Demi Masa

Thursday, July 25, 2013

Istikharah Qurratu'ain

Bismillahirrahmanirrahim.



"Assalamu'alaikum ukhti, ana mewakili rakan ana yang mempunyai hajat kepada ukhti. Anti sudah punya pilihan hati ke? Kalau belum insyaAllah kawan ana akan lanjutkan dengan bertemu wali anti."

Qurratu'ain Binti Adam terkejut menerima SMS tersebut. Dia yang sedang menelaah untuk peperiksaan akhir semester minggu hadapan hampir-hampir terjatuh pensel di tangan.

'Allah, dugaan apa pula ini? Kenapa mesti datang ketika aku belum bersedia?'

Kebetulan Asar menghampiri, Qurratu'ain bangkit dari meja belajarnya dan menuju ke bilik air. Mempersiapkan diri untuk menghadap Ilahi. Dan juga memperoleh kekuatan dari Ilahi untuk menjawab SMS tadi.

Usai Asar Qurratu'ain memanjat doa supaya Allah membantunya untuk membuat tindakan yang tepat. Dia sendiri tidak pasti sama ada patut dibalas atau tidak SMS tersebut. Bimbang juga kalau ada yang sekadar menguji. Bimbang ada yang lansung main-main. Bimbang juga tindakan lanjutnya nanti tersilap.

Allah memberinya ketenangan untuk membalas SMS tersebut. Dia yakin Allah akan melindunginya dari sebarang keburukan. Keyakinan itu yang memberanikan dia untuk menaip SMS balas.

"Wa'alaikumussalam. Sebelum ana jawab soalan kawan anta, ana mahu tahu sudahkah kawan anta istikharah sebelum benar-benar berani bertanyakan ini?"

"Kenapa perlu istikharah kalau dia yakin dengan hatinya sendiri?"

"Untuk bezakan antara pilihan hati dan pilihan Ilahi, akhi."

"Ana tak pasti bagi pihak kawan ana. Bukankah istikharah itu patut dari pihak anti nanti ketika mahu memberi jawapan?"

"Lebih bagus dari pihak kawan anta pun beristikharah, baru tahu sama ada dia mengikut kata hati atau rasa dari Ilahi. Suruhlah dia istikharah dulu. Selepas benar-benar mantap, tanyakan kembali soalan tadi. InsyaAllah ana akan menjawabnya selepas itu. Allahu'alam."

"InsyaAllah, akan ana sampaikan pesan anti itu. Salam'alaik."

Qurratu'ain lega dengan tindakannya. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu memikirkan jawapan balas dalam waktu terdekat ini. Dia benar-benar mahu fokus pada peperiksaan akhirnya. Maklumlah ini pula semester terakhirnya di bumi Gombak ini, insyaAllah. Tambahan pula dia masih belum bersedia untuk berfikir hal berkaitan pernikahan ini. Cita-citanya masih menggunung tinggi. Ilmunya terasa masih sedikit hingga dia masih dahaga untuk terus menuntut ilmu.

Selang beberapa minggu, cuti semester pun bermula. Qurratu'ain sudah selesai menjawab semua peperiksaan. Dia bersiap-siap untuk pulang ke kampung halaman untuk berbakti kepada ayahanda dan bonda pula. 

Sedang dia mengemas bilik, telefon bimbitnya berbunyi tanda ada SMS masuk.

"Assalamu'alaikum ukhti, kawan ana dah mantap istikharahnya. Dia menunggu jawapan saudari. Kalau saudari belum punya pilihan hati dia akan lansung bertemu dengan wali anti."

"Wa'alaikumussalam, alhamdulillah dia dah dikuatkan dengan istikharah. InsyaAllah, ana belum punya pilihan hati. Siapa kawan anta itu?"

"Jadi saudari boleh terima kawan ana? Boleh berikan nombor telefon wali anti? InsyaAllah kawan ana akan terus hubungi wali anti cuti nanti. Nama kawan ana Muhammad."

"Tunggu istikharah dari ana. Kalau ana yakin dengan hati ini, ana sendiri akan berikan nombor telefon ayah ana."

"Istikharah? Lagi??"

Qurratu'ain tersenyum. Biarlah orang nak kata dia tak yakin dengan diri sendiri kerana asyik beristikharah. Padanya, keputusan dari Allah itu lebih meyakinkan. Dia punya rasa hati sendiri, tapi dia mahu lebih yakinkan rasa itu dengan keyakinan dari Ilahi. Semoga Allah redha.

No comments: