat hanya kerana Allah Ta'ala. Jangan hanya beribadat bagai ketika bulan ramadhan sahaja. Ingat, kita milik Allah, bila-bila masa sahaja Allah boleh mengambil kembali nyawa yang dipinjamkan ini. Mahukah kita, ketika nyawa diambil itu kita sedang leka melakukan maksiat? Na'uzubillahiminzalik! Pastinya, tiada siapa mahukan begitu. Semua mahukan husnul khatimah. Aku, juga kalian.

Iya, tentulah kita sebagai insan punya iman yang ada naik turunnya. Namun itu bukan alasan untuk kita berasa selesa dengan kondisi taqwa kita sekarang. Sebagai makhluk kepada Al-Khaliq, tugas kita ialah berusaha untuk sentiasa meningkatkan iman kita. Di kala kita merasakan kita semakin jauh denganNya, kembalilah bertaubat kerana sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat.

Ayuh, kita sama-sama mempersiapkan diri untuk hari graduasi kita nanti! Semoga kita berjaya mencapai status graduan madrasah ramadhan yang cemerlang. InsyaAllah. Amin Ya Rabbal 'Alamin..

Wallahu'alam bissawab.

No comments: