Demi Masa

Saturday, September 25, 2010

itu.

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku kembali menulis di petang yang mendung ini. Semoga iman mengemudi penulisanku. InsyaAllah.

Alhamdulillah, tiga paper selepas raya berjaya disudahkan. Kini tinggal midterm drawing sahaja lagi. Rasanya tidak terlalu berat lagi otak ini. Fikiran kembali neutral.

Fuhh..Pergilah semua anasir yang mengganggu ketenangan ini. A'uzubillahi minassyaitanirrajim..Pergilah juga syaitan-syaitan yang direjam. Jangan cuba menggoda aku dengan helah. Biar aku kekal tenang dalam perjuangan ini.

Kerana 'itu' kah?

Betulkan kembali niat. Lekas mujahidah, tajdid niatmu sekarang! nawaitu lillahi ta'ala. Fuhh..Tarik nafas, dan hembus. Sedikit tenang, bukan?

Apa lagilah mujahidah ini mahu merepek di blognya ya? Maaf jika kebelakangan ini kalamku hanya kosong isinya. Masih menuntut ilmu untuk dikongsi bersama. Maaf, sekali lagi. InsyaAllah, akan kembali menulis perkara bermanfaat dalam beberapa waktu lagi.

Aduh, mengapa nada penulisan ini seakan-akan melankolik, seakan-akan lemah? Tukar, tukar! Kembali bersemangat, tolong.

Teringat pula pembelajaran dalam UNGS 2030: The Islamic Worldview, antara persoalan-persoalan yang asas dan penting untuk membina worldview seseorang ialah dari mana kita datang, ke mana kita akan pergi dan juga apa tujuan kita hidup. Kemudian aku menerapkan persoalan-persoalan tersebut ke dalam kehidupan seharian. Bermula dari celiknya mata dari bangun tidur, hinggalah pejam semula. Persoalan tersebut aku jadikan sebagai guideline.

Kehidupan sebagai seorang pelajar membuatkan aku perlu selalu untuk menganalisis persoalan-persoalan tersebut dalam setiap perbuatanku. Ya, kita datang dari Allah dan kepadaNya juga kita kembali. Justeru, keranaNyalah kita hidup dan kita mati. Niat apa lagi yang perlu diselitkan dalam perbuatan kita jika tidak hanya kerana Allah?

Huhh..Kembali memuhasabah diri. Aku mahu berkongsi pandanganku dengan kalian, tetapi tentulah lebih dekat lagi menasihati diri sendiri. Diri ini terlalu banyak khilafnya.

Setiap kali keluar dari bilik untuk ke kelas, aku segera pasangkan niat aku melangkah adalah untuk menuntut ilmu Allah dan hanya keranaNya. Seringkali juga, wujud bisikan halus dari syaitan untuk memesongkan niat itu. Jujur aku katakan, perjuangan ini tidak pernah mudah. Fitrah aku sebagai insan yang lahir bersama nafsu memang amat lemah tanpa bantuanNya. Terkadang aku kalah juga dengan nafsu sendiri. Itulah aku.

Aku cuba untuk menetapkan niat aku belajar hanya satu, iaitu lillahi ta'ala. Jika dahulu, niatku lebih kepada mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan hinggalah aku disedarkan ketika dalam satu program motivasi bahawa belajar itu biarlah kerana Allah.

Kenapa begitu ya?

Awalnya aku tertanya-tanya sendiri, salahkah jika tujuan kita belajar adalah untuk mendapatkan keputusan cemerlang? Bukankah itu perkara yang baik? Ya, benar. Tujuan tersebut sememangnya baik, tetapi kita terlupa kepada long-term goal kita. Kita hidup adalah kerana Allah, hanya keranaNya.

Begini. Jika tujuan kita belajar adalah untuk mendapatkan keputusan cemerlang, bagaimana jika keputusan yang kita dapat kurang memuaskan walau kita sudah berusaha sehabis baik? Pasti sekali kecewa yang teramat, bukan? Aku juga pernah begitu.

Tetapi, jika kita belajar ikhlas kerana Allah ta'ala, pastinya Allah tidak pernah mengecewakan kita. Ya, mungkin kadangkala keputusan yang kita dapat tidak seperti yang kita harapkan, tetapi percayalah ujian Allah itu datang bersama hikmah. Allah berfirman:
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?"
[Al-Ankabut 29:2]

Jika kita ikhlas dan redha dengan ujianNya, insyaAllah ganjaranNya amat besar sekali. Berbaik sangkalah dengan Allah kerana itu lebih baik untuk kita. Dan juga jangan pernah berhenti untuk meminta dan berdoa kepada Allah. Sungguh, Allah tidak memerlukan doa kita, tetapi kitalah yang amat-amat memerlukan Allah dan berdoa itu adalah tanda pengabdian kita kepadaNya.

"(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankanNya bagimu, "Sungguh, Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut""
[Al-Anfal 8:9]

Allah Maha Pengasih lagi Maha Mendengar doa hamba-hambaNya, sudaraku. Percayalah, Allah tidak pernah mengecewakan hambaNya yang berdoa. Sama ada lambat atau cepat sahaja doa itu dimakbulkan kerana Allah Maha Mengetahui bila waktu yang sesuai untuk kita menerima apa yang kita hajati itu. Maha Suci Allah!

Aku tidaklah sempurna. Aku cuma mahu mengajak kalian bersama-sama menuju cinta ilahi.

Baru-baru ini aku mendapat markah untuk dua paper yang diambil sebelum cuti raya. Tidaklah begitu teruk, cuma pastilah mengharapkan yang lebih. Terlalu banyak kecuaian yang dilakukan. Aku awalnya mengeluh juga. Cepat-cepat aku istigfar dan mentajdid niat yang semakin jauh tersimpang. Ya Allah, ikhlaskan dan redhakan aku dengan takdirMu. Amin.

Aku hanya manusia biasa, punya banyak kelemahan. Masih terlalu banyak untuk diperbaiki. Segala penulisanku ini yang baik datangnya dari Allah, yang kekurangan juga datang dariNya tetapi berlandaskan kelemahan diriku sendiri. Andai ada yang boleh dimanfaatkan, alhamdulillah, dengan sukacitanya. Jika ada yang perlu diperbetulkan, silakan menegur, insyaAllah sama-sama kita berpesan-pesan kepada kebenaran.

Aku akhiri dahulu dengan memuji Allah. Subhanallah, alhamdulillah, allahu akbar.

Wallahu'alam bissawab.

No comments: