Demi Masa

Wednesday, June 8, 2011

Kasih Sayang adalah Penawar

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak untukNya. Aku mengharap redhaNya me
ngiringi setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku titipkan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Sakit adalah kifarah dosa, insyaAllah. Itu yang aku pegang dan yakini. Sakit bukanlah musibah yang patut dikesali tetapi s
esuatu yang patut direnungi. Bayangkan, jika kita tidak ditimpa kesakitan berapa kali sangatkah kalian akan mengingati Allah? Berapa kerapkah kalian bersyukur dengan nikmat sihat yang Allah kurniakan? Tentu jarang sekali bukan? Aku juga begitu, aku akui. Astagfirullahal'azim.


credit: deviantart.com

Alhamdulillah, sekarang sudahpun berada di rumah berjumpa Ummi Ayah. Sakit luka ini terasa berkurang di saat melihat muka mereka berdua. Itulah nikmat kasih sayang, bukan? Dalam keadaan kaki aku begini, langkahku agak songsang dan perlahan sedikit. Lalu Ummi memimpin tanganku, berjalan perlahan-lahan menemaniku. Itu tanda kasih. Itu tanda cinta. Subhanallah.

*Senyum :)

Dua tiga hari kebelakangan ini entah mengapa mood aku sedikit terganggu. Terasa ketat pipi untuk senyum. Tidak tahu kenapa keadaan hormon begini, kitaran itu belum waktunya lagi. Mencari-cari jawapan dari kelmarin lagi. Sungguh, aku tidak pasti kenapa perasaan aku terganggu.

Mungkin juga sebab..

Hari Selasa lepas, satu situasi berlaku yang memerlukan untuk aku memilih. sepanjang perjalanan aku ke tempat pertemuan itu, hati aku berperang. Langkahku seperti serba salah untuk meneruskan perjalanan. Sambil melangkah, sambil perasaanku berdebat. Hebat. Namun aku tetap meneruskan langkah hingga sampai ke situ.

Sepanjang melangkah, niatku ditajdid setiap saat. Bimbang kalau-kalau syaitan meniupkan godaan halus dalam diri ini. Azan berkumandang, namun aku tetap terus melangkah ke situ biarpun imanku mengatakan berhenti. Pedih imanku di saat sampai ke situ kerana tewas pada keinginan sendiri. Air mata hampir menitis, atau sudah pun membasahi kelopak mata. Tanya seorang sahabat, "Kenapa ni?" Lidah aku kelu. Tidak mampu memberikan jawapan yang tepat kepadanya. Hanya senyuman dan mengatakan, "Tiada apalah."

Tidak mampu aku berlama di tempat tersebut, lalu aku mempercepatkan diri ke masjid. Mengadu segalanya kepada Ilahi. Dia Maha Mengetahui segalanya. Semoga diampunkan kekhilafanku. Memang menyesal kerana pilihan yang aku buat hari itu tidak tepat. Astagfirullahal'azim.

Dan selepas saat itu, aku selalu murung. Walau zahirnya aku masih mampu untuk senyum dan tertawa bersama rakan, hakikatnya itu sekadar lakonan. Palsu. Demi menyembunyikan perasaan sendiri ataupun untuk memujuk lara hati.

Iya, sekarang hatiku masih pilu. Aku pulang ke kampung halaman juga untuk menenangkan perasaan sendiri dan mencari jawapan untuk persoalan-persoalan yang bermain di fikiran.

Bukan aku melarikan diri dari masalah, tetapi mencari jalan untuk menyelesaikannya. Semoga Allah memimpin arah hidupku. Amin ya Rabbal 'alamin.

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia."
Ar-Ra'd [13:28]
Wallahu'alam bissawab.

No comments: