Demi Masa

Saturday, June 5, 2010

semua rasa bercampur menjadi satu

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah masih diberi peluang oleh Allah untuk menghirup udaraNya dan masih mempunyai peluang untuk bertaubat atas dosa-dosa yang aku lakukan. InsyaAllah. Semoga kalamku kali ini terus mendapat redhaNya. Amin.

Agak lama juga aku tidak menulis. Sibuk jugalah walaupun masih bercuti. Tugasannya mengecat rumah dan mengemas apa yang patut. Rasa penat segera hilang apabila melihat hasilnya rumah yang tidak jemu mata memandang. Alhamdulillah.

Itu perihal rasa penat campur gembira.

Ayah demam sekarang ini. Aku teramatlah risau kerana ayah memang jarang demam, seperti aku juga. Maklum sendirilah, jika jarang demam pasti apabila demam sekali agak teruk. Ayah nampak lemah. Makan pun tidak lalu. Kasihan ayah. Mahu sahaja aku menggantikan tempatnya. Biar Allah memberikan demam itu kepadaku agar ayah tidak terbeban begitu. Namun pasti Allah tahu percaturanNya. Pasti. Ya Allah, sembuhkanlah ayahku. Berilah dia kekuatan untuk terus beribadat kepadaMu. Amin. Lagi aku kasihankan kerana cuti sekolah begini lagi ayah sibuk dengan tanggungjawabnya. Ya Allah, bantulah ayahku Ya Rabb. Amin.

Itu pula cerita risau dicampur kasihan dan kasih sayang.

Baca akhbar pula cerita tentang serangan ke atas Kapal Mavi Marmara banyak diperkatakan. Sambil membelek satu persatu berita-berita yang dimuatkan, akak bertanya, "Kenapa baru sekarang nak sedar yang Israel tu jahat? Selama ni tak de pulak nak buat demonstrasi camni." Aku dengan pantasnya menjawab, "Dah kena diri sendiri barulah nak sedar." Akak menjawab balas, "Nampak sangat takde sifat kebersamaan." Bukan tidak menyokong apa yang rakyat Malaysia lakukan sekarang ini, bukan juga tidak simpati terhadap rakyat kita yang ditahan Israel itu, cuma aku merasakan yang kita ini kurang sifat peduli terhadap saudara kita di Palestin itu. Mungkin kita anggap hanya gurauan. Sudah terkena rakyat Malaysia sendiri barulah kita sedar betapa kejamnya kaum yang digelar Israel itu. Pernah aku tertanya kepada diri (kerana tiada siapa yang ingin memberitahu) "Sudah amankah Palestin di sana? Tiada langsung khabar mengenai mereka" Sehinggakan mesej-mesej yang aku terima mengenai mereka juga aku fikirkan palsu. Iyalah di akhbar mahupun di berita tiada berita dari sana. Anggapanku mereka sudah tenang. Ah, sungguh pekak hatiku untuk menilai kebisuan itu. Mereka sebenarnya makin terseksa. InsyaAllah, mulai sekarang aku ingin mengambil tahu mengenai Palestin setiap hari (itupun jika ada yang ingin memberitahu).

Lagi satu yang aku musykilkan, berbaloikah kita berdemonstrasi sedemikian rupa, menghina Israel dengan kata-kata keji, membakar bendera mereka? Adakah terkesan kepada Israel laknatullah itu? Adakah mereka akan memberhentikan serangan terhadap Palestin saudara kita itu? Bukan aku ingin mengatakan perbuatan tersebut sia-sia, cuma aku terfikirkan kesannya sekali. Solat hajat itu lebih utama! Doa yang tidak pernah putus itu paling penting. Dan, jihadlah. Mari kita sama-sama berjuang dan membela agama Allah ini. Kita bantu saudara kita. Jika dipanggil untuk berjihad, aku tidak teragak-agak untuk menawarkan diri kerana aku amat mengimpikan syahid. Namun, fitrahku ini sebagai wanita, tidak semudah itu untuk pergi berjuang.

Aku harap pandanganku ini tidak disalahertikan. Satu lagi yang aku lihat dan perhati. Cara kita menghina Israel itu, begitukah cara Islam yang kita patut tunjukkan? Aku tidak mengatakan kita salah kerana mengutuk Israel. Siapalah aku untuk menghukum begitu kerana Allah sendiri pernah melaknat kaum tersebut. Aku cuma terpandang kata-kata itu, mungkin akan disalah erti oleh pihak bukan Islam dengan menganggap Islam ini agama yang kasar dan ganas. Islam ini suci, saudaraku. Pilihlah jalan yang lebih indah untuk itu. Segala-galanya ada cara yang terbaik disediakan oleh Islam. Itu pasti.

Ini kisah rasa simpati, prihatin, sedih, marah, geram dam cinta terhadap saudara sendiri.

Di sini aku ingin selitkan satu analogi yang aku pernah terbaca dalam sebuah artikel di internet. Siapa paling kejam?

Begini ceritanya:
Ada satu situasi untuk menentukan siapa yang paling kejam dalam kalangan tiga lelaki.

Lelaki pertama membuktikan kekejamannya dengan merogol seorang wanita. Dia pun berkata, "Akulah lelaki paling kejam!".

Lelaki kedua pula merogol, menyeksa dan membunuh wanita tersebut. Dengan angkuhnya dia berkata, "Tidak, akulah lelaki paling kejam. Lihat sahaja apa yang aku telah lakukan terhadap wanita ini!".

Lelaki ketiga lantas bangun dari duduknya seraya berkata, " Kamu berdua salah. Akulah paling kejam antara semua. Wanita ini adalah saudara perempuanku, kalian telah memperlakukannya seperti binatang, namun aku hanya melihat tanpa cuba menghalangnya. Ternyatalah akulah lelaki paling kejam!"

Fahamkan analogi tersebut. Lelaki pertama adalah Amerika, lelaki kedua adalah Israel manakala lelaki ketiga adalah kita, ummat Islam. Dan wanita tersebut adalah Palestin. Lihatlah siapa yang lebih kejam sekarang. Kita bukan? Saudara kita bertumpah darah membela agama sedangkan kita hanya melihat sahaja.

Ini peringatan untuk semua lebih-lebih lagi diriku sendiri. Semoga Allah mengampuni dosa kita selama ini. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama ummat Islam. Amin.

2 comments:

yong farehah said...

yes!!! pandangan kau same dgn pandangan aku!! XDD

Ummu Humaira' said...

hee~ sep2!
(^__^)