Demi Masa

Sunday, January 15, 2012

Payung Emas

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Mendamba redha Ilahi di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah masih diberi peluang bernafas dalam iman dan Islam.

Nur Syakirah Talha.. kamu lagi la favourite ustazah, rasa nak bagi borang utk isi jadi madu.. ha ha ha

Tepuk dahi aku baca komen balas dari Ustazah Suriyani sebentar tadi. Kelakar. Terus ingatan mengimbau kembali memori di tingkatan lima dahulu.

Waktu itu kelas Pendidikan Islam, belajar tajuk perkahwinan. Tajuk ini, semua mata segar-segar belaka. Semua bersemangat. Tambah pula pelajar lelaki, ketika tajuk poligami. Ustazah mulakan kelas dengan soalan, "Siapa pelajar perempuan yang mahu berpoligami?". Ada beberapa rakanku yang angkat tangan. Dalam dua atau tiga orang. Tentu sekali aku tidak termasuk dalam golongan itu.

"Kenapa awak sanggup poligami?"

"Saya tak kisah, asal saya jadi isteri pertama dan semua duit dapat kat saya."

Senget! Ini jawapan salah seorang kawan baikku. Ketika itu hati dia memang tiada langsung untuk bercinta-cinta bagai ini. Sekarang tidak pasti. Namun aku yakin, ini bukan maksud sebenar hatinya.

Ustazah ajar dan terus ajar, sampaikan ilmu tanpa lelah. Cuba mengubah persepsi kami yang perempuan terhadap isu poligami. Ustazah kata dia sanggup berpoligami, malah dia sanggup mencarikan calon untuk suaminya. Timbul rasa kagum di hatiku terhadap kerelaan ustazah.

Akhir pembelajaran ustazah ulang semula soalan pada awal kelas tadi, "Sekarang, siapa yang sanggup berpoligami?"

Lebih separuh pelajar perempuan dalam kelasku angkat tangan, namun tetap bukan aku. Ustazah tanya mengapa, dan aku tersenyum dan teragak-agak menjawab, "Saya tak sanggup berkongsi."

Habis kelas, ketika waktu rehat aku ke Jabatan Sains Sosial, mahu berjumpa dengan ustazah untuk submit assignment (sudah terlepas due date sebenarnya). Belum sempat membuka mulut sebab ustazah sangat garang, takut kena marah sebab lewat hantar kerja, ustazah utarakan satu soalan untuk aku, "Hah Syakirah, nanti isi borang jadi madu saya ye?"

Terkedu aku. Sudahlah aku tengah cuak, bimbang kena marah sebab lewat hantar kerja. Tiba-tiba diutarakan soalan berupa tawaran itu. Aku anggap main-main sahajalah. Tidak dianggap serius pun.

Kemudian, mahu dijadikan cerita. Ada satu waktu ketika cuti habis SPM tak silap, aku ada membaca sebuah buku, biarlah aku rahsiakan tajuk buku tersebut. Buku itu telah mengubah 180 darjah pendirianku terhadap poligami. Malah bukan buku itu satu sahaja, macam kebetulan pula banyak-banyak buku yang aku baca ada kaitan dengan poligami.

Jadi, pendirianku sekarang, poligami itu bukanlah satu masalah bagi wanita. Cuma cara suami menguruskan poligami yang selalunya membuatkan hati wanita parah.

Poligami sebenarnya boleh menyelamatkan ramai wanita. Dunia akhir zaman, wanita lebih ramai dari lelaki. Mungkin dengan cara berpoligami, seorang wanita dapat membela nasib seorang wanita yang lain.

Perkahwinan bukan berkaitan kasih sayang sahaja. Ia juga berkait dengan tanggungjawab dan saling membantu.

Mungkin lelaki-lelaki apabila membaca ulasan ini, hati mereka akan gembira. Jangan terlampau mudah gembira, akhi. Poligami pada zahirnya mungkin nampak indah bagi anda, tetapi hakikatnya anda menanggung dosa lebih dari seorang wanita yang menjadi isteri-isteri anda. Makin berat tanggungjawab anda. Dan lebih mudah pula kaki anda menuju ke neraka. Na'uzubillah.

Bagi wanita pula, mungkin akan mengatakan bahawa aku hanya mudah berkata-kata kerana aku berumahtangga pun belum. Memang, jujurnya aku belum tahu bagaimana kehidupan berumahtangga itu. Tetapi aku tahu bagaimana perasaan seorang wanita.

Biar betapa redha dan rela seseorang wanita mengatakan dia sanggup dimadukan, tapi jauh di sudut hati, hatinya memedih. Tidak ada seorang wanita pun yang sepenuh hati sanggup berkongsi cinta suaminya dengan wanita lain. Mungkin si suami hanya nampak senyumannya, tetapi di belakang suami, mungkin tangisannya tidak tertahan.

Sedangkan isteri-isteri nabi sendiri timbul perasaan cemburu sesama mereka. Inikan pula kami, wanita-wanita yang jauh untuk menyamai taraf seperti isteri-isteri baginda.

Mengenai payung emas pula, ada yang mengatakan isteri yang merelakan suaminya berpoligami akan mendapat payung emas di syurga kelak. Dan apa yang aku baca pula, itu semua tidak benar kerana tidak ada hadis atau apa-apa yang menyatakan hal ini. Allahu'alam.

Correct me if I'm wrong.

Iya, memang aku akan redha andai suami aku nanti mahu bernikah lagi, tetapi seperti ustazah juga, aku punya syarat untuk bakal isterinya. Syaratnya apa? Biarlah terus tersimpan di hatiku ini.

No comments: