Demi Masa

Friday, October 21, 2011

Aku Akan Terus Di Sini

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan asma' Allah aku mulakan kalam. Mengharap redhaNya. Selawat dan salam buat junjungan mulia.

Alhamdulillah, masih mampu bernafas hingga ke hari ini.

Seminggu ini sangat hectic. Kelas dari pagi sampai lewat petang. Sambung pula hingga ke malam, ada sahaja programnya. Kelas, meeting..macam-macamlah! Jujurnya, kadang-kadang hadir juga rasa tertekan segala, lalu aku paksa untuk senyum. Bukan aku mahu katakan aku seorang yang positif, jika aku positif takdelah aku sampai boleh stress, bukan? Sebab hampir-hampir caj negatif itu menguasai dirilah aku paksa diri untuk senyum semoga caj positif akan kembali memenuhi saluran darahku. Alhamdulillah, cara ini sedikit sebanyak berhasil.

Pernah juga, rasa diri mahu putus asa. Mahu tinggalkan sahaja semua. Tetapi kembali iman di dalam hati bersuara, Allah tidak pernah menguji hambaNya di luar kemampuan. Aku senyum sendiri lagi.

Bayangkanlah, dalam kelas sepatutnya sekurang-kurang 80% perhatian aku patut berikan tetapi sebaliknya yang berlaku. Entah iya 20% yang berbaki itu aku gunakan sepenuhnya atau tidak. Bila teringat harapan Ummi dan Ayah, aku jadi bersalah. Adakah aku khianat pada amanah aku sebagai pelajar dan seorang anak? Astagfirullah, khilaf.

Markah kuiz, bukan semuanya memuaskan. Banyak sangat yang teruk. Kawan-kawan cakap, "Sabar, Syak". Aku tersenyum. Tidak sahabat, aku tidak sedih langsung. Aku yakin dengan prinsip, "What you give, you get back". Usaha aku memang hanya berbaloi dengan markah itu, wajarkah untuk aku meratap kerana tidak mendapat markah lebih? Malah, jika ada kuiz yang aku dapat markah yang lebih dari apa yang aku sangkakan, aku jadi takut. Memang itu nikmat, tetapi aku selalu beringat ujian berupa nikmat itu lebih payah dari ujian berupa musibah.

Jadi setiausaha untuk Tex-C, entah, aku rasa aku tidak menjalankan amanah dengan sehabis baik. Ampunkan aku Ya Allah. Ada juga terdetik, kenapa aku terima tanggungjawab ini? Tetapi kembali, iman aku mengingatkan, Allah tahu apa yang kita tidak tahu. Rasa mahu meninggalkan amanah, tetapi tidak mungkin. Bukan namanya Syakirah, jika itu yang dibuatnya.

Aku bukan mahu katakan aku seorang yang berdedikasi dan sebagainya, tetapi memang sudah sebati agaknya dengan diri aku, jika diberi tanggungjawab, jalankan sehabis daya, biarpun diri sendiri yang teraniaya. Entah, memang jasad aku minta untuk tidak mendera diri tetapi memikirkan sesebuah amanah itu akan dipertanggungjawabkan kelak, aku biarkan jasad menjerit.

Dan aku juga tidak mampu untuk mengata tidak jika ada yang ingin memberi tugas baru kepadaku. Jadi jika kasihankan saya, tidak perlu berikan saya apa-apa tugas. Bolehkah begitu? haha!

Baiklah, bercakap soal kuiz tadi. Kadang-kadang aku risau dengan diri sendiri. Boleh pula tidak punya rasa apa-apa tika mendapat markah rendah. Terlampau positifkah? Pernah juga aku terfikir mungkin hati aku sudah kering. Na'uzubillah.

Apa-apa pun yang berlaku, aku tidak akan berhenti dari perjalanan yang aku pilih ini. Aku akan terus di sini, meneruskan apa yang telah dimulakan.

Dan kepada sahabatku, iya, aku akan terus di sini. Tidak ke mana-mana.

*Senyum :)

p/s: Seronok tadi first time dukung Ilhan Syamil. Mula-mula taku nak pegang sebab di tu lembut lagi. Tapi Akak paksa juga. Seronok bila dah pandai pegang. Yeay, dah boleh kawen! hahA!

No comments: