Demi Masa

Tuesday, November 8, 2011

Korban dan Pengorbanan

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Semoga redhaNya sentiasa mengiringi setiap hembusan nafas dan gerak langkahku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Pertamanya, salam Aidiladha semua! Semoga kita lebih mengerti makna pengorbanan hakiki.

Ahad lepas, usai solat sunat aidladha Ayah suruh pergi semula ke surau untuk melihat ibadah korban. Mulanya aku malas. Ayah ulang semula khutbah yang dibaca, Imam Ghazali berkata kita melihat haiwan itu disembelih untuk mematikan sifat-sifat kebinatangan yang ada dalam diri kita. Sebagai kita untuk berfikir dan muhasabah. Akhirnya aku akur, hatiku juga rasa terpanggil untuk pergi.

Memerhati kerbau yang bakal dikorbankan hatiku terasa insaf. Kerbau itu bakal ke syurga, sedang aku belum pasti. Mendengar raungan kerbau itu di saat maut menjemput aku sekali lagi rasa sedih. Sungguh, kematian itu pasti. Abangme kata, "Kalau sedih kamu tak boleh makan daging tu." Tak, tak, aku bukan sedih kerana kerbau itu disembelih, memang air mata ini hampir mengalir, tapi bukan sebab itu. Aku sedih apabila mengenangkan kematian itu benar-benar memisahkan kita dengan dunia. Cukupkah amalanku andai nyawaku diambil sekarang? Allah..

Dalam kereta pulang dari PC fair petang itu Ayah mengajak kami untuk menghayati makna korban. Bagaimana Nabi Ibrahim begitu taat pada Allah sanggup menyembelih anak sendiri, teguhnya iman Siti Hajar apabila diperintah Allah Nabi Ibrahim meninggalkan dia dan anaknya di tengah padang pasir, begitu patuhnya Nabi Ismail yang sanggup disembelih kerana perintah Allah. Tiada sebarang kata atau pertanyaan dari mereka. Sami'na wa ato'na. Mampukah imanku seperti mereka? Muhasabah.

Oh ya, semalam 7 November 2011, genaplah usia Ayah 57 tahun. Pagi-pagi aku mengucap selamat kepada Ayah. Aku lihat Ayah sedang menangis ketika itu. Air mata Ayah membasahi pipi. Aku tidak bertanya kenapa. Keluar dari bilik Ayah, serasa aku yang mahu menangis. Ya, aku tidak tahan melihat orang menangis.

Sewaktu sarapan, Akak dan Abang Zeze pula mengucap selamat. Ayah kata, dia sangat bersyukur sempat merasai umur 57 tahun. Kami semua belum tentu. Kata Ayah lagi, umur kita bertambah sehari pun kita perlu bersyukur. Itu satu nikmat yang tidak terhingga dari Ilahi. Kita yang kadang-kadang terlupa untuk bersyukur.

Ayah jarang ku lihat menangis. Seingat aku baru dua kali yang benar-benar aku lihat Ayah menitiskan air mata termasuk semalam. Selalunya Ayah sorok dengan senyuman.

Itulah Ayahku, tidak pernah kenal erti lelah atau putus asa asalkan kami sekeluarga tidak hidup susah seperti Ayah dulu. Biar berhabis duit asalkan hidup kami terjamin. Ayah juga membekalkan kami dengan ilmu ukhrawi. Selalu mengingatkan kami kepada Allah. Ayah memang ayah terbaik.

Semoga Allah merahmati Ayah setiap waktu dan ketika. Ala doakan syurga untuk Ayah. Amin.

Ala sayang Ayah!


No comments: