Demi Masa

Monday, June 28, 2010

Sabar, redha dan bersyukur

Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan namaMu Ya Allah, aku memulakan kalam. Semoga hidayah dan taufiqMu menuntun perjuangan ini. Aku masih berharap agar iman mengemudi penulisanku.

Alhamdulillah, sudah lebih kurang 19 tahun aku dipinjamkan Allah nyawa ini. Entah bila Dia akan mengambilnya kembali. Doaku, apabila saat itu tiba, aku sudah bersedia. Semoga aku mati dalam keadaan husnul khatimah. Amin.

Syukurku panjatkan ke hadrat Ilahi kerana selama umurku di dunia ini, aku telah belajar pelbagai perkara yang memanusiakan aku. Ya, diri masih berada dalam proses pembelajaran, dan tidak akan berhenti dari belajar. Aku masih belajar untuk mematangkan diri dan terus mencari pengalaman hidup. Jatuh dan bangun dalam kehidupan mengajar erti kesabaran, redha dengan takdir dan bersyukur dengan apa yang kita ada.

Mustahil jika seseorang mengatakan hidup dia mudah dan tidak pernah diuji. Allah berfirman:

"Kamu pasti akan diuji dengan hartamu dan dirimu. Dan pasti kamu akan mendengar banyak hal yang sangat menyakitkan hati dari orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan orang-orang yang musyrik. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang (patut) diutamakan."
[Ali Imran 3:186]

Itu janji Allah dan sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji.

Jangan pernah kita mengeluh dengan ujian Allah kerana Allah tidak akan menimpakan ujian buat seseorang hambaNya melebihi dari kemampuannya.

"Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan mendapat (seksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya..."
[Al-Baqarah 2:286]

Jadi mengapa kita perlu merasa lemah dan tidak berdaya dengan ujian Allah? Sedangkan Allah memberi janji bahawa kita mampu untuk menghadapi ujian tersebut. Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, nescaya Dia akan mengujinya dengan kesusahan"
Riwayat Al-Bukhari

Nah, kesusahan itu ada kebaikan di akhirnya. La tahzan wa la takhauf, ya akhi wa ukhti.

Sabar itu perlu disertai dengan redha. Ya, sabar dan redha itu kelihatan seperti sama namun tidak serupa. Sabar itu ertinya menahan diri dari mempersoal takdir manakala redha itu menerima takdir dengan sepenuh hati. Dapat lihat perbezaannya?

Ini pandanganku sahaja. Tidak ada nas untuk mensahihkan.

Sabar itu boleh menjadi racun jika dibiarkan tanpa ditemani redha. Racun itulah yang menjadi punca kepada dendam. Sungguh, dendam itu racun yang berbisa sekali.

Apabila sabar dan redha itu diamalkan, hidup akan menjadi lebih tenang. Apa yang dimaksudkan dengan tenang di sini ialah kita tidak akan merasa gundah dengan apa yang ditakdirkan buat kita. Hal ini kerana kita percaya bahawa takdir Allah itu sentiasa beserta dengan hikmah tersendiri.

Bersama sabar dan redha itulah akan melahirkan insan yang bersyukur. Insan yang tidak pernah lupa untuk berterima kasih kepada Tuhannya dengan segala nikmat yang diperoleh.

Setiap manusia itu dilahirkan dengan nafsu. Nafsulah yang selalu menghalang seseorang daripada perasaan bersyukur. Nafsu akan sentiasa berkeinginankan yang lebih daripada yang sepatutnya. Di sinilah fungsi iman untuk mengawal keinginan nafsu yang tidak pernah cukup itu. Iman yang kuat pasti berjaya melawan nafsu, manakala yang lemah akan tewas dan tunduk dengan kemahuan nafsu.

Benar, nafsu itu memang sukar dikawal. Kita sebagai manusia biasa mustahil berjaya menundukkan nafsu sepenuhnya. Namun itu tidak bermaksud kita perlu mengikut sahaja kehendak nafsu. Jika tidak berjaya menundukkan sepenuhnya, paling tidak kita berusaha sehabis baik untuk melawannya.

Tidak semua nafsu itu buruk. Terdapat juga nafsu yang baik namun perlu diuruskan dengan berhati-hati. Contohnya ialah nafsu untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Perlukah kita menundukkan nafsu tersebut? Tentunya tidak. Tetapi kita perlu mengawalnya agar tidak menjadi keterlaluan. Bagaimana yang dikatakan keterlaluan itu ialah, apabila nafsu yang baik itu dilakukan dengan taksub tanpa mengendahkan hukum syarak. Contoh mudahnya begini, masih dengan nafsu untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Seseorang terlalu berkemahuankan keputusan yang cemerlang hingga cuba untuk menipu dalam peperiksaan atau usaha yang dilakukan telah menjatuhkan insan yang lain pula. Cara begitu tentunya berlawanan dengan tuntutan Islam. Ringkasnya begini, segala apa yang dilakukan biarlah mengambil kira hukum syarak dan tuntutan Islam terlebih dahulu.

Syukur musuhnya ialah kehendak nafsu. Jika kita tidak mendapat apa yang diimpikan, berusahalah untuk bersyukur kerana itu lebih indah dari terus menyalahkan takdir. Fikirkan bahawa ada insan yang lebih teruk diuji dari kita. Dan jangan pernah lupa bahawa nikmat di dunia ini hanyalah sementara dan merupakan ujian buat hambaNya.

"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan di dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya."
[Ali Imran 3:185]

Sekali lagi aku ingatkan ini hanyalah pandanganku. Kemungkinan untuk melakukan kesilapan itu amat besar. Hanya Allah yang Maha Sempurna. Jadi, andai terdapat sebarang kesilapan, mohon agar ditegur agar aku tidak terus melakukannya dan tidak berada dalam kesesatan.

Wallahu'alam..

No comments: