Demi Masa

Thursday, July 1, 2010

Aku dan diriku..

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali mencatat kalam hidupku sebagai tatapan di hari-hari mendatang. Semoga redha Allah menemani setiap perjalanan hidupku. Dengan namaMu aku memulakan hariku, dengan namaMu juga aku mengakhirinya. InsyaAllah. Hari esok belum tentu aku masih dipinjamkan nyawa ini. Semuanya milik Allah. Hanya Dia yang berhak menentu segala. Aku hanya berdoa dan berharap.

Ya Allah, hidupkanlah aku selagi hidup itu baik untukku dan matikanlah aku jika itu lebih baik untukku. Amin.

Sedar atau tidak, hakikatnya setiap perlakuan kita sentiasa diperhatikan. Dia Yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui setiap apa yang kita cuba sembunyikan. Andai kita sedar hakikat itu setiap detik dalam hidup kita pasti keberanian untuk membuat dosa itu tidak wujud. Pastinya setiap gerak geri kita dilakukan penuh tertib. Tentunya masa yang diamanahkan olehNya kita penuhi dengan beribadat. Tentunya kelima-lima deria kita digunakan untuk membuat kebaikan.

Ironinya, kita tidak peka mengenai hakikat itu. Kita dilahirkan dengan sifat pelupa. Inilah makhluk yang digelar insan. Inilah hakikat diri yang sering terlupa..

Itulah hakikat aku dan diriku. Tidak pernah terlepas dari melakukan dosa. Entah-entah setiap waktu yang diamanahkan oleh Allah, telah aku habiskan dengan perkara lagha. Na'uzubillahiminzalik..

Aduhai diri, zikrullah wa zikrulmaut! Ingatlah Allah dan ingat kepada mati! Pasti sifat alpa itu akan berkurangan. Aku berharap dan terus berharap, hanya padaMu.

Terfikir pula beberapa kecederaan yang aku alami. Pernah aku mendengar ustazah aku berkata bahawa jika kita terluka atau tercedera itu mungkin salah satu cara Allah ingin menghapuskan dosa kita. Andai itu yang sedang aku alami, alhamdulillah. Aku redha dengan apa yang Engkau uji aku saat ini.

Ya Allah, andai musibah yang menimpaku itu merupakan kafarah kepada dosaku, aku mohon ampunkanlah dosaku. Ya Allah, andai musibah itu merupakan ujian daripadaMu, aku mohon tabahkanlah aku menghadapinya. Hanya kepadaMu aku menyembah dan hanya kepadaMu aku memohon pertolongan. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

No comments: