Demi Masa

Sunday, October 2, 2011

Ya Allah

Bismillahirrahmanirrahim.

Semoga arwah Opah ditempatkan bersama golongan hambaMu yang soleh dan solehah. Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Sudah dua minggu Opah kembali ke rahmatullah. Balik kenduri Afnan dan menuju ke sebuah lagi kenduri di Bagan Serai dapat panggilan daripada Pak Cik. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.

Terkedu. Aku terus senyap.

Aku kagum melihat Ayah begitu redha. Walaupun sesekali aku lihat juga mata Ayah menakung air. Tetapi masih mampu tersenyum demi tidak melemahkan adik-adiknya yang lain.

Tok juga tidak aku lihat air matanya menitis. Walau jelas pada wajahnya yang sugul sedih atas pemergiaan isteri tercinta. Sebelum dikafankan, kami semua mencium wajah Opah. Ciuman Tok paling lama sekali. Air mata aku tidak tertahan ketika itu. Terharu melihat begitu dalam cinta mereka. Mungkin sahaja lebih 60 tahun hidup bersama. Semoga cinta mereka kekal hingga ke syurga. Amin.

Pertama kali aku kehilangan keluarga yang dekat. Pertama kali juga aku mengikut ke kubur untuk pengebumian. Dan pertama kali aku mengikuti ketika talkin dibacakan. Sebak aku mendengar Ayah membacakan talkin untuk ibunya tercinta. Opah mempunyai 5 orang anak lelaki, dan yang bongsu seorang perempuan. Melihat semua anak-anak lelakinya bersama-sama mengebumikannya, hati aku berfikir sendiri. Tentu Opah bahagia di sana andai semua anaknya ini mendoakannya dan sentiasa menyedekahkan amalan untuknya.

Aku juga nanti mahu anak-anak aku yang menguruskan jenazahku. InsyaAllah, andai aku sempat hidup mempunyai zuriat.

Balik urusan pengebumian, Tok cuba untuk senyum. Namun aku dapat tahu, senyuman Tok hanya dipaksa-paksa. Walau apapun, Tok suami yang baik. Tidak pernah culas menjaga Opah ketika Opah sakit. Subhanallah, cinta mereka sungguh kerana Allah.

Walau aku tahan untuk tidak menangis, tetapi aku hanya insan lemah. Adakalanya air mata aku mengalir juga. Dan sekarang tiba-tiba aku rindu arwah Opah. Hanya aku mampu sedekahkan Al-Fatihah.

Air jernih yang mengalir segera diseka. Setiap yang hidup pasti mati, mujahidah..

No comments: