Demi Masa

Tuesday, February 15, 2011

Sesegar Haruman Ukhuwah

Bismillahirrahmanirrahim..

bayu lembut menghembus di pipi
lambaian dedaun setia mengikut rentak
bisikkan rinduku, kasihku kepadanya
kerana cintaNya kita bertemu
kerana ukhuwah kita bersatu
teman,
perjuangan ini tidak pernah mudah
jihad ini memerlukan mujahadah
teguhnya kita kerana sepakat
sepakat membela agama Allah
kerana dakwah itu amanah.

Dengan asma' Allah aku mulakan kembali menukil kalam yang sekian lama terhenti. Mengharap redha Allah di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Siapa kata kita tidak boleh menyambut Hari Kekasih? Apalah guna kita mencintai andai tidak boleh meraikan hari yang istemewa itu? Hari itulah kita mahu mengekspresikan kecintaan kita kepada Kekasih kita. Ya, aku benar-benar maksudkan di sini, tidak ada salahnya kita menyambut hari kekasih. Dan aku tidak akan berubah pendapat. Teguh.

Masalahnya sekarang adalah siapa kekasih kita sebenarnya? Definisi cinta itu sendiri kita tersilap, apatah lagi untuk tersilap meletak hati kita kepada siapa. Bulan ini memang bulan cinta. Bulan menzahirkan rasa cinta kita kepada Kekasih Agung kita, Rasulullah SAW. Nah, itu di sebenarnya Kekasih Agung. Setelah hati ini milik Allah, Rasulullah adalah yang sepatutnya menduduki tempat kedua di hati kita. Teringat sebuah hadith:

"Tidak beriman seseorang mukmin itu selagi aku tidak dicintai melebihi ayahnya sendiri, ibunya sendiri, anaknya dan seluruh umat manusia"
[maksud hadith]


Harap diperbetulkan andai tersalah dimana-mana.

Alhamdulillah kerana sepanjang berada di bumi UIA ini majlis ilmu ada di mana-mana. Bulan cinta ini terasa meriah disambut oleh semua. Dua hari lepas sempat aku meluangkan masa menonton teater muzikal Islam "Cintaku Milik Siapa?". Bagus jalan ceritanya. Menanam cinta kepada Allah dan Rasulullah melebihi segalanya. Iya, cintaku milik Allah dan kemudian Rasulullah.

Semalam pula berkesempatan hadir di forum "Pemilik Cintaku". Panjang lebar dibincangkan soal cinta. Moderatornya adalah Saudara Faiz, President ENMSS. Manakala speakernya terdiri daripada Ustaz Amiril, salah seorang peserta Imam Muda dan Umi Rosmawati, Pengasas Raudhatus Sakinah. Alhamdulillah, program-program seperti ini sedikit sebanyak berjaya menyuntik rasa cinta kita kepada Al-Khaliq dan kekasihNya, Rasulullah SAW.

Seronok sangat kerana semester ini aku berkesempatan untuk melalui semua ini. Juga alhamdulillah kerana berpeluang menyertai Daurah Mentoring VIM. Rindu pada usrah ketika di sekolah dahulu sedikit sebanyak terubat juga. Teringat perbincangan pada minggu pertama dahulu mengenai sahabat sejati. Antara pendapat yang aku terkesan adalah dari Kak Farhana mengenai di mana untuk mencari
sahabat sejati. Kami semua setuju sahabat sejati itu bukan mudah untuk ditemui, tetapi tidaklah payah untuk dicari. Sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa mengingatkan sahabatnya kepada Allah. Aku sendiri masih gagal menjadi sahabat seperti itu. Maafkan aku sahabat. Dan apa yang Kak Farhana katakan adalah, mengikut apa yang aku simpulkan, sahabat yang baik itu berada di tempat yang baik-baik. Pergilah ke majlis-majlis ilmu, ke tempat yang adanya perhimpunan untuk mengingati Allah, insyaAllah, sahabat sejati akan ditemui di situ. Cinta Allah akan dapat dilihat dengan cinta-cinta dari saudara seakidah kita. Benar, apabila seseorang itu disayangi oleh orang lain, itu tandanya Allah sedang mencintainya. Wallahu'alam.

Ukhuwah itu indah, tambah lagi jika disulam atas cinta kepada Allah.

Terkenang juga kenangan di Pasir Salak dahulu ketika menjadi naqibah. Entah, rasa menyesal itu hadir juga dek kerana kelemahan aku untuk mewujudkan suasana kasih sayang dalam keluarga kecilku itu. Aku akui, ketika itu soft skill aku masih lemah. Andai dapat aku ulangi masa lalu, aku berharap dapat memperbetulkan kesilapan dahulu. Namun aku terima semuanya sebagai pengajaran. Tanpa melakukan kesilapan kita tidak akan belajar. Dan teringat sebuah kata-kata hikmah, "Kejayaan yang sebenar adalah apabila kita berjaya bangkit dari kegagalan".

Wallahu'alam bissawab.

p/s: Terlalu banyak untuk dirindui pada masa silam. Kenangan di sekolah pasti kenangan terindah. Mengajar aku erti kehidupan dan menjadi manusia. Rindu juga kenangan masuk forum dahulu. Ya, debat juga. Rindunya!

No comments: