Demi Masa

Wednesday, April 13, 2011

Pelangi sesudah hujan

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali menukil kalam dengan menyebut nama Allah. Segala puji dan puja hanya layak untukNya. MilikNya segala di langit dan di bumi serta segala di antaranya. Selawat dan salam aku sertakan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Cuti sudah hari keempat. Satu masalah yang selalu berlaku cuti-cuti macam ini ialah tahap keimanan menurun. Bangun malam sudah liat, solat pun bukan lagi di awal waktu. Haih..itulah tahap iman manusia kan? Macam sinusoidal wave. Kadang-kadang menaik, kadang-kadang menjunam turun. Na'uzubillah. Ya Allah, aku mohon ditetapkan imanku. Amin.

Semester kedua di UIA sebenarnya sangat-sangat menguji. Dari awal-awal semester lagi fokus aku entah ke mana. Berapa kali aku cuba untuk tetapkan fokus dengan pelajaran, dan tiap kali itulah aku sering 'lost'. Akibat dari itu memang dapat didugalah carry mark jatuh, bayangan dean's list pula makin menjauh. Ouh, terus menjauh. Air mata memang banyak kali mengalir. Bukan kerana aku kecewa dengan keputusan peperiksaanku, tetapi kerana aku bimbang akan mengecewakan harapan ummi dan ayah. InsyaAllah aku boleh terima takdir yang Allah tetapkan untukku itu, tetapi mungkin insan lain tidak. Iya, pastinya aku tidak pernah menginginkan kegagalan tetapi jika disebabkan kesilapan sendiri aku redha.

InsyaAllah, aku redha segala apapun takdir Allah untukku dalam keputusan nanti.

Namun, hakikatnya ujian yang Allah timpa buat kita ada hikmah di sebaliknya. Allah mahu kita mengadu padaNya, Allah mahu kita bergantung padaNya, Allah mahu kita dekat padaNya. Benar, Allah mahu kita sentiasa kita mengingatiNya. Bukan Allah mahu kerana Allah perlu tetapi kitalah yang memerlukan semua itu.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?"
[Al-Ankabut 69:2]


InsyaAllah, ujian itu akan menguatkan iman kita. Ketika minggu peperiksaan menghampiri beberapa minggu sudah, memang perasaan takut itu semakin membuak-buak. Tidak keruan rasanya. Dek kerana terlalu risau itu, semua yang dibaca pun macam susah nak masuk. Fuhh..tenang mujahidah. Cara paling mudah dan berkesan ialah ambil wudhu' dan mengadu kepada Allah. Mengadulah segala-galanya pun. Allah Maha Mendengar, dan wajib yakin itu. Sungguh, ketika ditimpa masalah begitulah diri terasa selalu ingin bersama Allah. Semakin ingin rapat denganNya. Kerana itu, tidak usah dikeluhkan ujian yang menimpa kita kerana tanpa ujian kita tidak akan memahami makna sebenar menjadi hamba.

Memanglah jika diikutkan perasaan dan nafsu mahu menangis sahaja sepanjang masa meratapi carry mark yang kurang memberansangkan itu. Tetapi niat itu perlu ditajdid selalu, bukan? Iya, kembali aku mengingatkan diri bahawa aku belajar bukan untuk mendapat markah yang hebat-hebat dan dean's list semata-mata tetapi lillahi ta'ala! Aku akui memang sukar untuk mendidik diri ini untuk redha dan ingat dengan niat utama tersebut. Hampir setiap waktu aku berperang dengan diri sendiri supaya kembali kepada niat sebenar. Tajdid niat setiap hari. Payah, memang payah.

Tetapi aku dapat merasakan diri semakin hampir dengan Allah. Hati semakin bertaut dengan cintaNya. Setiap doa terasa sungguh-sungguh bergantung harap padaNya. Setiap sujud terasa begitu hina di hadapan Ilahi. Itu hikmah di sebalik ujian sebenarnya. Mungkin aku sudah terlalu lama merasa sombong di atas muka bumi ini. Kemudian Allah timpakan sedikit ujian agar aku kembali mengenal hakikat sebagai hamba.

Ya Allah, ampunkan segala khilafku, ampunkan segala kesombonganku menumpang hidup di atas muka bumiMu ini Ya Allah..Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Alhamdulillah, setiap peperiksaan aku lalui dengan mudah. Senyuman terukir di bibir lantaran kasih sayang Allah Yang Maha Agung itu. Sungguh, jika dihitung amalan ini pasti tidak layak menerima nikmat sebegitu. Hinanya aku di hadapanMu Ya Allah..

Soal keputusan yang bakal aku terima nanti aku redha. Tentunya ia bergantung juga kepada usahaku. Jika usahaku tidak setanding, belum tentu Allah akan memberikan yang lebih. Tetapi segala-galanya masih seratus peratus atas kekuasaan Allah. RahmatNya dan redhaNya mengatasi segalanya. Dan aku berharap aku mendapat yang terbaik berkat rahmat dan redha Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Amin.

Ya Allah ya tuhanku, sesungguhnya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, kecantikannya adalah kecantikanMu, keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.

Ya Allah, jika rezeki itu di langit, turunkanlah dan jika di dalam bumi, keluarkanlah. Jika sukar permudahkanlah, jika haram sucikanlah dan jika jauh dekatkanlah.

Berkat waktu dhuha, kecantikan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh. Amin, amin Ya Rabbal 'Alamin.


Indah bukan doa solat sunat dhuha? Mari, sama-sama kita amalkan sunnah ini.

*Senyum :)

No comments: