Demi Masa

Sunday, June 12, 2011

Syukur

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan bait-bait kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Mengharap redhaNya sentiasa bersama di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah. Ungkapan yang selalu terungkap di bibir kita. Namun sejauh mana kita benar-benar menghayati lafaz itu? Adakah ianya hanya ungkapan di bibir sahaja? Atau ia benar-benar lahir dari hati? Jawapannya ada pada kita, tepuk dada tanya iman.

Aku telah diamanahkan dengan sebuah nama yang membawa maksud cahaya kesyukuran. Tentunya harapan ayah dengan menamakan aku sebegitu agar anaknya kelak menjadi insan yang sentiasa bersyukur. Dan mungkin juga nama ini diberi tanda kesyukuran ayah kepada Pencipta kerana dikurniakan aku.

Apapun alasannya, nama itu satu doa. Seperlunya aku berakhlak seperti maksud namaku.

Kelmarin, ayah membawa aku ke kedai makan dan meng'order'kan makanan buatku. Aku hanya menurut. Sampai sahaja makanan itu di meja, baru aku tahu makanan itu tidak begitu mengikut seleraku. Aku hanya makan perlahan-lahan berusaha untuk menghabiskan agar tidak mengecilkan hati ayah. Namun makanan itu terlalu banyak. Aku dan Ummi terpaksa membungkusnya pulang. Harap-harap ayah tidak terasa dengan sikapku itu.

Dalam kereta aku memuhasabah diri sendiri. Makanan itu bukan tidak enak cuma tidak berapa kena dengan selera, itu sahaja. Kenapa aku tidak bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan untukku pada hari itu? Kenapa harus aku merungut di dalam hati? Astagfirullahal'azim.

Aku membayangkan keadaan orang yang lebih susah dariku. Terbayang aku wajah kanak-kanak di Tohoi. Bagaimana mereka sanggup memunggah sampah-sampah kami untuk dimasukkan ke dalam mulut mereka. Dan bagaimana mereka berkejar-kejaran di saat makanan dihidangkan kepada mereka. Dan aku? Memilih itu dan ini untuk makan. Mulia sangatkah aku jika dibandingkan dengan mereka? Aku juga manusia seperti mereka. Aku juga berasal dari air mani yang hina. Tiada apa yang lebih mulia aku berbanding mereka. Huh! Insaflah Syakirah.

Aku tersedar ketika itu. Nama bukan hanya sekadar untuk diletakkan di kad pengenalan hatta lebih dari itu. Nama itu untuk dihayati maksudnya, juga sebagai cerminan akhlak diri.

Istigfar aku di dalam hati menginsafi kekhilafan diri. Tekad kemas dipateri, "Aku mesti menjadi hamba yang sentiasa bersyukur!". Bukan untuk ketika ini sahaja tetapi selagi nyawa masih di jasad. InsyaAllah.

Menguntum senyum. Terima kasih ayah untuk makanan itu dan lebih lagi untuk nama yang diamanahkan ini.

*Senyum :)

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras."

Ibrahim [14:7]

No comments: