Demi Masa

Sunday, April 11, 2010

Aku tak layak

Bismillahirrahmanirrahim..

Ya Allah, pimpinlah hati ini. Semoga penulisanku tidak melampau batasan.

Allah memberi peringatan lagi. Dan aku, entah berapa kali asyik mengabaikanNya. Astagfirullahal'azim..Ampunkan kelemahan diriku Ya Allah.

Cukuplah! Sudah berapa kali aku tertipu dengan dunia ini. Kenapa aku masih menjadi hamba kepada dunia? Ampunkan aku Ya Allah.

Entahlah, air mata yang mengalir itu ikhlas atau tidak untuk Tuhanku. Atau aku berpura-pura dan menipu diri sendiri? Aku sendiri tidak mampu menjawab soalan tersebut. Insaf apabila air mata itu mula mengalir, kemudian, aku lakukan dosa yang sama. Apakah makna taubat bagi diriku? Ah, aku terlalu menurut kata nafsuku sehingga iman hanya terperangkap di penjara hati. Kasihan iman..

Aku tidak mahu menjadi lemah. Aku tidak mahu bergantung harap kepada manusia. Biarlah segala harapanku, aku serahkan kepada Ilahi. Ya, sebagai manusia, macam-macam angan-angan dan harapan wujud. Sehingga kadang-kadang kita terleka dengan angan-angan sendiri. Nauzubillah. Sudahlah! Hentikan harapan yang kau gantungkan kepada manusia. Berserahlah kepada Rabb.

Ramai muslimah yang aku jumpa sibuk mencarii redha Ilahi, sedang aku leka dengan duniawi. Melihat mereka, aku dapat merasakan betapa jauhnya aku dengan Kekasihku. Pasti mereka gembira ketika bercinta dengan Kekasih Agung bukan? Dan aku tertipu dengan nikmat sementara.

Haih. Aku tidak mahu mengeluh cuma aku kesal dengan diri ini. Mulut sibuk berdoa semoga dekat dengan cintaNya, tetapi hati kadang-kadang tersasar. Amalan pula tidak setimpal dengan apa yang didoakan. Layakkah aku menagih cintaNya?

Aku belum layak berada dalam golongan solehin. Andai ditimbang amalanku sekarang, pasti berat di bahagian dosaku. Aku bimbang andai nyawaku ditarik sekarang. Amalan yang tidak seberapa ini belum tentu melayakkan aku untuk menghidu bau SyurgaMu, apatah lagi masuk ke dalamnya. Ya Allah, aku tidak layak untuk ke syurgaMu, namun aku tidak sanggup untuk ke nerakaMu. NerakaMu adalah tempat yang mengerikan. AzabMu sangat menakutkan. Entah, aku sedar atau tidak dengan hakikat itu kerana aku masih betah untuk melakukan dosa dan mengabaikan suruhanMu. Ya Allah, inilah hambaMU. Sering lupa dengan janjiMu.

Tidak! Aku bukan maksum. Diri aku banyak dosa. Ya, mungkin pandangan orang dengan cara pemakaianku akan menganggap aku seorang yang solehah. MasyaAllah, tinggi sangat darjat itu untuk aku. Aku tidak layak. Hakikatnya, kalau kita melakukan dosa dalam keadaan kita tahu benda itu berdosa, itulah dosa yang dasyat sebenarnya. Nauzubillahiminzalik. Iyalah, cuba lihat mereka yang jahil. Mereka tidak tahu yang mereka melakukan dosa. Orang yang tahu seharusnya mengingatkan mereka. Mungkin jika dikira-kira, dosa mereka lebih sedikit dari aku. Astagfirullahal'azim.

Adakah aku hanya bertopengkan wajah kebaikan, sedangkan hatiku busuk dan kotor? Nauzubillah. Ya Allah, aku mohon perlindungan dariMu. Peliharalah hatiku kembali. Ambillah hatiku. Aku tidak mahu hati aku terlepas kepada sesiapa selagi belum halal untuk aku. Jangan Ya Allah, Kau biarkan aku menentukan nasib aku sendiri. Aku tidak bijak dalam menguruskan diriku. Engkaulah sebaik-baik perancang. Aku percaya dengan takdirMu. Aku redha dengan kehendakMu. Ampunkanlah aku Ya Allah. Amin.

No comments: