Demi Masa

Friday, July 30, 2010

Zikrulmaut

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan menyebut nama Tuhanku, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku panjatkan kesyukuran kerana masih berpeluang untuk menghirup udara milikNya. Semoga aku terus amanah memegang tanggungjawab sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Semoga redha Allah sentiasa menemaniku. Amin. InsyaAllah.

Beberapa hari kebelakangan ini, semakin banyak aku terfikir tentang mati. Ya, memang kita perlu mengingati mati setiap masa. Cuma, kali ini aku semakin merasakan kematian itu semakin hari semakin dekat denganku. Bukan aku meminta untuk mati, tetapi andai sudah tiba waktuku, aku mohon agar aku sudah bersedia dengan bekalan untuk ke akhirat sana. InsyaAllah.

Melihat-lihat diri ini terasa hina sungguh untuk berhadapan dengan Ilahi. Tidak layak untuk aku menagih cintaNya dan syurgaNya, namun aku juga tidak sanggup untuk menghadapi azab neraka yang maha pedih itu.

Sungguh, aku amat takut untuk menghadapi mati dengan keadaanku begini. Selalu juga dengan tiba-tiba memori ini teringat semula dosa-dosa lepas. Kemudian aku berfikir bagaimana pula 'video' amalan yang bakal ditunjukkan kepadaku nanti? Ya Allah, aku amat berharap rahmatMu.

Terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan. Andai ditimbang, tentu tidak setara dengan amalan kebajikanku. Ya Allah, aku memohon ampunkan segala dosaku. Amin.

Aku berfikir-fikir lagi, entah bagaimana keadaan aku saat malaikat maut hendak mencabut nyawaku nanti. Aku amat takut andai nyawaku dicabut ketika aku sedang leka membuat maksiat kepada Allah. Ya Allah, andai Engkau hendak mengambil nyawaku, ambillah ketika aku sedang khusyuk beribadat kepadaMu, janganlah ketika aku sedang lalai dari mengingatiMu. Amin.

Jujur, diri ini amat lemah. Selalu tertewas kepada nafsu. Selalu tergoda dengan hasutan syaitan. Juga selalu tertipu dengan nikmat dunia. Kerana yang selalu itulah, diri ini mengharap sifatMu Yang Maha Pengampun Ya Allah, supaya diampunkan segala kekhilafan diri ini. Amin.

Teringat aku kepada orang di sekelilingku. Entah sudah berapa banyak hati yang telah aku lukai. Entah berapa banyak perasaan pula yang telah aku guris. Semua dek kerana kelemahan diri ini.

Ummi dan Ayah, redhakah kalian denganku? Redhakah aku menjadi anak kalian? Berjayakah aku menjadi penyejuk mata dan penawar hati kalian, sedangkan aku selalu mengguris hati kalian?

Ummi, Ayah.. Ala mohon keredhaan ummi dan ayah dalam kehidupan ini. Hanya dengan redha ummi dan ayahlah, Ala mendapat redha Allah. Ala mencuba yang terbaik untuk menjadi anak yang solehah, namun dek kerana diri yang serba kekurangan ini, Ala selalu mengguris hati ummi dan ayah. Ummi, Ayah..Maafkan Ala, dan redhailah sepanjang kehidupan Ala di muka bumi Allah ini. Doakan yang terbaik untuk Ala.

Abang, Akak, Abangme.. Ala juga mencuba untuk menjadi adik yang terbaik buat kalian. Ala cuba untuk menghormati kalian seperlunya. Namun kerana keegoan dan kelemahan diri, Ala selalu gagal menunjukkan perasaan kasih dan sayang Ala kepada kalian. Sungguh, Ala tidak berpura-pura, Ala amat kasih dan cinta kepada kalian, lillahi ta'ala. Tanpa kalian, tentu hidup Ala tidak seceria ini. Terima kasih Abang, Akak, Abangme. Redhai hidup Ala bersama kalian.

Sahabat, aku tidak pernah jemu bersama kalian. Kalianlah penghibur di kala aku kesedihan. Kalian jugalah pencucuk semangat apabila aku terasa jatuh. Kalian selalu mengingatkan aku kepada cinta Allah. Kerana dengan cinta Allah sahajalah, aku dapat merasai cinta kalian. Maaf ku mohon kerana diri yang lemah ini gagal menjadi sahabat yang baik untuk kalian. Maaf juga kerana aku terkadang terlupa untuk mengucapkan cintaku kepada kalian. Hanya yang ku mahu, kalian tahu bahawa aku amat bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan aku sahabat seperti kalian. Aku amat berharap agar kalian meredhai aku sebagai sahabat kalian.

Kamu, kamu yang membaca ini. Sama ada kita pernah mengenali atau tidak, aku tetap menghargai kesudian kalian untuk membaca blog yang serba kekurangan ini. Membaca kisah-kisah diriku yang kadang di landasan mardatillah, juga terkadang tersasar keluar darinya. Andai kita pernah mengenali, aku memohon maaf andai aku pernah menyakiti kalian. Aku berharap dihalalkan segala yang telah kalian berikan kepadaku, makanan, minuman, ilmu juga kasih sebagai saudara seakidah. Kepada yang tidak pernah dikenali, aku mohon ampun sekiranya terdapat penulisanku yang mengguris perasaan kalian. Semua itu khilafku. Kamu, redhailah aku sebagai saudaramu.

Hatiku, cintaku, diriku, nyawaku semua milik Allah. Bila-bila sahaja Allah akan mengambil semua yang dipinjamkan kepadaku. Mati itu juga bila-bila sahaja akan datang menjemputku. Entah ini adalah kalam yang terakhir atau tidak. Andai esok bukan milikku, seperti yang aku nyatakan sebelum ini, redhailah kehidupanku bersama kalian di atas bumi Allah ini. Andai esok aku masih diberi peluang untuk bernafas,
insyaAllah, aku akan terus menulis, menceritakan kisah kehidupan seorang mujahidah. Semua itu adalah rencana Ilahi. Tiada siapa pun mempunyai pengetahuan mengenainya.

Aku menutup kalam dengan istigfar dan hamdallah. Semoga redha Allah bersamaku, juga kamu. Amin.

Wallahu'alam..

No comments: