Demi Masa

Sunday, August 18, 2013

Allah Tak Pernah Menzalimi HambaNya

Bismillahirrahmanirrahim.
 
 
 
"Kita kena lakukan pembedahan juga."
 
Allahu Rabbi. Rasa seperti seketul batu besar dibaling ke arahku. Berita itu bukan sesuatu yang kami harapkan.
 
Air mata aku tahan. Jangan biar ia mengalir depan Ummi dan Ayah. Aku kena kuat untuk mereka.
 
"Risiko memang tinggi sebab tumor tu hampir dengan saluran darah. Mungkin nanti kita kena ganti saluran darah yang baru. Tapi insyaAllah, faedahnya lebih besar dari risikonya."
 
Kuat Syakirah, kuat! Aku terus diam membisu. Cuma jasadku berada di bilik itu. Fikiranku entah ke mana. Yang pasti, jangan menangis!
 
Keluar beriringan dengan Ummi mahu segera pulang dari PPUM. Ummi menggenggam tanganku. Aku tersedar dari lamunan. "Ala jangan sedih, apa-apa jadi kita kena redha."
 
Aku cuba untuk memaniskan wajah, tapi seakan aku sudah lupa bagaimana caranya untuk senyum. Aku pegang erat tangan Ummi. Aku rapatkan tubuh. Seakan aku tidak mahu sesaat pun berjauhan dengan Ummi.
 
Sepanjang perjalanan pulang, aku banyak berdiam diri. Tapi aku berjaya berlakon seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Kalau berbicara pun aku pilih topik yang tidak berkaitan langsung dengan hal tadi.
 
Aku tahu, sebagai hamba aku wajib redha dengan ketentuanNya. Tapi sebagai manusia, memang fitrah aku akan bersedih.
 
"Ummi kesian kat Syakirah lah nanti. Takpe, dia dah besar kan?"
 
Air mata hampir jatuh tapi mesti ditahan.
 
"Ayah lagilah, dah hidup dengan Ummi 30 tahun lebih dah."
 
Suara Ayah serak menahan sebak.
 
Kami bukan menangis kerana mempersoalkan takdir. Tangisan ini kerana fitrah kami hanya manusia.
 
Kanser Thymoma Ummi memang sudah di tahap 4. Hasil rawatan chemotheraphy hanya mampu mengecilkan tumornya sahaja. Kerana bimbang cancer cell itu kembali aktif, doktor mengesyorkan supaya dibuang.

Aku tahu, mati itu pasti, hidup itu ditangan Allah. Tapi aku mohon hadirkan kematian itu di saat kami benar-benar mampu menghadapinya. 

Pembedahan Ummi dijadualkan pada 27 Ogos ini. Memang cepat. Tak sampai dua minggu pun. 

Sejak hari Khamis lepas, pulang dari PPUM itu aku tahan air mata ini. Cuma sekali aku menitiskan air mata, itu pun di bilir air. Aku cuba sedayanya untuk tidak menunjukkan lemah di hadapan Ummi. Aku mahu Ummi terus kuat dengan semangat anak-anaknya.

Tadi semasa bersalaman dengan Ummi dan Ayah sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Ummi Ayah berpesan doakan Ummi. Ayah sebak, mengalir air mata. aku cuma menahan rasa itu. Hilang sahaja Ummi dan Ayah dari pandangan, air mata mengalir selajunya ketika aku sendirian dalam kereta. Biarlah apa orang luar nak kata. aku dah tahan air mata ni lama, tahu?

Doa aku sentiasa buat Ummi dan Ayah. Cinta kami sampai ke syurga. InsyaAllah.
 
 

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);"

[Al-Mulk 67:2]
 
 
 
 

No comments: